Monday 30 March 2015

Pengalaman Masuk Mahkamah (Lelong)

Teks: NOR AFZAN ABD KADIR


Masuk mahkamah.
Macam seram bunyinya kan? Bukan sebab kes jenayah atau nikah kahwin, tapi untuk membeli rumah lelongan awam. Ada sesiapa daripada pembaca blog ini yang pernah melalui pengalaman yang sama malah sudah berjaya pun memiliki rumah lelong? Silalah kongsikan pengalaman anda supaya ada yang mendapat manfaatnya.

Saya hanya ada sekali sahaja pengalaman pergi membida (bid) untuk rumah lelong ini di mahkamah. Sudah lama pun, pada penghujung tahun 2013 yang lepas.

Alkisahnya ketika itu (selepas kehilangan suami), saya berasakan bahawa saya amat perlu memiliki sebuah rumah untuk saya dan anak saya diami. Memandangkan saya sudah teramat biasa hidup berdikari, jadi saya percaya yang saya tidak boleh untuk tinggal bersama dengan orang lain, walau ahli keluarga sendiri. Maka misi pencarian rumah yang murah pun bermula.

Antara pilihan untuk mendapatkan rumah pada harga yang murah adalah dengan membeli rumah lelong, maka adalah saya pada suatu hari terjumpa dengan iklan sebuah rumah yang berada dalam kawasan yang sangat dekat dengan ahli keluarga yang lain. Saya hubungi nombor pada iklan tersebut dan diminta untuk memberikan maklumat peribadi. Setelah itu, saya diberikan dokumen proklamasi jualan (Proclamation of Sale) rumah tersebut untuk diteliti dan dapatkan alamat penuhnya. Dari lawatan saya ke tempat tersebut, saya dapati keadaannya dari luar adalah sangat baik dan lokasinya juga sangat strategik.

Saya kemudian diminta pergi ke bank untuk membuat sebuah draf bank sebagai syarat bagi meletakkan deposit sebanyak sepuluh peratus dari harga rezab rumah tersebut. Draf bank itu perlu dihantar kepada ejen sebelum hari lelongan diadakan di mahkamah.

Tibalah hari lelongan. Saya ditemani dan dibawa oleh abang dan keluarganya yang kebetulan cuti pada hari itu. Seawal pagi kami berenam (tiga dewasa dan tiga anak kecil) keluar rumah menuju ke mahkamah yang dimaksudkan di pusat bandar. Sudah seperti satu rombongan ke mahkamah gayanya. Dengan keadaan Hamza yang baharu lima bulan ketika itu, mana mungkin dia dibawa masuk ke dalam kamar lelongan bukan? Jadi keluarga abanglah penyelamatnya.

Apabila hampir waktu lelongan, nama saya dipanggil dan sekeping kad diberi oleh petugas di sana. Ejen yang saya hubungi itu mengiringi saya masuk ke dalam kamar mahkamah dan duduk di sebelah. Agak ramai rupanya yang ingin mendapatkan rumah tersebut, masing-masing mengambil tempat dan ditemani ejen mereka. Saya kira ada sekitar 20 orang pembida ketika itu.

Di hadapan kami ada sebuah meja di atas pentas yang akan diduduki oleh seorang hakim. Agak lama menanti kemunculannya. Setelah muncul pula, beliau memeriksa dan membelek-belek satu persatu dokumen di atas meja, seperti ada yang tidak kena.

Dalam kesempatan menunggu, si ejen bercerita tentang fenomena rumah lelong ketika ini. Katanya semakin ramai orang mahu membeli rumah lelong sekarang, setiap kali ada bidaan, pasti kamar mahkamah hampir penuh. Jika dibandingkan keadaan sepuluh tahun dahulu, kamar mahkamah pasti lengang, mungkin hanya ada seorang dua yang berminat untuk membida dan pastinya peluang untuk mereka mendapatkan rumah tersebut pada harga rezab adalah tinggi. Agak menyedihkan saya mendengarnya.

Tiba-tiba, sang hakim di depan berdiri dan membuat pengumuman supaya kami pulang kerana sesi lelongan dibatalkan (called off). Seakan sudah dapat mengagak sedari awal, ejen memberitahu bahawa tarikh lelongan pada hari tersebut adalah tidak sah. Yang demikian kerana tempoh masa rumah tersebut sah untuk dibuka kepada lelongan awam adalah belum dipenuhi, dengan kata lain, rumah tersebut masih belum boleh dilelong pada waktu itu. Tarikh yang sepatutnya akan diumumkan kemudian.

Kami pun keluar dan mendapatkan kembali draf bank kami dari kaunter yang berkenaan. Saya kemudian keluar menuju ke arah keluarga yang sabar menunggu dengan langkah yang longlai. Dalam perjalanan pulang, saya singgah ke bank semula untuk membatalkan draf bank dan mendapatkan wang deposit yang telah dibayar.

Itulah kisah saya pergi ke mahkamah untuk membida rumah lelongan awam. Rasa kecewa? Tidak. Ianya memberikan saya sebuah pengalaman yang mungkin berguna untuk masa hadapan. Lagi pula, setiap yang berlaku itu pasti ada hikmahnya, bukan?

Sesiapa yang ingin mencuba nasib mendapatkan rumah lelong, mungkin perkongsian saya ini dapat memberikan sedikit gambaran. Semoga bermanfaat.


Sunday 29 March 2015

Resepi Ringkas: Angle Hair Bolognese & Baked Sliced Potatoes

Teks dan Foto: NOR AFZAN ABD KADIR

Entah apa mimpinya, semalam dan hari ini saya memilih untuk memasak resepi ala barat. Tidak merancang pun, saat-saat akhir ideanya datang sendiri, kebetulan bahan-bahan pun sedia ada.

Saya kongsikan dua jenis masakan mudah ini dalam satu entri sahaja kerana sangatlah ringkas caranya pun.

Angle hair bolognese

Selalunya antara makanan yang Hamza tak akan menolak adalah bihun goreng. Buatlah berapa kali pun dia tetap akan makan, kecuali jika perutnya tak sedap. Jika sesekali bosan, dia akan mahu meminta nasi yang sedang saya makan.

Kali ini saya ingin mengenalkannya dengan tekstur baharu dalam makanan dan saya memilih angle hair sebagai transformasi berbanding spaghetti kerana bentuknya yang lebih halus, jadi diharapkan ia lebih mudah untuk menyerap bahan masakan dan membuatkannya lebih berasa.

Disebabkan saya mahu menjimatkan masa, maka saya memasak sekali sahaja yakni tidak mengasingkan untuk saya dan anak saya sepertimana kebiasaannya. Jadi bolehlah saya katakan kami memakan makanan Hamza pada hari itu.

Bahan-bahan yang diperlukan:
Angle hair setengah bungkus (lebih kurang 200gram), direbus mengikut arahan pada pek
2 biji tomato saiz besar dikisar
Sebatang lobak merah disagat
Semangkuk isi ayam yang dicincang
1/2 biji bawang Holland dipotong dadu
3 ulas bawang putih dicincang
Sedikit cheddar cheese
Sedikit lada hitam, lada putih dan mixed herbs

Cara memasaknya:
- Panaskan minyak zaitun dan sedikit mentega tanpa garam.
- Tumis kedua jenis bawang sehingga naik bau.
- Masukkan tomato yang dikisar tadi. Kacau hingga pecah minyak.
- Masukkan isi ayam dan lobak merah.
- Tambahkan bahan-bahan lain selepas itu.
- Apabila semua sudah sebati, tuangkan angle hair yang sudah ditoskan.
- Kacau sehingga sebati.

Tanpa garam, gula dan bahan perasa, ia sudah cukup semuanya (sebagaimana juga kata-kata kakak saya yang bertamu dan turut merasa). Saya yang dahulunya berasakan bahawa membuat sos bolognese sendiri itu adalah terlalu payah, kini percaya sebaliknya! Selain ia juga adalah versi yang jauh lebih sihat serta selamat untuk si kecil mahupun dewasa, berbanding dengan yang sangat mudah didapati dari rak di pasaraya.

Alhamdulillah, biarpun pada mulanya Hamza seakan tidak berminat melihat rupanya, namun apabila sudah makan bersama, mama pula yang tak diberi peluang menyuap mulut sendiri! Malah bertambah lagi. :) Inilah antara kebahagiaan yang dirasai oleh kaum ibu apabila si anak suka memakan apa yang dimasakkan untuknya.

~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~
Resepi kedua, kentang bakar, saya yang teringin untuk mencuba membuatnya hanya kerana rupa bentuknya yang cantik.

Sliced baked potatoes and salsa
Cuma ambil beberapa biji kentang, bersihkan sebersihnya. Kemudian potong-potongkan dia tanpa putus seperti dalam gambar. Cairkan mentega dan campurkan sedikit serbuk lada hitam dan herba campuran. Sapukan pada kentang dan celah-celahnya menggunakan berus. Bakar dalam oven yang telah dipanaskan pada suhu 200°c selama 50 minit atau sehingga masak. Boleh dikeluarkan untuk disapu mentega lagi supaya permukaan kentang tidak kering. Masa sepuluh minit terakhir bolehlah dikeluarkan dan ditabur parutan keju di atasnya, kemudian bakar lagi untuk mencairkan keju.

Saya buatkan salsa ringkas; timun dan tomato yang dipotong dadu, diperah lemon sedikit dan digaul bersama minyak zaitun sebagai sampingannya.

Baiklah, yang ini Hamza tidak mahu makan :).

Selamat mencuba!

Friday 27 March 2015

Baju Raya 2015 (Pre-Order)

Tempahan Baju Raya untuk Anak-Anak Kini Dibuka!
Dapatkan slot anda sebelum terlambat! 
Maklumat lanjut pada gambar.

Kain 100% Cotton T-shirt/Lycra/Satin
√ Kualiti tinggi
√ Menyerap peluh
√ Selesa
√ Pilihan warna ceria
√ Harga yang berbaloi

  
1) Romper Baju Melayu (RM55/pc)
 



  
2) Baju Kurung Peplum (RM59/pc)






















3) Baju Melayu Teluk Belanga (RM59/pc)

4) Baju Melayu Cekak Musang (RM59/pc)




















\

5) Baju Kurta (RM59/pc) 






















6) Dress Lycra dengan Instant Shawl-Syria (RM65/pc)






















7) Dress Lycra dengan Instant Shawl-Awning Lembut (RM65/pc)






















8) Dress Satin tanpa Tudung (RM79/pc)






















Untuk tempahan, sila isi maklumat Jenis Baju, Warna dan Saiz yang diperlukan pada Borang Tempahan. Terima kasih!



Produk

Assalamu'alaikum dan Salam Sejahtera kepada para pengunjung,

Selamat datang ke Hamza Store Online. Kami menawarkan pelbagai rangkaian barangan keperluan rumah, peribadi, pakaian dan makanan yang menarik pada harga yang berpatutan.

Berikut adalah senarai produk yang kami tawarkan untuk anda:

Baju Raya 2015 (Pre-Order)

Kerepek Raya

Makanan Sunnah

Sila rujuk bahagian Terma dan Syarat sebelum membuat pembelian dan tempahan boleh dilakukan dengan mengisi borang pesanan yang disediakan.

Terima kasih kerana memilih Hamza Store sebagai tempat membeli-belah anda. Diharapkan anda berpuashati dengan pengalaman berurusan dengan kami.

Terima kasih! :)

Thursday 26 March 2015

Minyak Kelapa Dara (VCO)

Teks dan foto: NOR AFZAN ABD KADIR


Kelihatan resit Cosway di situ? Sebenarnya nak cerita yang bulan ini ada tawaran menarik dari Cosway untuk produk Virgin Coconut Oil (VCO) keluaran Country Farm ini. Dua botol 500ml berharga RM59 sahaja (harga biasa RM36.90 sebotol). Mujur sempat untuk saya dapatkan sebelum akhir bulan ini. Saya bukan ahli Cosway namun saya mendapat maklumat ini daripada rakan yang berkongsi di facebook (terima kasih rakan!) beberapa minggu yang lalu.

Buat yang baharu kenal dan belum pernah mengambil VCO ini tentu akan bertanya; ada apa dengan VCO? Seperti saya sendiri yang sudah agak lama mendengar tentangnya namun tak pernah pun terfikir untuk mencari sehinggalah ketika saya berada pada trimester terakhir kehamilan. Dari maklumat yang saya baca, VCO amat bagus untuk diamalkan pada penghujung kehamilan atas sebab kebaikannya yang sangat banyak.

VCO yang bagus untuk dimiliki adalah yang dihasilkan melalui kaedah perahan sejuk (cold pressed), tidak disuling (unrefined) dan penanamannya secara organik. Akhir-akhir ini terdapat pelbagai keluaran VCO dari banyak pengeluar dengan jenama masing-masing. Saya hanya pernah mencuba tiga jenama yang setiap satunya memberikan rasa yang berlainan. Jika ditanya pada saya mana satu yang terbaik, saya akan katakan saya memilih yang paling ekonomi dan rasanya 'ringan'. Itulah jenama Country Farm yang paling lama saya dan anak gunakan.

Ingin saya berkongsi sedikit di sini manfaat-manfaat yang ada pada VCO dari apa yang sendiri rasai dan melalui pembacaan. Jika dibuat pencarian, kita akan berjumpa dengan pelbagai khasiat dan kebaikan yang ada pada VCO. Antaranya seperti di bawah:

1) Memudahkan pembuangan air besar bagi yang mengalami masalah sembelit. Ini sangat membantu terutama ketika mengandung dan selepas melahirkan yang mana masalah sukar membuang air akan dialami oleh ramai wanita. Ia juga membantu bayi dan anak kecil yang mengalami masalah yang sama.

2) Aplikasi VCO pada kawasan perineum pada akhir kehamilan akan membantu mengelastikkan lagi pembukaan faraj wanita bagi membantu memudahkan kelahiran. Terdapat ramai yang berkongsi bahawa jika dilakukan secara kerap dan betul, tidak akan berlaku sebarang koyakan yang memerlukan jahitan ketika melahirkan. Jika di hospital, prosedur episiotomi juga dapat dielakkan.

3) Untuk yang menderita penyakit kulit seperti ekzema juga bagus untuk menggunakannya, untuk sapuan dan juga dimakan. Namun perlu untuk diuji dahulu kesesuaian kulit dengan melakukan 'patch test' di mana sedikit VCO dioles pada kawasan tersembunyi di bahagian tubuh yang mengalami masalah dan lihat jika terdapat kesan yang lebih teruk selepas beberapa ketika. Jika tiada maka bolehlah digunakan VCO bagi tujuan memulihkan ekzema.

4) Menggantikan minyak bayi (baby oil) komersial yang kebanyakannya mengandungi bahan kimia yang tidak bagus untuk disapu pada kulit bayi. Kulit bayi akan sentiasa lembab dan tidak perlu lagi disapukan bedak talkum.

5) Dijadikan minyak rambut bagi melebatkan rambut. Boleh juga dibuat bancuhan VCO dan perahan lemon untuk masalah kulit kepala gatal dan kelemumur. Sapukan pada kulit kepala setiap hari dan bolehlah disyampu seperti biasa selepas itu.

6) Menggantikan minyak masak untuk alternatif yang lebih sihat. Tidak seperti minyak kelapa sawit yang hanya boleh diulang guna maksima tiga kali, VCO boleh digunakan berkali-kali tanpa masalah. Jika anak anda sangat gemarkan makanan bergoreng maka ini adalah cara yang paling selamat. Selain sihat, rasanya juga lebih enak.

7) Menggantikan mentega dalam pembikinan kek dan biskut. Seperti di atas, ia juga pilihan yang lebih sihat.

8) Membantu meningkatkan sistem imun anak dan orang dewasa. Pengambilan secara kerap setiap hari akan menyediakan sistem tubuh kita untuk lebih kuat melawan penyakit. Anak-anak yang mengamalkan VCO juga tidak mudah diserang penyakit.

9) Membantu penurunan berat badan bagi yang bermasalah.

10) Sangat baik digunakan untuk kesihatan dalam mulut. Berkumur dengan VCO setiap pagi sebelum gosok gigi dan sarapan selama lebih kurang 20 minit kemudian ludahkan pada bakul sampah, baharu berus gigi seperti biasa. Terlalu lama? Selepas solat Subuh boleh mula dan sambil anda membasuh baju, menyediakan sarapan, 20 minit akan berlalu :). Kenapa tidak dibuang ke dalam sinki terus? Sepertimana minyak masakan yang lain juga, lama kelamaan ia dikhuatiri akan menyebabkan sinki tersumbat. Maka elakkanlah dari awal.

Hamza sekarang memberus gigi dengan VCO sahaja :)

VCO boleh diminum terus. Bagi yang baharu boleh mulakan dengan sesudu besar di waktu pagi dan sebelum tidur. Untuk anak kecil, mulakan dengan sesudu kecil. Bayi yang sudah mula makan makanan pelengkap boleh bermula seawal 6 bulan, dengan dicampurkan ke dalam susu atau makanannya. Dos boleh ditingkatkan mengikut keperluan terutama ketika tak sihat.

Setakat ini yang mampu dicoretkan buat masa ini. Amalkanlah VCO untuk kesihatan yang baik seisi keluarga.

Monday 23 March 2015

Sakit Kepala dan Rawatannya

Teks: NOR AFZAN ABD KADIR


Sejak dua hari lepas saya diserang sakit kepala a.k.a. migrain. Agak lama sudah tidak mengalaminya. Terdapat banyak kemungkinan seseorang boleh diserang sakit kepala. Kali ini saya ingin membincangkan dari perspektif seorang ibu yang menyusukan anak.

Hampir saya terlupa yang saya sedang menyusukan, jumlah cecair yang masuk ke dalam perut saya perlu dikekalkan dalam kuantiti sekurang-kurangnya dua liter, sebaik-baiknya sehingga tiga liter dalam sehari. Ketika asyik memikirkan kemungkinan sebab-musabab saya diserang sakit kepala kali ini, atas pertanyaan seorang sahabat baharulah saya tersedar yang saya telah kurang mengambil air minuman pada hari sebelumnya.

Antara sebab-sebab lainnya:
- Mengambil makanan yang agak tinggi kandungan garam seperti maruku, kerepek dan bebola daging dalam hidangan bakso.
- Cuaca panas terik sekarang ini. Umum mengetahui perlunya badan mengekalkan tahap kelembapannya.
- Tekanan perasaan disebabkan cuaca dan masalah hidup.

Sejak sebelum melahirkan anak lagi saya sudah tidak mengambil ubat-ubatan hospital/klinik bagi menghilangkan kesakitan akibat sakit kepala ini. Saya hanya bertahan dengan menyapu minyak angin, mengurut kepala, mencuci rambut kemudian tidur.

Setelah banyak membaca dari pelbagai sumber dari pengamal remedi semulajadi, saya mengetahui terdapat beberapa kaedah alternatif yang boleh diamalkan bagi tujuan mengurangkan sakit kepala ini. Antaranya adalah seperti berikut:

1) Mengunyah badam beberapa biji. Ikutlah beberapa biji yang mahu diambil tetapi sebaiknya dalam bilangan ganjil seperti tiga, lima atau tujuh kerana nabi Sallallahu alaihi wasallam sukakan bilangan ganjil.

2) Menumbuk biji habbatussauda di dalam uncang kain yang kecil dan dihidu baunya. Sebaiknya dilakukan ketika hendak tidur.

3) Menghiris bawang putih senipis yang boleh kemudian lekapkannya pada dahi. Boleh cuba dengan kuantiti yang sedikit sahaja dahulu kerana sifat panas bawang putih itu agak kuat. Biarkan sehingga kering dan boleh diulang lagi jika perlu.

4) Menghidu haruman lavendar atau peppermint essential oil menggunakan air humidifier jika ada. Haruman ini sangat menenangkan sekaligus memberikan kesan yang tenang pada penghidunya.

5) Memakan sumber makanan yang bersifat anti-radang seperti minyak zaitun, cuka epal yang dibancuh dengan sedikit madu, sayur-sayuran hijau dan sebagainya.

Terdapat pelbagai lagi remedi yang dapat membantu masalah sakit kepala ini. Saya coretkan di sini hanya beberapa darinya sahaja. Namun jika kita tahu puncanya, pastikan kita rawat yang itu dahulu. Contoh dalam kes saya; kekurangan air dalam badan, maka minumlah air kosong sedikit demi sedikit dengan kerap sehingga keperluan air dalam sehari itu dipenuhi. Remedi di atas akan membantu mengurangkan ketidakselesaan yang dialami sepanjang sakit kepala itu berlangsung.

Semoga coretan di atas ada manfaatnya buat yang membaca. Jaga kesihatan sebaiknya ya kawan-kawan. Ibu sihat, anak gembira!

Friday 20 March 2015

Resipi Ringkas: Biskut Kraker Keju

Teks dan Foto: NOR AFZAN ABD KADIR


Teringin nak buat biskut kraker ala Jacob's untuk si kecil anda? Saya kongsikan di sini antara resepi yang pernah saya buat yang hasilnya tidak mengecewakan, inshaAllah.

Kredit kepada Grup Solid & Semi Solid Food For Your Baby, resepi oleh Bopan Dot yang saya ubah sedikit bahannya.

Bahan-bahan yang diperlukan adalah:
100 gram tepung gandum unbleached
20 gram keju parut (saya guna keju blok Cheddar).
Sedikit serbuk lada hitam
2 sudu besar mentega tanpa garam yang dicairkan
Sedikit air

Langkah-langkahnya:
1. Satukan tepung, keju parut, serbuk lada hitam dan gaul sebati menggunakan tangan.
2. Masukkan minyak yang dicairkan tadi. Gaulkan bersama menggunakan tangan hingga bahan-bahan sekata.
3. Masukkan air bermula dengan satu sudu besar dan gaulkan lagi. Boleh tambahkan air sehingga mendapat tekstur doh yang lembut dan tidak melekat di tangan. Jangan menguli doh terlalu lama.

4. Boleh rehatkan doh sebentar di dalam peti sejuk atau terus mencanai doh untuk dibakar. Canaikan nipis-nipis kerana ia akan mengembang sedikit apabila dibakar. Boleh potong menggunakan cetak biskut yang pelbagai bentuk atau potong bersegi sahaja untuk lebih cepat.
5. Aturkan potongan tersebut ke atas dulang pembakar yang sudah digris dengan minyak dan tepung.

6. Masukkan ke dalam oven yang sudah dipanaskan pada suhu 170°c selama 15 minit atau sehingga masak garing. Suhu bergantung kepada oven masing-masing.
7. Angkat setelah masak dan sejukkan dahulu sebelum dimakan.

Biskut ini sesuai untuk anak-anak atas setahun yang sudah boleh mengunyah dengan baik kerana ia rangup. Pastikan anak tiada alergi dengan bahan-bahan yang digunakan.

Boleh juga menggantikan serbuk lada hitam dengan serbuk kayu manis atau lain-lain, juga ditambah dengan cincangan kismis, kurma atau buah-buahan kering yang lain.

Selamat mencuba!

4 Peringkat Pembersihan Gigi Anak Saya

Teks: NOR AFZAN ABD KADIR


Perjalanan dalam pembersihan gigi Hamza bukanlah sesuatu yang mudah. Seawal lima bulan dua batang giginya di bahagian atas mula muncul. Sebagai ibu pasti teruja melihat gigi pertama anak keluar. Tidaklah saya tahu ketika itu bahawa semakin awal gigi bayi keluar, kemungkinan untuk gigi itu rosak awal juga semakin tinggi. Mungkin kebetulan namun itulah yang dialami Hamza pada usianya 20 bulan kini. Di sini ingin saya coretkan peringkat-peringkat yang telah kami lalui.

1. Dari lahir hingga 3 bulan
Saya hanya menggunakan kain basah untuk mengelap bahagian dalam mulut setiap pagi selepas mandi.

2. 3 bulan hingga 5 bulan (gigi pertama tumbuh)
- Menggunakan berus gigi plastik yang perlu disarungkan pada jari orang dewasa.
- Mengelap lidah menggunakan kain basah untuk membersihkan kerak susu.

3. 6 bulan hingga 12 bulan
- Mula mencari berus gigi yang sebenarnya apabila muncul lagi dua batang di kiri dan kanan.
- Berus gigi Jordan khas untuk bayi itu memang lembut dan Hamza suka untuk diberuskan giginya.
- Hanya memberus gigi kosong tanpa ubat.
- Memberus hanya sekali sehari selepas mandi pada awal pagi.
- Akan ada masa-masanya dia menolak untuk diberuskan gigi (mungkin sakit kerana ingin keluar gigi yang baharu), saya akan mengelap giginya dengan kain yang dibasahkan dengan sedikit minyak kelapa dara.

4. Setahun ke atas
- Selepas setahun saya perhatikan sebatang gigi Hamza seakan mengalami kerosakan. Saya teruskan sahaja memberus dan mengelap dengan minyak kelapa sesekali seperti biasa.
- Pemakanan Hamza sangat dijaga jadi saya agak bingung mencari punca kepada masalah gigi anak saya ini.

Gigi Hamza ketika 17 bulan

- Semakin bertambah umur, semakin bertambah juga kadar kerosakan itu sehingga berjangkit ke gigi sebelah. Saya mula mencari maklumat yang lebih banyak. Antara dapatan saya dari hasil pembacaan:

(1) Terdapat ramai ibu yang berkongsi masalah yang sama. Ada anak yang dijaga rapi, sentiasa memberus gigi sama ada dengan ubat atau tanpa ubat, ubat berfluorida atau tanpa fluorida, tetap juga berlaku masalah kerosakan gigi. Ada pula anak yang biasa memakan gula-gula dan makanan ringan, jarang memberus gigi, tetapi giginya cantik berseri tanpa kerosakan. Jadi bagaimana?

(2) Ada kemungkinan si ibu tidak mengambil sumber kalsium yang cukup ketika dia mengandung. Jika ini adalah puncanya, dalam diet si anak perlu ditambahkan sumber makanan yang mengandungi khasiat ini.

(3) Ada ibu bapa yang pergi berjumpa pakar, kemudian menggunakan ubat yang boleh membantu mengurangkan atau melambatkan proses kerosakan gigi. Ubat itu tidak akan mengembalikan keadaan gigi sebagaimana asalnya.

(4) Bagi ibu bapa yang ingin menggunakan kaedah yang lebih selamat dan alami, menggosok gigi dengan minyak kelapa dara adalah cara yang baik untuk diamalkan dan saya memilih kaedah ini.

Oleh kerana Hamza telah diberi ubat gigi setelah umurnya lebih setahun (hanya mencecah hujung berus gigi pada ubat gigi), agak sukar saya ingin menukar tabiat ini. Sehinggalah baru-baru ini apabila neneknya secara tidak sengaja terbuang ubat giginya kerana disangkakan telah habis, saya nekad untuk tidak membelikan ubat gigi yang baharu. Apa yang saya lakukan?

- Letakkan minyak kelapa dara pada berus giginya dan menggosok gigi saya di hadapan dia dengan gembiranya. Dia akan minta berus gigi itu dan mahu lakukan yang sama sendiri.

Setiap kali waktu memberus gigi saya akan lakukan yang sama. Walaupun dia mahu memberus gigi begitu namun dia tetap kelihatan kurang selesa setiap kali memberus (mahu cepat siap dan enggan membuka mulut lagi). Jadi saya fikir mungkin faktor berus gigi itu sendiri yang menyebabkan dia kurang selesa.

Suatu hari, ketika mencari-cari barang di kedai Mr. DIY, saya terpandang pada satu berus gigi kanak-kanak yang agak lain dari yang biasa. Kerana harga yang agak murah, saya membelinya dengan niat untuk dicuba dahulu. Alhamdulillah, pertama kali cuba memberus nampak dia sangat sukakan berus gigi baharunya itu. Malah masa menggosok menjadi lebih lama!

Berus gigi Raiya bersama botol minyak kelapa.

Kini tugas menggosok gigi anak menjadi lebih mudah. Hamza sudah suka memberus giginya dengan menggunakan minyak kelapa dara! Buat ibu bapa yang anak mereka menghadapi masalah yang sama di luar sana, mungkin anda boleh usahakan cara ini. Atau sekiranya anda ada kaedah yang lebih baik lagi, silalah berkongsi dengan saya di sini.

Harapan saya semoga kerosakan gigi awal anak-anak kita akan lebih terkawal dan tidak akan menjadi lebih teruk lagi. Seterusnya gigi kekal mereka akan tumbuh dengan kuat, cantik serta sihat. Amin.

Tuesday 17 March 2015

Andai Kupunya Sebuah Rumah

Teks: NOR AFZAN ABD KADIR

Kali ini saya mahu berpuisi, walau ini mungkin yang pertama kali dalam hidup ini. Sekadar meluah impian di hati, sekaligus menjadi motivasi diri.


Andai kupunya sebuah rumah
Biar hanya rumah kontena
Aku mahu tenang di dalamnya
Selesa bersama yang tercinta

Hangat yang tidak terlalu hangat
Dingin yang tidak terlalu dingin
Yang sedang-sedang saja

Akan kuletak sebuah TV
Untuk digunakan apabila perlu
Bukanlah lagu bukan drama merapu
Kerna itu bukan keperluanku

Akan kuhias sehabis ringkas
Untuk Hamza bergerak bebas
Tiada mainan bergunung-ganang
Laman di luar jadi taman permainan

Segala barangan di dapur
Isian dalam peti sejuk
Aku yang akan pastikan
Tiada apa-apa yang kami tidak makan

Menjadikan ilmu sebagai hiburan
Pastinya rumah dipenuhi buku
Bahagianya hidup di dalam taman ilmu
Oh, aku rindukan buku-bukuku

Halaman yang luas bercucuklah tanam
Sayur-sayuran juga buah-buahan
Untuk santapan, untuk jualan
Mudahnya, tinggal petik dengan tangan

Rumah yang kuharap aku takkan malu
Sekiranya Rasulullah melawatiku
Hanya amalan sahih di dalamnya
Tiada yang lainnya selain itu

Mudahlah sahaja rumah impianku
Mendapatkannya itu yang belum tentu
Tiada yang mustahil jika sudah tertulis
Mungkin aku, mungkin anakku

Wahai anak, doakan ibumu
Agar kubisa berusaha semampuku
Namun andai bukan rezeki kita dunia ini
Ya Rahman, berikanlah kami yang lebih baik di syurgaMu nanti!

Sunday 15 March 2015

Hati-hati Urusniaga Online

Teks: NOR AFZAN ABD KADIR


Topik Safiyya TV9 yang sempat saya tonton hari ini ada mengenengahkan isu ini; Penipuan Jual-beli Internet.

Dalam diam-diam saya sebenarnya sudah dua kali ditipu melalui medium internet ini yang melibatkan jumlah wang yang agak besar. Ia bukanlah sesuatu yang suka untuk saya kenang-kenangkan lagi tetapi atas dasar tanggungjawab, saya rasa terpanggil untuk berkongsi kisah-kisah ini dengan harapan agar ia boleh dijadikan pedoman dan peringatan pada yang lain.

Kes pertama berlaku dalam tahun 2004. Bermula dengan didatangi sebuah emel dari seseorang yang mengaku seorang peguam yang sedang menguruskan kes kliennya yang telah meninggal dunia. Dia meminta pertolongan saya untuk dipindahkan sejumlah harta si mati yang sangat besar jumlahnya ke akaun saya di Malaysia bagi mengelakkan harta itu dibekukan oleh bank di sana. Kebetulan katanya nama ayahanda saya dan si mati adalah sama, jadi dia merasakan saya adalah antara yang layak 'mewarisi' harta tersebut.

Tanpa usul periksa, saya pun bersetuju atas dasar menolong selain dijanjikan sebahagian daripada harta sebagai upahnya. Bermulalah episod bertukar dokumen pengenalan, surat-menyurat dan kemudian saya diminta beberapa kali membuat pindahan wang kepada peguam tersebut untuk melancarkan urusan. Masuk kali kedua wang dipindahkan saya mula merasakan ada sesuatu yang tidak kena, baharulah saya mula mencari maklumat yang berkaitan. Ternyata itu adalah sejenis penipuan internet yang ligat mencari mangsa di seluruh dunia. Dengan penyesalan yang amat, saya terus menamatkan segala jenis perhubungan dengan orang tersebut walau tetap dihubungi berkali-kali. Kes ini berakhir begitu sahaja.



Kes kedua, baharu sahaja setahun yang lalu. Kali ini atas transaksi jual-beli telefon bimbit. Saya yang ketika itu sedang mencari-cari telefon baharu yang mempunyai fungsi-fungsi yang saya perlukan, sentiasa memeriksa laman mudah.my untuk mendapatkan harga terbaik. Ramai penjual yang telah saya hubungi sehinggalah suatu malam saya melihat iklan baharu, menawarkan pakej dan harga yang amat menarik. Terus saya hubungi penjual menerusi Whatsapp dan meminta keterangan lanjut bersama gambar-gambar barang.

Agak berpuas hati, saya teruskan dengan pembayaran keesokannya. Dari sebelum Tahun Baru Cina sehingga beberapa minggu kemudian barangan masih tak kunjung tiba. Si penjual masih meyakinkan saya bahawa barangan akan sampai. Sehinggalah nombor yang pernah saya hubungi sebelum itu dijawab oleh seseorang yang mendakwa tidak tahu apa yang saya perkatakan, manakala status whatsapp juga sudah tiada lagi, fahamlah bahawa saya sudah terkena.

Kali ini saya ke balai polis membuat laporan lengkap, dari balai polis terdekat sehingga ke balai polis bahagian jenayah komersial, saya mengusung anak bersama. Si pegawai melayan dan mengambil kes dengan baik, namun memberi peringatan awal kepada saya bahawa kemungkinan untuk saya mendapat kembali wang adalah sangat nipis, atau tiada. Kes dimasuk ke dalam fail untuk rekod sahaja kerana saya tidak mahu meneruskan, memikirkan kesukaran yang bakal saya hadapi untuk turun naik ke mahkamah dengan hasil yang pasti tiada. Sangat menjengkelkan. Undang-undang kita sebenarnya berpihak kepada pemangsa-pemangsa yang rakus mencuri duit mangsa di luar sana. Mangsa akan terus menjadi mangsa, pemangsa akan terus menjadi pemangsa. Inilah Malaysiaku.

Sesuatu yang saya pelajari dari perkongsian rakan-rakan di laman sosial, jika kes penipuan seperti ini berlaku, adalah baik mangsa membuat laporan juga ke tribunal pengguna. Di sana ada kemungkinan mangsa akan mendapat pembelaan yang sewajarnya, bergantung kepada fakta kes.

Jadi nasihat saya, sentiasalah berhati-hati ketika ingin membuat urusan jual beli melalui internet. Pastikan anda kenal siapa si penjual atau maklumat penting tentang mereka mudah didapati. Berurusniagalah dengan mereka yang terbukti boleh dipercayai, contohnya seperti kami di akademi ini :) Semoga kita dilindungi Allah daripada menjadi penipu dan tertipu dengan penjual yang tidak bermoral sebegini. Teruskan memberi sokongan kepada kami.

Kelahiran Hamza Pengalaman Terindah

Teks: NOR AFZAN ABD KADIR


Belum pernah saya coretkan pengalaman ini di mana-mana, serasa seperti tiada keperluannya. Semuanya hanya terakam di ingatan bersama beberapa keping gambar yang sempat diambil ketika kejadian.

Sekarang saya ingin merakamkannya di sini kerana tidak pasti selama mana memori di kepala saya ini dapat bertahan, selain untuk kenangan yang mungkin akan disimpan Hamza pada masa hadapan.

Buah hati pengarang jantung saya ini dilahirkan seminggu awal daripada tarikh jangkaan, iaitu pada 27 Mei 2013. Tidak sabar-sabar lagi dia menunggu tarikh 1 Jun 2013 seperti yang saya 'rancangkan'.

Sedari awal kehadirannya di dalam rahim, tidak banyak alahan yang saya alami kecuali sakit kepala sesekali dan ketidakselesaan di hujung kehamilan. Jadi saya mengharapkan bayi bertuah ini akan keluar dengan mudah juga apabila tiba masanya. Hampir setiap hari saya akan memujuknya supaya bekerjasama yang baik dengan mama.

Pagi 26 Mei 2013 selepas Subuh, saya agak kaget melihat keluarnya tanda darah setelah selesai urusan tandas. Terus saya hubungi sahabat yang akan membantu saya ketika proses melahirkan, saya namakan kak Y. Beliau meminta saya menjaga pemasaan kontraksi dan sentiasa mengemaskini maklumat sehingga beliau sampai.

Saya menyibukkan diri mengemas rumah dan memasak seperti biasa, mengatakan pada diri sendiri, "Jika begini rasanya, aku mampu bertahan lagi." Kelengkapan menyambut kelahiran juga disiapkan seadanya. Detik berlalu sehinggalah kak Y dan suami sampai ketika hampir Maghrib.

Seusai Isyak, kami keluar menuju ke tepi laut Pontian untuk berjalan-jalan sepanjang malam bagi mempercepat bukaan, kemudian kami menjamu selera di medan ikan bakar yang berdekatan. Sekembalinya ke rumah, kak Y mengurut perut saya dan dirasakan bahawa bayi masih belum masuk ke laluan, maka beliau pulang dan akan kembali pada keesokan harinya.

Tidur saya malam itu sangat terganggu, seperti tak tertahan apabila sesekali kesakitan datang bermula jam 2.30 pagi. Saya mendapatkan suami meminta beliau urutkan pada bahagian pinggang belakang setiap kali kontraksi datang, ianya sangat melegakan. Dua jam setelah itu, saya terkejut kerana merasakan seperti ada kebocoran paip dan air mengalir laju, tanpa dapat ditahan-tahan lagi, basah dan panas. Tahulah saya bagaimana perasaan pecahnya air ketuban.

Seketika saya seperti kehilangan punca, suami mahu membawa saya ke hospital, baharu saya tersedar. Cuba menghubungi kak Y buat kesekian kali, kasihan dia perlu diganggu pagi-pagi begini. Saya perlu bertahan, ini yang saya mahukan. Kak Y mengingatkan air perlu diganti, saya pun mencapai botol minuman, 800ml habis ditelan.

Sambil melayan kontraksi, saya memusing-musing pinggang, keluar masuk bilik air, mandi sambil air shower dituju ke pinggang, mengunyah kurma, badam terasa sukar untuk menelan namun tenaga perlu dikumpul untuk tugas yang lebih berat kemudian.

Kak Y pun tiba, suhu air di dalam kolam disuamkan semula dan saya masuk ke dalam. Terasa lega yang amat. Sambil laptop dipasangkan alunan zikir, mata saya fokus kepada lilin wangi yang dipasang, setiap kali kontraksi datang. Pernafasan dijaga seboleh mungkin namun ada ketikanya saya seperti mahu sahaja meneran sekuat hati, sudah tidak mampu lagi.

Tiba-tiba terasa sangat ingin membuang air besar. Dengan bantuan, saya memapah diri masuk ke bilik air, cuba untuk melegakan diri, namun.. "Saya dapat rasa rambut!" terjerit saya kegembiraan. Dengan cepat saya keluar, masuk ke kolam semula. Saat ini sudah tidak sabar lagi, datang sahaja kontraksi saya teran sekuat hati, teknik pernafasan hilang entah ke mana.

Suami masuk dan sempat merakam sekeping dua gambar, saat Hamza keluar. Ya, saya melihat detik itu dengan mata saya sendiri! Allahu akbar! Jam menunjukkan angka 10.13 pagi. Keluarnya Hamza tanpa tangisan. Pantas dibawa ke dada mama. Riak matanya seperti kebingungan, melihat-lihat sekeliling, kemudian bibir mungilnya mengukir senyuman. Saat itu mama yang menangis dahulu, "Assalamu'alaikum sayang.." sambil memeluk erat, mengusap-usap seluruh tubuhnya, seakan melepas rindu dendam sekian lama. Tidak lama kemudian keluarlah suara halusnya, menangis kelaparan. Pandai anak mama, pandai dia mencari sumber makanan.

Sambil-sambil membelai Hamza, datang pula gelombang kedua, kawan Hamza si uri pula keluar, alhamdulillah, nampak cantik dan utuh. Disebabkan tali pusat tidak begitu panjang, kami ambil keputusan untuk suami memotongnya setelah darah berhenti mengalir. Alhamdulillah.

Hamza dibawa untuk dibersihkan. Sementara mama sangat lemah ketika itu, terpaksa mengesot keluar untuk mandi dan naik ke atas katil. Kak Y menyediakan bancuhan ubat herba yang akan membantu mengecutkan rahim dan darah berhenti mengalir. Tekanan darah diambil secara kerap dalam masa empat jam pasca kelahiran dan alhamdulillah, keadaan mama lebih baik selepas makan, minum dan tidur, bersama Hamza.

Ibu dan ahli keluarga semua adik-beradik sampai untuk melawat setelah semuanya selesai. Masing-masing teruja mendengar perkongsian dari kak Y dan mengucapkan syukur serta berterima kasih atas pertolongannya.



Bermulalah episod saya sebagai mama kepada anugerah comel ini, Hamza dengan berat 3.2kilogram ketika lahir melalui kaedah kelahiran yang sangat saya impikan, walau sebelum saya disahkan mengandung lagi.

Terima kasih sekali lagi saya rakamkan di sini buat kak Y dan suami atas segala bantuan, semangat, nasihat, khidmat terbaik yang diberikan kepada kami. Tidak lupa kepada rakan-rakan di grup "The Gentle Birthing Group Malaysia" atas segala perkongsian dan tips berguna. Semoga Allah memberi kalian balasan dengan kebaikan yang banyak!

Mohon doakan Hamza menjadi anak yang kuat, anak yang soleh, yang bertaqwa lagi bermanfaat kepada manusia. Amin.

Friday 13 March 2015

Resepi Ringkas: Bot Pisang dan Keju

Teks: NOR AFZAN ABD KADIR



Hari ini saya nak berkongsi resepi sarapan yang mudah untuk disediakan untuk keluarga. Sesuai untuk anak kecil atas setahun yang sudah mampu mengunyah dengan baik dan tiada alergi telur dan gandum.

Saya beri namanya Bot Pisang dan Keju. Bahan-bahan yang diperlukan adalah seperti berikut:

3 keping roti tawar (biasa saya gunakan roti gandum penuh) - boleh menghasilkan 6 bot.
Mentega
Sedikit tepung gandum
Susu segar
Pisang yang dilenyek
Parutan keju cheddar
Kismis (pilihan)
Acuan cupcake 6 lubang

Cara-caranya:
Sapukan mentega ke atas roti. Potong roti kepada dua bahagian kemudian bentukkan seperti bot pada dulang pembakar cupcake yang sudah siap digris dengan minyak/mentega. Tekan-tekan sedikit supaya ada ruang untuk diisi bahan lain.

Bancuhkan sedikit tepung bersama susu segar, buat cair-cair supaya ia tidak menjadi keras apabila masak. Masukkan pisang, sebatikan adunan. Adunan tepung ini hanya untuk menyatukan pisang dengan roti. Jika hanya menggunakan pisang lenyek sahaja juga boleh.

Letakkan adunan ini ke atas roti berbentuk bot tadi secukupnya. Kemudian bolehlah ditabur kismis dan parutan keju sedikit di atasnya. Bakar pada suhu rendah (100-120°c) sehingga rotinya garing.

Setelah masak biarkan sebentar supaya hilang panasnya dan bolehlah dimakan.

Mudahkan? Selamat mencuba!



Thursday 12 March 2015

Apa Ada Dengan SAHM, WAHM, SOHO?

Teks: NOR AFZAN ABD KADIR


Bismillah

Ketiga-tiga istilah ini bukanlah baharu, tetapi agak ramai juga saya terlihat ada yang masih tertanya-tanya; apa dia SAHM, WAHM dan SOHO itu?

Secara umumnya, bolehlah saya ringkaskan maksud istilah-istilah di atas begini:

SAHM: Stay At Home Mom
Bermakna ibu suri rumahtangga sepenuh masa. Mereka menjalankan tugas asasi rumahtangga sehari-hari seperti memasak, membasuh, mengemas, mengurus anak-anak dan suami dan yang seumpamanya. Mereka tidak melakukan pekerjaan 'rasmi' yang memberikan hasil dalam bentuk wang ringgit kepada diri mereka sendiri. Jika mereka memang diberi gaji oleh suami setiap bulan atas dasar ihsan suami isteri maka akan termasuklah dalam kategori ini. Amat beruntunglah isteri-isteri yang sedemikian.

WAHM: Work At Home Mom
Selain menjalankan tugas-tugas asasi di atas, ibu-ibu ini juga turut melakukan aktiviti-aktiviti lain yang memberikan pulangan wang kepada mereka. Antaranya melalui perniagaan kecil-kecilan dari rumah ataupun memberikan perkhidmatan dalam bidang yang mereka pakar tentangnya kepada orang lain seperti khidmat nasihat yang melayakkan mereka dibayar yuran professional. Ini boleh dilakukan secara atas talian atau di luar talian.

SOHO: Small Office Home Office
Nah. Ini adalah keperluan utama untuk ibu-ibu yang berada dalam kategori WAHM. Bergantung kepada keperluan, mungkin sebuah bilik khas diperuntukkan untuk tujuan ini atau sekadar ruang kecil di dalam bilik mahupun di ruang tamu yang dapat menempatkan sebuah meja, kerusi, komputer, pencetak, fail-fail dan alatulis.


Gerakan ibu-ibu berkerjaya di Malaysia nampaknya semakin menuju ke arah menjadikan diri mereka dalam golongan WAHM mutakhir ini. Tidak keterlaluan jika dikatakan, kebanyakan WAHM memiliki sekurang-kurangnya segulung ijazah, malah tidak sedikit daripada mereka bergelar doktor falsafah (PHD). Yang agak memeranjatkan, kebanyakannya berjaya menjadi WAHM dalam bidang yang sama sekali tiada kaitan dengan apa yang mereka pelajari selama ini. Mengapa?

"Jadi tak perlukah saya belajar tinggi-tinggi jika saya sudah nampak bahawa saya akan melakukan yang sama juga suatu hari nanti?" Terdetik persoalan di hati seorang pelajar lepasan SPM. "Mengapa saya harus melanjutkan pelajaran lagi?"

Kita semua akan melalui perjalanan ini. Sangat perlu untuk kita menuntut ilmu, tidak kira apakah bidangnya, yang pentingnya minat. Minat ini pula bisa berubah-ubah. Seperti saya yang dahulunya sangat minat dengan subjek perakaunan, setelah hampir lapan tahun berada dalam bidangnya, saya merasakan bahawa jiwa saya bukan lagi di situ. Antara sebabnya adalah kerana ianya menuntut terlalu banyak masa sehinggakan pejabat itu adalah rumah pertama saya.

Semua ini tidak bermakna bahawa pengajian yang selama bertahun-tahun di universiti itu tidak berguna. Adakah kita di universiti belajar semata-mata untuk bekerja? Tidak, universiti adalah sebahagian dari perjalanan hidup kita. Kita belajar berinteraksi dengan orang ramai, mengurus masa, mencari maklumat (yang akan berterusan di alam pekerjaan), semua yang akan menjadikan kita lebih dewasa dan lebih bijak menjadi manusia. Bijak, cerdik, pandai; itulah kualiti yang diperlukan untuk menjadi seorang ibu! Ibu yang bijak bakal melahirkan anak yang juga bijak lagi bermanfaat menjadi seorang manusia. Bagaimana kita mahukan pemimpin negara pada masa akan datang? Begitulah caranya kita perlu mendidik anak kita dari sekarang.

Dengan ilmu yang benar, inshaAllah, SAHM, WAHM akan memberi sumbangan yang besar untuk negara pada masa hadapan.


Tuesday 10 March 2015

Pembuka Bicara: Salam Ukhuwah

Entri 1

Teks: NOR AFZAN ABD KADIR


Bismillah
Assalamu'alaikum warahmatullahi wabarakatuh

Setelah 34 tahun lamanya diizin Allah hidup di atas muka bumi ini, inilah kali pertama saya mempunyai 'diari' online sendiri, sesuatu yang sangat saya cuba elakkan sejak saya mengenali dunia internet ini :).

Selamat datang dan salam perkenalan buat pembaca-pembaca blog saya. Nor Afzan binti Abd Kadir nama diberi oleh ibu yang melahirkan saya di sebuah rumah di Kampung Raja, Muar, Johor. Kononnya sempena mengambil nama Tuanku Ampuan Pahang :). Nama yang sebenarnya agak malu untuk saya sebut ketika bersekolah dahulu kerana ramai yang menyangkakan lelaki :).

Pendidikan awal saya, bersekolah rendah dan menengah di Ulu Tiram, Johor sehingga Tingkatan 3. Kemudian diterima masuk ke sekolah berasrama di Sekolah Menengah (Vokasional) Perdagangan, Johor Bahru (1996-1997). Selepas keputusan SPM diumumkan pula, saya melanjutkan pelajaran di Kolej Mara Banting, Selangor selama setahun setengah bagi mengikuti Program Matrikulasi Universiti Malaya dalam bidang Perakaunan, suatu bidang yang sangat saya minati zaman persekolahan dahulu. Kemudian ke kampus induklah pula menghabiskan pengajian selama tiga tahun setengah lagi.

Belum pun keluar salinan keputusan peperiksaan akhir, saya sudah memulakan tugas sebagai pembantu juruaudit di salah sebuah firma perakaunan antarabangsa di Johor Bahru (Disember 2002). Setahun kemudian saya bertukar angin ke firma perakaunan yang lain di Kuala Lumpur. Pada hujung 2005 hingga 2006, saya bergelar penganggur kehormat atas sebab yang tidak dapat dielakkan. Kemudian pada bulan Mei 2007, saya memulakan pekerjaan baharu di UEM Berhad sebagai Eksekutif Akaun dan genap tiga tahun di situ, saya meletakkan jawatan dengan tugasan-tugasan seorang Akauntan Pengurusan setelah bersedia menjadi suri kepada seorang suami. Saya berkahwin pada 13 Jun 2010 dan sejak itulah bermula episod kehidupan baharu yang sangat saya nanti-nantikan setelah sekian lama; menjadi surirumah sepenuh masa!

Bukan terlalu mudah jalan cerita untuk saya bergelar isteri dan duduk di rumah, namun itulah takdir Allah buat saya. Selang masa yang agak lama selama lebih dua tahun kami hidup berdua, kebanyakan masanya saya membantu suami menjalankan tugasan beliau sebagai seorang juruedit senior dengan salah sebuah syarikat penerbitan buku-buku agama yang terkenal di Malaysia. Dari situlah minat saya terhadap dunia pengeditan bermula. Selain tugasan yang agak mudah yang diberikan oleh suami, kerja itu juga boleh saya lakukan di mana-mana sahaja pada bila-bila masa, tanpa perlu keluar dari rumah! Semestinya upah yang diberi juga setimpal dengan usaha yang dicurahkan.

Bak kata pepatah, langit tidak selalu cerah. Dalam kegembiraan kami menyambut kehadiran orang baharu pada tahun ketiga perkahwinan, ujian yang amat hebat dari Allah datang. Si kecil Hamza sudah bergelar anak yatim ketika usianya baharu menjejak empat bulan. Innalillahi wainna ilaihi roji'un. Semoga Allah mengampuni dan menempatkan arwah dalam golongan orang-orang yang beriman.

Keinginan kuat saya untuk menyusukan anak secara langsung selama dua tahun, menyaksikan tumbesaran anak di depan mata, di samping bimbang meninggalkan anak bersama orang lain menyebabkan saya tidak mampu untuk menerima tawaran kerja yang sekali dua datang menyinggah. Walau keadaan adalah agak mendesak, saya tetap gembira dapat menyediakan makanan dan minuman sendiri buat anak saya, menjaga tahap kesihatannya dan dia tahu dia sentiasa ada saya bersama sebagai ibunya. Untuk memenuhi waktu-waktu itu, saya mencari sebanyak mungkin maklumat tentang minat baharu saya setelah mendapat cahayamata, iaitu tentang proses kelahiran alami, pemakanan sebenar dan sihat secara alami, di samping topik keibubapaan.

Kini, setelah hampir setahun setengah berlalu peristiwa sedih itu, saya mendapat kekuatan untuk memulakan langkah pertama untuk menjinakkan diri dalam dunia perniagaan. Tidak boleh tidak, saya harus mulakan. Umm Hamza Store telah didaftarkan, page bisnes Hamza Store telah dilancarkan. Buat permulaan, saya bermula dengan produk dropship dahulu disebabkan kekangan-kekangan yang ada. InshaAllah, saya ada perancangan memasarkan produk sendiri apabila sampai masanya.

Seperti ada yang tidak lengkap, saya tahu yang saya perlukan seorang pembimbing yang dapat menunjuk ajar saya. Alhamdulillah, pencarian maklumat di Google menemukan saya dengan Puan Anys Idayu Zakaria dan Puan Masayu Ahmad - antara penggerak utama Akademi Bekerja Dari Rumah (ABDR) - seterusnya lahirlah blog ini. Banyak maklumat dan ilmu bermanfaat yang dikongsikan mereka. Terima kasih cikgu.

Semoga Allah memberi keizinan dan keredhaan-Nya, seterusnya memudahkan perjalanan kami ibu-ibu yang ingin mencari rezeki halal lagi baik buat ahli keluarga kami secara khususnya dan ummah secara amnya. Amin.

Teruskan memberi sokongan dan doa kepada kami! :)