Showing posts with label Tip Ibu Bapa. Show all posts
Showing posts with label Tip Ibu Bapa. Show all posts

Sunday, 10 May 2015

Hari-hari Hari Ibu

Teks: NOR AFZAN ABD KADIR
Foto: Google


Bismillah
Assalaamu'alaikum

Ada kelainan tak entri setelah tamat tempoh berpantang 44 entri saya? Hehe.

Hari Ahad minggu kedua bulan Mei setiap tahun dikatakan sebagai hari sambutan Hari Ibu sedunia. Ketika inilah kelihatan di mana-mana sahaja perkongsian dari ibu-ibu tentang hadiah-hadiah, ucapan-ucapan yang diterima dari anak-anak mereka. Pastinya rasa hati berbunga-bunga dan bangga bukan?

Dari manakah sebenarnya asal-usulnya sambutan Hari Ibu ini? Apakah pula hukum menyambutnya? Saya bukanlah seorang alim ulama yang layak untuk menentukan hukumnya. Namun mahu saya kongsikan di sini setakat kemampuan memori dan pencarian saya.

Secara peribadi saya tidak pernah menyambutnya, tetapi pagi tadi saya telahpun mengucapkannya kepada mak saya. Hanya saja-saja, kerana tidak mahu beliau rasa tidak diingati (walaupun tinggal bersama). Validkah alasan itu? Saya tahu tidak..

Kerana apa? Kerana saya tidak pernah tahu asal-usulnya hari ibu ini. Saya cuma pernah membaca tentang perbincangan dan hukum-hakam mengenainya lantas tidak mengambil tahu tentangnya lagi.

Hari ini, barulah saya tergerak hati mencari maklumat mengenai sejarahnya. Pembaca boleh mencari atau baca di sini. Rupa-rupanya hari itu adalah hari yang dipilih seseorang sempena mengingati ibunya yang telah tiada. Ia kemudiannya mendapat sambutan lalu semua orang sekeliling pun turut menyambut pada hari yang sama.

Sebenarnya, tanpa mencari-cari sejarahnya pun, dengan yakin kita boleh katakan yang ianya bukan berasal dari Islam. Manakala menurut nabi Sallallahu alaihi wasallam pula, hari perayaan bagi kita umat Islam hanyalah dua; iaitu Eid al-Fitri dan Eid al-Adha. Jadi dengan dua fakta ini sahaja, kita dengan mudah boleh menolak perayaan atau sambutan apa pun yang selainnya. Katanya kita sayang nabi?

Jadi apa-apa sambutan yang nabi tidak pernah sambut jatuh haram? Bagaimana dengan hari lahir, hari bapa, hari kanak-kanak sedunia? Sebenarnya setiap dari kita ini bertanggungjawab mencari ilmu, bacalah, kajilah, lalu ambillah pendapat yang paling baik, yang paling diyakini. Jika kita meyakini ianya harus dan tidak haram, maka kitalah yang bertanggungjawab ke atasnya. Memang ada yang mengharuskan, atas dasar mengeratkan hubungan baik dan ia bukan perkara berkaitan ibadah (walaupun berbuat baik dengan ibu itu ibadah).

Setelah saya mengetahui sejarah ini, tertanya-tanya pula, kenapa saya mahu menyambut dan mengenang ibu orang lain yang tidak saya kenal pun siapa?

Bagi sesiapa yang melihat saya ada mengucapkannya di mana-mana, anggaplah ia sekadar meraikan rakan-rakan yang memilih untuk menyambutnya. Jika itu khilaf saya, maka keampunan saya panjatkan pada yang Maha Esa.




Saturday, 9 May 2015

Tempat Duduk Bayi Dalam Kereta Diwajibkan?

Teks: NOR AFZAN ABD KADIR


Sejak akhir-akhir ini terdengar ura-ura bahawa pemakaian tempat duduk khas bagi bayi di dalam kereta mahu diwajibkan. Bagaimanakah kita menanggapi isu ini?

Sudah tentunya saranan ini adalah bersebab. Dan sebab yang jelas dapat kita lihat adalah meningkatnya kes-kes kemalangan maut yang melibatkan bayi. Siapa yang tidak ngeri melihat anak kecil yang tercampak keluar dari kereta ketika kemalangan berlaku?


Jika dilihat pada negara-negara maju, pemasangan tempat duduk khas ini sudah lama diwajibkan. Kebanyakan tempat duduk khas yang pelbagai jenis dan kualiti ini juga dikeluarkan oleh negara mereka.

Antara alasan golongan yang tidak memasang tempat duduk bayi ini di dalam kereta adalah harganya yang mahal. Ia mungkin dianggap sebagai barangan mewah oleh sesetengah orang. Jika yang dilihat itu adalah barangan yang diimport dari luar negara, pastilah harganya telah berganda apabila sampai ke sini.

Kita di Malaysia juga punya pengeluar yang mengeluarkan produk yang tidak kurang hebatnya seperti ini. Contoh jenama yang lebih mampu milik adalah Sweet Cherry. Terdapat pelbagai jenis tempat duduk yang dikeluarkan mereka yang boleh memenuhi keperluan perjalanan bersama anak kecil kita.

Jika kita mahu lebih berjimat, kita boleh sahaja membelinya daripada orang lain. Ramai ibu bapa yang menjual semula barangan mereka apabila anak sudah besar dan ia tidak diperlukan lagi. Jika rajin mencari, pasti akan bertemu dengan barang yang masih baik kondisinya, pada harga yang sangat baik.

Seperti tempat duduk yang digunakan oleh Hamza sejak dia berusia dua bulan ini, ia adalah turun-temurun kepunyaan kakak yang diberi kepada kami. Walaupun sudah berusia, inshaAllah ianya masih kukuh dan selamat untuk digunakan.

Tempat duduk ini sangat membantu bagi saya yang selalu sahaja keluar berdua bersama anak. Dan disebabkan Hamza telah dibiasakan duduk di dalamnya sejak dia masih bayi, dia tidak mengalami sebarang masalah untuk duduk di tempatnya pada bila-bila masa menaiki kereta, alhamdulillah.

Bagi ibu-bapa yang risau akan anak mereka yang tidak mahu dan menangis-nangis untuk duduk di dalam itu, teruslah mencuba. Sampai ke tahap anak itu perlu dipaksa walaupun dia menangis. Biarkanlah daripada kita menangis di kemudian hari. InshaAllah, lama-kelamaan dia akan biasa. Pastinya kita perlu berusaha sebelum menyerah kepada takdir, bukan?

Semoga kita semua sentiasa dipelihara Allah dan selamat di sepanjang perjalanan kita dan dijauhkan dari segala kejadian yang tidak diingini. Amin

Thursday, 7 May 2015

Mari Membaca Label

Teks: NOR AFZAN ABD KADIR
Foto: Google


Sudah menjadi kebiasaan saya sekarang apabila membeli-belah; membelek-belek bungkusan untuk membaca label. Walaupun terpaksa meluangkan masa yang lebih lama berbanding sebelum ini namun saya gembira melakukannya.

Sebelum timbul kesedaran ini, saya seperti kebanyakan orang juga, hanya membaca apa yang tertulis pada bungkusan dalam bentuk yang ringkas dan menarik perhatian.

Sebagai contoh, yang tertulis "tanpa gula", "rendah lemak" pada bungkusan pastinya menarik bagi sesiapa yang mahu menjaga kesihatan bukan? Kita juga tidak tertanya-tanya, mengapa rasanya masih manis jika dikatakan tiada gula? Maka ianya tetap diterima dengan anggapan bahawa pastinya yang ini masih kurang manis daripada yang kebiasaannya.

Tetapi apabila kita cuba untuk membaca senarai isi kandungan yang dicetak dengan huruf yang kecil pada bahagian belakang bungkusan tersebut, maka tahulah kita bahawa terdapat bahan-bahan lain yang serupa dengan gula digunakan cuma ia menggunakan nama saintifik yang lain.

Jika diperhatikan pada setiap label makanan terproses yang dijual di mana-mana juga, pasti ada bahan-bahan tersenarai menggunakan kod-kod bernombor yang kita sendiri tidak tahu pun bahan apakah itu. Paling-paling kita akan menganggapnya sebagai bahan kimia yang selamat untuk dimakan. Jika tidak, masakan ia dapat dijual, malahan sebahagiannya terdapat tanda halal JAKIM lagi bukan? Ya, mee segera juga adalah halal.

Namun bagi golongan yang ingin kembali memakan makanan-makanan yang alami seperti nenek moyang kita zaman dahulu kala, bahan-bahan 'pelik' seperti itu seboleh mungkin akan dielakkan.

Kemudian kita lihat pada produk penjagaan diri seperti sabun mandi dan syampu pula. Tidaklah selama ini saya pedulikan tentang isi kandungannya. Yang penting bagi saya adalah wangi dan saya rasa selesa setelah menggunakannya. Saya (dahulu) juga adalah jenis yang setia kepada jenama.

Walaupun sudah agak lama saya mendengar tentang bahan-bahan seperti Sodium Laureth Sulfate (SLS), SLES, Paraben adalah bahaya dan penyebab kanser, tetapi baru kini saya membuka mata dan mahu memastikan bahawa saya tidak akan menggunakannya pada anak saya. Lalu saya beralih kepada produk yang lebih selamat iaitu sabun buku sahaja.

Secara umumnya bolehlah saya katakan mengenai label kandungan ini, bahawa yang paling kurang itu adalah lebih baik (less is more). Jika kita membeli bahan segar seperti buah dan sayuran, adakah terdapat senarai kandungan padanya?

Tentulah tiada bukan? Kerana ia bukanlah produk yang diproses, ia boleh dipetik dari pokoknya dan begitu jugalah rupanya. Bagaimana pula dengan makanan diproses seperti kek dan biskut? Tentu tidak ada pokok yang 'melahirkannya' bukan? Ia adalah produk yang perlu melalui proses pengilangan.

Dan jika dikatakan proses pengilangan, pasti dilakukan oleh pihak yang mahu membuat keuntungan. Bagaimana mahu meningkatkan keuntungan? Produk yang dihasilkan perlulah secara banyak, sedap, nampak menarik dan tahan lama. Maka apa-apa bahan yang boleh membuatkan produk itu tahan lama tanpa mengubah rasanya akan digunakan, itulah fungsinya penstabil, pengawet, pewarna dan perisa.

Kembali kepada makanan dan bahan alami, logikkah pada zaman serba moden dan segera ini? Ya, memang sukar. Tetapi di mana ada kemahuan, inshaAllah ada jalan kan?

Topik ini sebenarnya adalah agak luas dan boleh dikembangkan kepada beberapa tulisan lagi. InshaAllah jika diizinkan, saya akan terus berkongsi dengan anda semua.


Gendong Anak

Teks: NOR AFZAN ABD KADIR
Foto: Google


Selama sembilan bulan seorang bayi berada di dalam alam yang gelap, suam dan sempit. Kaki tangannya sentiasa terlipat akibat ruangan yang sangat terhad terutama di trimester terakhir kehamilan. Pun begitu, dia masih seronok bermain, menendang, berpusing kerana dia tahu dan rasa dia selamat.

Namun, saat pertama dia lahir menjengah dunia, segala-galanya berubah. Ruang terbuka seluas-luasnya, dengan suhu yang sejuk, pastinya dia berada dalam keadaan terpinga-pinga, terkejut dan takut. Lalu apakah yang dapat dia lakukan untuk menterjemahkan perasaannya ketika itu? Ya, hanya menangis.

Bayi di awal-awal kehidupannya, selagi dia masih belum tahu dan mampu mengawal emosinya, pasti menangis untuk segala unsur ketidakselesaan yang dia alami. Ibu bapa muda pula kebiasaannya pasti tertekan dengan keadaan ini.

Lalu apakah yang boleh dilakukan oleh ibu bapa saat anak menangis sesudah dipastikan perutnya diisi, lampinnya ditukar, ngantuknya telah hilang?

Kendong. Usahkan kata bayi kecil, anak yang sudah besar pun suka dikendong. Tidak kira didukung dengan tangan atau dengan alat sokongan, ia tetap menjadi pilihan.

Kerana matlamat untuk digendong itu sama, iaitu berada dekat dan selamat dengan si ibu atau penggendongnya.

Terdapat pelbagai jenis alat gendong yang dijual di pasaran, yang mahal dan yang murah. Namun yang bagaimanakah yang sepatutnya menjadi pilihan?

Pilihlah yang selamat, berkualiti dan selesa bagi si pemakai dan bayi yang dipakai. Para ibu bapa seharusnya tahu apa yang selamat dan apa yang tidak patut dalam pemilihan alat gendongan kerana yang akan dibawa itu adalah anak mereka yang sangat tidak ternilai harganya.


Saya mendapat ilmu mengenai gendongan bayi ini juga agak lewat, setelah Hamza berusia setahun. Sebelum itu saya memang sudah membeli kain gendong yang dipanggil ring sling sejak Hamza di dalam kandungan lagi.

Namun setelah Hamza semakin membesar dan saya terasa sakit-sakit badan setelah mendukungnya agak lama, saya mula mencari jenis gendongan yang lebih sesuai dan selesa. Dan saya memperoleh banyak ilmu menerusi grup Facebook Malaysian Babywearers.

Syarat-syarat gendongan yang selamat

Terdapat pelbagai jenis penggendong yang sesuai untuk dipakaikan ke anak mengikut usia dan perkembangan mereka. Contoh yang paling mudah, murah juga selamat adalah penggunaan kain batik lepas, sangat sesuai dipakai ketika bayi baru lahir.

Untuk Hamza yang sudah pun setahun setengah ketika itu, saya memilih Soft Structured Carrier (SSC). Dan rezeki kami mendapat SSC keluaran tempatan pada harga yang agak murah.


Alhamdulillah, saya dan anak selesa memakainya. Kini, ke mana-mana kami pergi saya pasti akan bawa SSC ini bersama. Hanya satu ini sahajalah pun yang kami mampu ada.

SSC mudahnya kerana ia menggunakan penetap (buckle) sepenuhnya. Terdapat juga Mei Tai yang perlu diikat mengikut keselesaan si pemakai manakala wrap adalah yang paling selesa tetapi pemakai perlu belajar dan mahir tentang jenis ikatan-ikatannya.

Itulah antara alat gendongan yang selamat dan ergonomik untuk dipakai. Ia memberi keselesaan optimum kepada si pemakai dan anak yang dipakainya. Untuk yang tercari-cari penggendong yang sesuai, silalah bandingkan pilihan-pilihan yang ada dan dapatkan harga yang terbaik mengikut bajet anda.

Selamat menggendong!

Sunday, 19 April 2015

Ulser dan Antara Rawatannya

Teks: NOR AFZAN ABD KADIR
Foto: Google


Sudah beberapa hari tiada entri dari saya. Selain tidak dapat mencari waktu yang sesuai untuk menulis, otak saya juga tidak dapat digunakan secara maksima akibat keletihan dan kesakitan yang dialami.

Sejak Hamza baik daripada demam tempohari, saya perasa satu kelainan padanya iaitu apabila dia menangis, bunyi tangisannya seperti tersekat-sekat. Dia berhenti sekejap-sekejap sambil mulutnya berkecap-kecap kemudian sambung menangis.

Pada mulanya saya tidak mengesyaki apa-apa cuma mungkin ada sesuatu yang sedikit mengganggu dalam mulutnya. Oleh kerana dia masih berkelakuan seperti biasa dan aktif bermain, saya biarkan sahaja.

Masuk hari kedua, dia semakin tidak berminat untuk makan walau dihulur makanan yang disukainya dan hanya meminum air. Saya semakin rasa pelik apabila dia meminta susu tetapi apabila disua, dia menggeleng kepala dan menolak. Tidak pernah dia menolak sebegitu lebih-lebih lagi apabila matanya sudah sangat mengantuk hendak tidur. Dia juga tidak mahu membuka mulut untuk saya lihat apa yang ada di dalamnya.

Pada waktu siang, dia masih dapat 'melupakan' kelaparannya kerana sibuk bermain, namun apabila hendak tidur malam, dia kelihatan seperti sangat sukar untuk lelapkan mata. Penyudahnya, dia menangis tanpa henti memecah kesunyian malam sehingga memaksa orang lain pun berjaga sama. Dipujuk-pujuk tidak jalan.


Ketika dia menjerit-jerit itulah saya berjaya menyuluh ke dalam mulutnya dan ternampak dua ulser (biasa dipanggil mata ikan) di bahagian dalam pipinya sebelah kanan. Tidak pula dapat saya periksa di bahagian lain.

Yakinlah saya sebabnya dia tidak mahu menyusu seperti selalu. Pasti sangat sakit ketika dia hendak menyedutnya. Padanlah untuk berus gigi dan makan apa pun dia tidak mahu. Kasihan anakku.

Ketika itu saya hanya mampu menyapukan madu pada tempat ulser tersebut dalam keadaan dia terjerit-jerit menangis. Saya juga menggunakan picagari untuk memasukkan minyak kelapa dara ke dalam mulutnya beberapa kali. Ya, semuanya secara paksa. Mungkin akibat penat menangis dan mengantuk yang amat, dia mahu menyusu dan lena dengan cepat.

Keesokannya saya keluar untuk menyelesaikan beberapa urusan bersama anak saudara dan berbelanja di Giant termasuk membelikan Hamza buah-buahan untuk dia makan. Di sana juga saya berikan dia sekotak kecil susu segar yang sejuk.

Sampai di rumah, bungkusan tembikai potong itu terus saya masukkan ke bahagian beku. Alhamdulillah, dia suka memakannya walau hanya habis separuh dari satu potongan. Dia turut makan sedikit overnight oat yang saya sediakan di dalam peti sejuk. Selesa mulutnya menerima yang sejuk-sejuk.

Syukur, malam itu tiada lagi tangisan seperti dua malam yang sebelumnya. Hamza sudah sedikit selesa untuk tidur dan menyusu. Cuma saya pula yang mula mengalami kesannya, mendapat sakit kepala dan rasa hendak demam. Akan bersambung pada entri yang berikutnya.

Sunday, 12 April 2015

Perjalanan Penyusuan Hamza (Bahagian 2)

Teks: NOR AFZAN ABD KADIR
Foto: Google


Sambungan dari Bahagian 1.

Selain dari faktor ibu dan bayi, faktor persekitaran juga sangat penting untuk menjayakan misi penyusuan susu ibu. Stress, antara yang memberi kesan terhadap pengeluaran susu.

Ketika saya ditahan di wad selama tiga hari bersama Hamza, saya berasa sangat stress bermula hari kedua. Pertama kerana saya sukar membuang air besar dan kerana saya tidak dapat bergerak bebas dan menjalani tempoh berpantang seperti yang sepatutnya. Anak saya pula dicucuk diambil darah setiap hari kerana ingin dipantau keadaannya yang tidak ada apa pun masalahnya.

Hanya setelah hari keempat saya dapat pulang ke rumah, barulah rasa lega. Ketika itulah baru saya boleh berurut, ketika itulah baru saya dapat membeli bengkung badan secara online, memulai tempoh berpantang secara tidak sempurna. Saya juga berpantang sendiri. Suami yang memasakkan dan menyediakan makanan saya seadanya. Jika dia tidak sihat, saya akan melakukannya sendiri.

Penyusuan ketika itu masih berjalan lancar. Sehinggalah setelah seminggu, tiba-tiba saya berasa seram sejuk setelah bangun tidur pada suatu pagi. Terus saya telefon dan tanyakan pada emak, emak mengatakan kemungkinan saya bentan dan meminta saya menghubungi bidan urut semula. Apabila dapat dihubungi, bidan menyarankan saya untuk pergi dapatkan rawatan di hospital. Sangatlah jelas, saya tidak akan pergi.

Emak yang sedang bercuti dari mengajar mengaji ketika itu datang dihantar oleh abang, untuk membantu saya. Ketika itulah saya dapat merasakan kesakitan pada sebelah payudara saya apabila tersentuh. Tahulah saya bahawa demam ini akibat ada salur susu yang tersumbat, menyebabkan kawasan yang terlibat itu mengeras dan menyakitkan.

Merujuk kepada kakak yang berpengalaman menyusukan anak bongsunya lama, saya meminya suami membelikan kobis untuk saya gunakan daunnya sebagai petua untuk surutkan bengkak susu. Namun saya tersilap langkah, bengkak saya hanya pada bahagian yang kecil tetapi saya menggunakan saiz daun kobis yang menutup keseluruhan sebelah dada saya semalaman.

Memang saya berasa tidak sakit lagi keesokan harinya, namun ujian lain pula yang menimpa. Susu saya seperti kering! Hamza banyak menangis seperti tidak dapat susu dari sebelah yang menjadi kesukaan dia untuk menghisap. Saya agak panik ketika itu. Emak membantu dengan menyediakan saya minuman longan kering dengan banyak untuk saya minum bagi membanyakkan susu.

Saya yang tidak lepas dari memegang Hamza sentiasa menyuakan susu yang sebelah lagi kepadanya. Dan dia masih terus menangis. Dalam keadaan kelam kabut itu, saya mencari-cari nombor telefon rakan pembimbing ibu-ibu menyusukan yang berdekatan. Saya terus membuat satu panggilan dan alhamdulillah mendapat pandangan dan tips daripada rakan berpengalaman tersebut.

Katanya kobis memang boleh membantu masalah bengkak susu tetapi hanya dilakukan untuk jangkamasa yang sekejap sahaja. Jadi beliau menasihatkan saya untuk teruskan penyusuan dengan menyuakan anak sebelah yang bermasalah dahulu, biarkan dia terus menghisap walaupun kosong kerana stimulasi itu yang penting bagi meransang pengeluaran semula susu seperti biasa.

Saya pun menurut sahaja saranannya dan alhamdulillah, selepas beberapa minggu akhirnya bekalan susu kembali seperti biasa. Amat penting untuk si ibu tidak panik dan cepat berputus asa lalu mengambil jalan singkat dengan memberikan anak susu formula.

Bersambung...

Merawat Anak Demam

Teks dan foto: NOR AFZAN ABD KADIR


Bangun pagi hari ini terasa kehangatan badan Hamza lain macam, tak seperti biasa, tapi tak pula macam demam. Bangun seperti biasa, menjerit dan bergaduh seperti biasa (dengan abang sepupunya berusia dua tahun lapan bulan), makan dan minum juga seperti biasa.

Selepas memandikan dia, dia duduk diam di ruang tamu sambil menghadap adik sepupu kesayangannya (berusia lapan bulan) bermain. Saya menikmati sarapan lontong kering yang dibeli oleh mak di pasar tani pagi tadi dengan aman tanpa gangguan.

Selesai makan, terdengar suara Hamza merengek mahu menangis, tanpa beralih kedudukan. Oh, terima kasih anak sebab bagi mama peluang makan dahulu sampai kenyang. Saya pun terus mendapatkannya. Sebaik mengangkatnya saya rasakan kepala dan badannya telah mula panas. Anak mama sudah mula demam.

Seingat saya yang terakhir dia demam pada bulan September tahun lepas. Saya boleh ingat kerana ada saya ambil gambarnya dan poskan di Facebook. Dia demam dan sembuh dalam masa 24 jam ketika itu. Kemudian jika tak silap saya, dia demam lagi dalam bulan Disember tahun yang sama. Ketika itu hanya seketika panas badannya (dedar) dan saya masih membawa dia keluar ke Giant membeli barang.

Sekarang bulan April dia demam lagi. Tak tahu apa puncanya. Mungkin cuaca panas, mungkin dia kurang meminum air putih dan lebih banyak minum susu segar yang saya belikan tempohari. Tapi lampinnya masih basah dengan banyak ketika mandi pagi tadi. Adakah demam kali ini demam untuk bercakap? :) Sepertimana demam pada September yang lepas saya andaikan demam untuk berjalan :).

Tak kiralah apa puncanya demam itu, yang pasti demam itu baik untuknya. Kebiasaan demam itu adalah apabila badan diserang virus dan sistem pertahanan badan akan bertindak dengan melawan virus itu. Kita tidak perlu untuk terlalu cepat memberikan anak ubat dari klinik atau farmasi apabila anak baru diserang demam. Biarkan sistem badannya menjalankan tugas mereka dahulu. Dengan cara itu, ia dapat melatih supaya badan anak kuat untuk melawan penyakit-penyakit yang berpotensi untuk menyerangnya disebabkan sistem imun yang telah kuat.

Membiarkan di sini bukanlah bermaksud hanya meninggalkan anak bersendirian dan biarkan dia tidur sahaja, membiarkan di sini bermaksud biarkan dia dari dirawat dengan ubat-ubatan kimia. Kita sebagai ibu tetap punya tugas untuk dilakukan bagi membantu anak melawan penyakitnya itu.

Tugas paling utama yang saya lakukan apabila anak demam adalah memandikannya dengan kerap. Jika tidak dapat memandikan, sekurang-kurangnya adalah mengelap atau menuam kepala dan seluruh badannya sehingga ke kaki menggunakan tuala dan air paip dengan kerap atau sehingga suhunya stabil, tidak terlalu panas.

Kawasan-kawasan pelipat (ketiak, leher, atas siku dan bawah lutut) adalah yang paling penting untuk dilap kerana kawasan tersembunyi itu merangkap haba dan haba panas perlu dikeluarkan dari badan. Demam kali ini Hamza tidak mahu bangun dan hanya mahu saya baring di sebelahnya sambil dia menyusu. Saya turutkan sahaja sambil tangan mengelap badannya dengan tuala basah.

Di dapur telah saya jerangkan sup tulang yang biasa saya buatkan untuknya terutama apabila anak tidak sihat. Sup tulang mengandungi khasiat yang diperlukan bagi menggantikan khasiat terutama protein yang hilang dari badan dimakan oleh virus yang menyerang.

Antara ramuan biasa yang digunakan untuk membuat sup ini adalah tulang ayam dari mana-mana bahagian, lobak merah, batang seleri yang direneh bersama-sama bawang besar, bawang putih dan sedikit halia, boleh juga ditumis dahulu dengan minyak zaitun atau minyak kelapa. Ketika memasak, tambahkan dalam sesudu makan cuka epal bagi membantu mengeluarkan khasiat dari dalam tulang dengan lebih baik.

Kebiasaan anak yang kurang sihat akan hilang selera makannya, maka memadailah jika dia dapat menghirup sedikit dari sup tersebut bagi membantu badannya mendapat nutrien yang diperlukan agar 'askar-askar'nya kuat untuk terus berlawan.

Antara remedi lain yang boleh diberi kepada anak yang demam adalah madu asli, minyak kelapa dara dan minyak zaitun yang memang saya beri kepada Hamza setiap hari. Jadi ketika dia tidak sihat, dos akan ditambah kepada dua atau tiga kali setiap hari. Bahagian kepalanya pula boleh dijerlum atau dibasahkan dengan air asam jawa, inshaAllah ia membantu menurunkan suhu dengan cepat.

Untuk waktu tidur malam pula (tidur siang pun boleh), boleh dipakaikan anak dengan stokin bawang putih (garlic socks) atau stokin lemon (lemon socks, boleh juga diganti dengan cuka epal). Untuk garlic socks; tumbuk kasar seulas bawang putih dan letakkan di dalam stokin lalu pakaikan ke anak. Untuk anak yang masih bayi, bolehlah dipakaikan stokin lain dahulu, kemudian pakaikan stokin bawang putih kerana mungkin kulitnya akan menjadi terlalu sensitif jika terus dipakaikan.

Untuk lemon socks, perahkan lemon di dalam semangkuk kecil air dan rendam stokin di dalamnya sebentar kemudian perahkan. Pakaikan ke kaki anak ketika dia hendak tidur. Jika terbangun di waktu malam dan stokin sudah kering, boleh diulangi semula langkah tadi.

Dengan izin Allah, bangun pagi keesokan harinya anak akan lebih bertenaga dan suhunya kembali stabil. Teruskan melakukan remedi di atas sehingga anak betul-betul sihat. Namun jika suhunya tetap naik sehingga 39°c, bolehlah diberikan ubat seperti arahan doktor. Dalam keadaan suhu tidak turun-turun, bawalah anak berjumpa doktor untuk diperoleh diagnosis yang lebih tepat.

Semoga Hamza dan anak-anak lain yang sedang kesakitan sekarang kembali sihat seperti sediakala secepatnya. Amin.


Tuesday, 7 April 2015

Perjalanan Penyusuan Hamza (Bahagian 1)

Teks: NOR AFZAN ABD KADIR
Foto: Google


Pertama kali saya didedahkan dengan dunia penyusuan susu ibu ini adalah ketika masih bekerja dan menetap di Kuala Lumpur, tahun 2008. Seorang sahabat yang saya kenali melalui forum agama di alam maya yang mula membuka mata saya mengenai topik ini. Beliau seorang doktor, pensyarah dan ketika itu sedang melanjutkan pengajiannya dalam bidang penyusuan yang akan menggelarkannya seorang konsultan penyusuan susu ibu yang bertauliah.

Pada setiap kelapangan, pasti beliau akan membawa saya pergi ke program-program yang berkaitan dengan susu ibu. Walaupun pergi dengan tidak sepenuh hati kerana berasakan yang saya belum lagi berada di dalam kelompok itu, namun saya amat bersyukur kerana sekurang-kurangnya, kesan dari menyertai program-program tersebut telah menguatkan niat dan azam saya untuk menyusukan anak ketika saya mula mengandung beberapa tahun selepas itu.

Sejak awal kandungan lagi, saya berdoa memohon agar Allah Subhanahu wata'ala izinkan saya untuk melahirkan anak dengan selamat di rumah dan menyusukan anak saya sehingga dua tahun. Tanpa gagal, itulah doa saya pada sujud terakhir setiap kali solat. Dan alhamdulillah, Allah telah pun memberikan saya kemampuan untuk melakukannya, bukan melalui jalan yang mudah, tetapi sehingga kini saya masih melakukannya. Alhamdulillah.

Susu ibu, tidak kiralah daripada ibu sendiri atau ibu susuan, tidak akan ada yang dapat menyangkal akan kebaikannya melebihi susu-susu yang lain. Walaupun ketika si ibu sedang sakit, susunya masih yang terbaik dan bermanfaat buat anaknya. Tidak ada juga istilah bahawa kebolehan menyusukan anak ini bergantung kepada faktor keturunan dan juga bentuk badan. Dalam kalangan ahli keluarga saya sendiri mempunyai kepercayaan bahawa kami yang perempuan adalah keturunan tidak banyak susu. Namun itu tidak sedikitpun saya percaya. Satu-satunya yang penting bagi memastikan kejayaan penyusuan adalah dengan ilmu.

Penyusuan anak adalah perkara kedua terpenting yang saya titik-beratkan sepanjang kehamilan selepas menggali ilmu untuk mendapatkan proses kelahiran yang alami. Malah persiapan untuk si kecil seperti pakaian dan alatan-alatan lainnya, saya sediakan secara ala kadar sahaja. Kebanyakan masa saya habis digunakan untuk membaca dan belajar dari ibu-ibu yang berpengalaman. Jangan anggap bahawa setiap ibu akan mampu menyusukan dengan baik sejurus selepas bersalin.

Jika dirasakan telah banyak membaca pun, tidak semua ibu mampu memberikan susu kepada anak sebaik dia lahir. Selain diri sendiri yang perlu ada keyakinan yang tinggi, peranan dan sokongan orang-orang terdekat juga turut merupakan faktor yang penting bagi memastikan kejayaan misi ini. Banyak cerita yang kita dengar mengatakan susu tidak keluar selepas melahirkan kerana mereka menjangkakan susu akan keluar mencurah-curah pada hari-hari pertama selepas melahirkan. Ini sangat tidak masuk akal jika kita mengetahui sebesar apakah saiz perut bayi ketika itu. Bayi hanya memerlukan beberapa titis susu ibu selepas dilahirkan. Dan susu yang berwarna kekuningan yang dipanggil kolustrum ketika awal kelahiran yang dianggap susu basi oleh sesetengah orang itulah yang paling penting untuk diberikan kepada bayi.

Sejurus Hamza dilahirkan, ketika dia dilihat seperti mencari-cari sesuatu, saya terus memberikannya susu. Cara lekapan yang betul diajarkan oleh sahabat saya ketika itu. Stimulasi seperti itu sangat penting. Hisapan itulah yang menghantar isyarat kepada otak bahawa susu diperlukan untuk dihasilkan kerana adanya permintaan. Ditambah pula susu ibu sangat mudah untuk dihadam dan dengan perut yang sekecil itu, maka sangat patutlah bayi ingin menyusu dengan sangat kerap pada hari-hari awal kelahirannya.

(Bersambung...)

Friday, 3 April 2015

Mengapa Bayi Makan Atas 6 Bulan?

Teks: NOR AFZAN ABD KADIR



Ingatkan kita bilakah pertama kali perut kita diisi dengan makanan ketika kita masih bayi? Empat bulan? Dua bulan? Dalam hari??

Bagi yang menjawabnya di bawah enam bulan, apakah jenis makanan tersebut? Nestum? Bubur cair? Biskut atau roti cicah air?

Jika ada di antara jawapan di atas, bagaimanakah pula tahap kesihatan kita ketika ini? Adakah antara kita yang menghidapi masalah pembuangan air besar? Atau apa-apa masalah di dalam perut? Buah pinggang?

Tahukah anda kenapa di dalam buku rekod kesihatan anak menyarankan bahawa makanan pelengkap hanya diberi kepada bayi dari enam bulan ke atas? Makanan awal yang sepatutnya diperkenalkan pula adalah makanan sebenar dari jenis buah-buahan atau sayur-sayuran yang dipurikan? Ini adalah kerana sistem penghadaman bayi pada usia sebegini adalah sangat mentah dan tidak kuat lagi. Ia tidak mampu lagi untuk memproses makanan yang kompleks sebegitu.

Pernahkah anda mendengar kisah seorang bayi seusia empat hingga lima bulan terpaksa dipotong di beberapa tempat pada saluran ususnya kerana tersumbat dan rosak? Apakah sebabnya sehingga boleh berlaku seperti itu? Mendengarnya sahaja sudah membuatkan kita rasa begitu sedih, bagaimana pula dengan perasaan ibu dan bapanya? Anak itu sendiri apabila dewasa? Jika kita yang berada di tempat mereka? Sungguh, ianya suatu ujian yang perit, sebuah harga yang mahal yang perlu dibayar oleh mereka.

Adakah salah seseorang bayi itu menangis? Adakah kaedah lain lagi bagi si kecil untuk berkomunikasi? Mengapakah kita yang lebih dewasa sentiasa ingin mengambil jalan singkat bagi memberhentikan tangisan itu? Alasan bahawa dengan memberinya makan supaya perutnya kenyang lalu membuatnya diam dalam jangka waktu yang lama adalah sangat tidak munasabah. Tidakkah dapat kita berfikir bahawa sistem badan si bayi itu telah terlalu penat kerana terpaksa bekerja keras bagi memproses benda asing yang hadir di dalam perutnya lalu dia dipaksa supaya tertidur?

Tolonglah wahai ibu-ibu, walau apa pun alasannya, tolong bersabar untuk memberi bayi anda makanan di bawah umurnya enam bulan. Tidak ada satu arahan pun di dalam al-Quran dan hadith yang mengarahkan kita memberi anak makan seawal umur begitu. Satu-satunya yang disebut di dalam al-Quran adalah saranan supaya menyusukan anak kecil sehingga umurnya dua tahun. Ya, dua tahun. Dua tahun tanpa makanan tidak akan membunuh bayi itu. Dengan syarat, bayi disusukan dengan susu ibu dan ibu mendapatkan khasiat secukupnya dari makanan dan minumannya.

Namun, ini sememangnya bukan satu kerja yang mudah. Buat yang masih berusaha saya doakan semoga berjaya. Buat yang telah berusaha semampu mungkin namun terpaksa juga memberi anak makan selepas enam bulan, tahniah saya ucapkan. Saya adalah di antara mereka yang telah tidak menyedari hakikat bahawa anak kecil boleh hanya disusukan dengan susu ibu sehingga usianya dua tahun. Dan saya agak terkilan sebenarnya setelah mengetahuinya. Tidak menyesal, kerana saya telah pun berusaha semampu mungkin menjaga makan dan minum anak saya sehingga kini.

Marilah kita sama-sama mengambil kesedaran ini. Sampaikan ilmu kepada yang tidak mengetahui. Siapa tahu kita mungkin menjadi penyebab seorang anak itu tidak terpaksa hidup dalam kesakitan akibat kecuaian orang tua sepanjang hidupnya? Tundakanlah memberi makanan pejal kepada anak selama yang boleh. Tidak dapat dua tahun, cubalah untuk setahun. Dan pastikan anak kita mendapat bekalan susu yang sihat dari ibunya atau ibu susuannya.

Semoga generasi anak-anak kita terdiri daripada insan-insan yang sihat lagi bermanfaat untuk masa hadapan. Amin.

Thursday, 26 March 2015

Minyak Kelapa Dara (VCO)

Teks dan foto: NOR AFZAN ABD KADIR


Kelihatan resit Cosway di situ? Sebenarnya nak cerita yang bulan ini ada tawaran menarik dari Cosway untuk produk Virgin Coconut Oil (VCO) keluaran Country Farm ini. Dua botol 500ml berharga RM59 sahaja (harga biasa RM36.90 sebotol). Mujur sempat untuk saya dapatkan sebelum akhir bulan ini. Saya bukan ahli Cosway namun saya mendapat maklumat ini daripada rakan yang berkongsi di facebook (terima kasih rakan!) beberapa minggu yang lalu.

Buat yang baharu kenal dan belum pernah mengambil VCO ini tentu akan bertanya; ada apa dengan VCO? Seperti saya sendiri yang sudah agak lama mendengar tentangnya namun tak pernah pun terfikir untuk mencari sehinggalah ketika saya berada pada trimester terakhir kehamilan. Dari maklumat yang saya baca, VCO amat bagus untuk diamalkan pada penghujung kehamilan atas sebab kebaikannya yang sangat banyak.

VCO yang bagus untuk dimiliki adalah yang dihasilkan melalui kaedah perahan sejuk (cold pressed), tidak disuling (unrefined) dan penanamannya secara organik. Akhir-akhir ini terdapat pelbagai keluaran VCO dari banyak pengeluar dengan jenama masing-masing. Saya hanya pernah mencuba tiga jenama yang setiap satunya memberikan rasa yang berlainan. Jika ditanya pada saya mana satu yang terbaik, saya akan katakan saya memilih yang paling ekonomi dan rasanya 'ringan'. Itulah jenama Country Farm yang paling lama saya dan anak gunakan.

Ingin saya berkongsi sedikit di sini manfaat-manfaat yang ada pada VCO dari apa yang sendiri rasai dan melalui pembacaan. Jika dibuat pencarian, kita akan berjumpa dengan pelbagai khasiat dan kebaikan yang ada pada VCO. Antaranya seperti di bawah:

1) Memudahkan pembuangan air besar bagi yang mengalami masalah sembelit. Ini sangat membantu terutama ketika mengandung dan selepas melahirkan yang mana masalah sukar membuang air akan dialami oleh ramai wanita. Ia juga membantu bayi dan anak kecil yang mengalami masalah yang sama.

2) Aplikasi VCO pada kawasan perineum pada akhir kehamilan akan membantu mengelastikkan lagi pembukaan faraj wanita bagi membantu memudahkan kelahiran. Terdapat ramai yang berkongsi bahawa jika dilakukan secara kerap dan betul, tidak akan berlaku sebarang koyakan yang memerlukan jahitan ketika melahirkan. Jika di hospital, prosedur episiotomi juga dapat dielakkan.

3) Untuk yang menderita penyakit kulit seperti ekzema juga bagus untuk menggunakannya, untuk sapuan dan juga dimakan. Namun perlu untuk diuji dahulu kesesuaian kulit dengan melakukan 'patch test' di mana sedikit VCO dioles pada kawasan tersembunyi di bahagian tubuh yang mengalami masalah dan lihat jika terdapat kesan yang lebih teruk selepas beberapa ketika. Jika tiada maka bolehlah digunakan VCO bagi tujuan memulihkan ekzema.

4) Menggantikan minyak bayi (baby oil) komersial yang kebanyakannya mengandungi bahan kimia yang tidak bagus untuk disapu pada kulit bayi. Kulit bayi akan sentiasa lembab dan tidak perlu lagi disapukan bedak talkum.

5) Dijadikan minyak rambut bagi melebatkan rambut. Boleh juga dibuat bancuhan VCO dan perahan lemon untuk masalah kulit kepala gatal dan kelemumur. Sapukan pada kulit kepala setiap hari dan bolehlah disyampu seperti biasa selepas itu.

6) Menggantikan minyak masak untuk alternatif yang lebih sihat. Tidak seperti minyak kelapa sawit yang hanya boleh diulang guna maksima tiga kali, VCO boleh digunakan berkali-kali tanpa masalah. Jika anak anda sangat gemarkan makanan bergoreng maka ini adalah cara yang paling selamat. Selain sihat, rasanya juga lebih enak.

7) Menggantikan mentega dalam pembikinan kek dan biskut. Seperti di atas, ia juga pilihan yang lebih sihat.

8) Membantu meningkatkan sistem imun anak dan orang dewasa. Pengambilan secara kerap setiap hari akan menyediakan sistem tubuh kita untuk lebih kuat melawan penyakit. Anak-anak yang mengamalkan VCO juga tidak mudah diserang penyakit.

9) Membantu penurunan berat badan bagi yang bermasalah.

10) Sangat baik digunakan untuk kesihatan dalam mulut. Berkumur dengan VCO setiap pagi sebelum gosok gigi dan sarapan selama lebih kurang 20 minit kemudian ludahkan pada bakul sampah, baharu berus gigi seperti biasa. Terlalu lama? Selepas solat Subuh boleh mula dan sambil anda membasuh baju, menyediakan sarapan, 20 minit akan berlalu :). Kenapa tidak dibuang ke dalam sinki terus? Sepertimana minyak masakan yang lain juga, lama kelamaan ia dikhuatiri akan menyebabkan sinki tersumbat. Maka elakkanlah dari awal.

Hamza sekarang memberus gigi dengan VCO sahaja :)

VCO boleh diminum terus. Bagi yang baharu boleh mulakan dengan sesudu besar di waktu pagi dan sebelum tidur. Untuk anak kecil, mulakan dengan sesudu kecil. Bayi yang sudah mula makan makanan pelengkap boleh bermula seawal 6 bulan, dengan dicampurkan ke dalam susu atau makanannya. Dos boleh ditingkatkan mengikut keperluan terutama ketika tak sihat.

Setakat ini yang mampu dicoretkan buat masa ini. Amalkanlah VCO untuk kesihatan yang baik seisi keluarga.

Monday, 23 March 2015

Sakit Kepala dan Rawatannya

Teks: NOR AFZAN ABD KADIR


Sejak dua hari lepas saya diserang sakit kepala a.k.a. migrain. Agak lama sudah tidak mengalaminya. Terdapat banyak kemungkinan seseorang boleh diserang sakit kepala. Kali ini saya ingin membincangkan dari perspektif seorang ibu yang menyusukan anak.

Hampir saya terlupa yang saya sedang menyusukan, jumlah cecair yang masuk ke dalam perut saya perlu dikekalkan dalam kuantiti sekurang-kurangnya dua liter, sebaik-baiknya sehingga tiga liter dalam sehari. Ketika asyik memikirkan kemungkinan sebab-musabab saya diserang sakit kepala kali ini, atas pertanyaan seorang sahabat baharulah saya tersedar yang saya telah kurang mengambil air minuman pada hari sebelumnya.

Antara sebab-sebab lainnya:
- Mengambil makanan yang agak tinggi kandungan garam seperti maruku, kerepek dan bebola daging dalam hidangan bakso.
- Cuaca panas terik sekarang ini. Umum mengetahui perlunya badan mengekalkan tahap kelembapannya.
- Tekanan perasaan disebabkan cuaca dan masalah hidup.

Sejak sebelum melahirkan anak lagi saya sudah tidak mengambil ubat-ubatan hospital/klinik bagi menghilangkan kesakitan akibat sakit kepala ini. Saya hanya bertahan dengan menyapu minyak angin, mengurut kepala, mencuci rambut kemudian tidur.

Setelah banyak membaca dari pelbagai sumber dari pengamal remedi semulajadi, saya mengetahui terdapat beberapa kaedah alternatif yang boleh diamalkan bagi tujuan mengurangkan sakit kepala ini. Antaranya adalah seperti berikut:

1) Mengunyah badam beberapa biji. Ikutlah beberapa biji yang mahu diambil tetapi sebaiknya dalam bilangan ganjil seperti tiga, lima atau tujuh kerana nabi Sallallahu alaihi wasallam sukakan bilangan ganjil.

2) Menumbuk biji habbatussauda di dalam uncang kain yang kecil dan dihidu baunya. Sebaiknya dilakukan ketika hendak tidur.

3) Menghiris bawang putih senipis yang boleh kemudian lekapkannya pada dahi. Boleh cuba dengan kuantiti yang sedikit sahaja dahulu kerana sifat panas bawang putih itu agak kuat. Biarkan sehingga kering dan boleh diulang lagi jika perlu.

4) Menghidu haruman lavendar atau peppermint essential oil menggunakan air humidifier jika ada. Haruman ini sangat menenangkan sekaligus memberikan kesan yang tenang pada penghidunya.

5) Memakan sumber makanan yang bersifat anti-radang seperti minyak zaitun, cuka epal yang dibancuh dengan sedikit madu, sayur-sayuran hijau dan sebagainya.

Terdapat pelbagai lagi remedi yang dapat membantu masalah sakit kepala ini. Saya coretkan di sini hanya beberapa darinya sahaja. Namun jika kita tahu puncanya, pastikan kita rawat yang itu dahulu. Contoh dalam kes saya; kekurangan air dalam badan, maka minumlah air kosong sedikit demi sedikit dengan kerap sehingga keperluan air dalam sehari itu dipenuhi. Remedi di atas akan membantu mengurangkan ketidakselesaan yang dialami sepanjang sakit kepala itu berlangsung.

Semoga coretan di atas ada manfaatnya buat yang membaca. Jaga kesihatan sebaiknya ya kawan-kawan. Ibu sihat, anak gembira!

Friday, 20 March 2015

4 Peringkat Pembersihan Gigi Anak Saya

Teks: NOR AFZAN ABD KADIR


Perjalanan dalam pembersihan gigi Hamza bukanlah sesuatu yang mudah. Seawal lima bulan dua batang giginya di bahagian atas mula muncul. Sebagai ibu pasti teruja melihat gigi pertama anak keluar. Tidaklah saya tahu ketika itu bahawa semakin awal gigi bayi keluar, kemungkinan untuk gigi itu rosak awal juga semakin tinggi. Mungkin kebetulan namun itulah yang dialami Hamza pada usianya 20 bulan kini. Di sini ingin saya coretkan peringkat-peringkat yang telah kami lalui.

1. Dari lahir hingga 3 bulan
Saya hanya menggunakan kain basah untuk mengelap bahagian dalam mulut setiap pagi selepas mandi.

2. 3 bulan hingga 5 bulan (gigi pertama tumbuh)
- Menggunakan berus gigi plastik yang perlu disarungkan pada jari orang dewasa.
- Mengelap lidah menggunakan kain basah untuk membersihkan kerak susu.

3. 6 bulan hingga 12 bulan
- Mula mencari berus gigi yang sebenarnya apabila muncul lagi dua batang di kiri dan kanan.
- Berus gigi Jordan khas untuk bayi itu memang lembut dan Hamza suka untuk diberuskan giginya.
- Hanya memberus gigi kosong tanpa ubat.
- Memberus hanya sekali sehari selepas mandi pada awal pagi.
- Akan ada masa-masanya dia menolak untuk diberuskan gigi (mungkin sakit kerana ingin keluar gigi yang baharu), saya akan mengelap giginya dengan kain yang dibasahkan dengan sedikit minyak kelapa dara.

4. Setahun ke atas
- Selepas setahun saya perhatikan sebatang gigi Hamza seakan mengalami kerosakan. Saya teruskan sahaja memberus dan mengelap dengan minyak kelapa sesekali seperti biasa.
- Pemakanan Hamza sangat dijaga jadi saya agak bingung mencari punca kepada masalah gigi anak saya ini.

Gigi Hamza ketika 17 bulan

- Semakin bertambah umur, semakin bertambah juga kadar kerosakan itu sehingga berjangkit ke gigi sebelah. Saya mula mencari maklumat yang lebih banyak. Antara dapatan saya dari hasil pembacaan:

(1) Terdapat ramai ibu yang berkongsi masalah yang sama. Ada anak yang dijaga rapi, sentiasa memberus gigi sama ada dengan ubat atau tanpa ubat, ubat berfluorida atau tanpa fluorida, tetap juga berlaku masalah kerosakan gigi. Ada pula anak yang biasa memakan gula-gula dan makanan ringan, jarang memberus gigi, tetapi giginya cantik berseri tanpa kerosakan. Jadi bagaimana?

(2) Ada kemungkinan si ibu tidak mengambil sumber kalsium yang cukup ketika dia mengandung. Jika ini adalah puncanya, dalam diet si anak perlu ditambahkan sumber makanan yang mengandungi khasiat ini.

(3) Ada ibu bapa yang pergi berjumpa pakar, kemudian menggunakan ubat yang boleh membantu mengurangkan atau melambatkan proses kerosakan gigi. Ubat itu tidak akan mengembalikan keadaan gigi sebagaimana asalnya.

(4) Bagi ibu bapa yang ingin menggunakan kaedah yang lebih selamat dan alami, menggosok gigi dengan minyak kelapa dara adalah cara yang baik untuk diamalkan dan saya memilih kaedah ini.

Oleh kerana Hamza telah diberi ubat gigi setelah umurnya lebih setahun (hanya mencecah hujung berus gigi pada ubat gigi), agak sukar saya ingin menukar tabiat ini. Sehinggalah baru-baru ini apabila neneknya secara tidak sengaja terbuang ubat giginya kerana disangkakan telah habis, saya nekad untuk tidak membelikan ubat gigi yang baharu. Apa yang saya lakukan?

- Letakkan minyak kelapa dara pada berus giginya dan menggosok gigi saya di hadapan dia dengan gembiranya. Dia akan minta berus gigi itu dan mahu lakukan yang sama sendiri.

Setiap kali waktu memberus gigi saya akan lakukan yang sama. Walaupun dia mahu memberus gigi begitu namun dia tetap kelihatan kurang selesa setiap kali memberus (mahu cepat siap dan enggan membuka mulut lagi). Jadi saya fikir mungkin faktor berus gigi itu sendiri yang menyebabkan dia kurang selesa.

Suatu hari, ketika mencari-cari barang di kedai Mr. DIY, saya terpandang pada satu berus gigi kanak-kanak yang agak lain dari yang biasa. Kerana harga yang agak murah, saya membelinya dengan niat untuk dicuba dahulu. Alhamdulillah, pertama kali cuba memberus nampak dia sangat sukakan berus gigi baharunya itu. Malah masa menggosok menjadi lebih lama!

Berus gigi Raiya bersama botol minyak kelapa.

Kini tugas menggosok gigi anak menjadi lebih mudah. Hamza sudah suka memberus giginya dengan menggunakan minyak kelapa dara! Buat ibu bapa yang anak mereka menghadapi masalah yang sama di luar sana, mungkin anda boleh usahakan cara ini. Atau sekiranya anda ada kaedah yang lebih baik lagi, silalah berkongsi dengan saya di sini.

Harapan saya semoga kerosakan gigi awal anak-anak kita akan lebih terkawal dan tidak akan menjadi lebih teruk lagi. Seterusnya gigi kekal mereka akan tumbuh dengan kuat, cantik serta sihat. Amin.

Sunday, 15 March 2015

Kelahiran Hamza Pengalaman Terindah

Teks: NOR AFZAN ABD KADIR


Belum pernah saya coretkan pengalaman ini di mana-mana, serasa seperti tiada keperluannya. Semuanya hanya terakam di ingatan bersama beberapa keping gambar yang sempat diambil ketika kejadian.

Sekarang saya ingin merakamkannya di sini kerana tidak pasti selama mana memori di kepala saya ini dapat bertahan, selain untuk kenangan yang mungkin akan disimpan Hamza pada masa hadapan.

Buah hati pengarang jantung saya ini dilahirkan seminggu awal daripada tarikh jangkaan, iaitu pada 27 Mei 2013. Tidak sabar-sabar lagi dia menunggu tarikh 1 Jun 2013 seperti yang saya 'rancangkan'.

Sedari awal kehadirannya di dalam rahim, tidak banyak alahan yang saya alami kecuali sakit kepala sesekali dan ketidakselesaan di hujung kehamilan. Jadi saya mengharapkan bayi bertuah ini akan keluar dengan mudah juga apabila tiba masanya. Hampir setiap hari saya akan memujuknya supaya bekerjasama yang baik dengan mama.

Pagi 26 Mei 2013 selepas Subuh, saya agak kaget melihat keluarnya tanda darah setelah selesai urusan tandas. Terus saya hubungi sahabat yang akan membantu saya ketika proses melahirkan, saya namakan kak Y. Beliau meminta saya menjaga pemasaan kontraksi dan sentiasa mengemaskini maklumat sehingga beliau sampai.

Saya menyibukkan diri mengemas rumah dan memasak seperti biasa, mengatakan pada diri sendiri, "Jika begini rasanya, aku mampu bertahan lagi." Kelengkapan menyambut kelahiran juga disiapkan seadanya. Detik berlalu sehinggalah kak Y dan suami sampai ketika hampir Maghrib.

Seusai Isyak, kami keluar menuju ke tepi laut Pontian untuk berjalan-jalan sepanjang malam bagi mempercepat bukaan, kemudian kami menjamu selera di medan ikan bakar yang berdekatan. Sekembalinya ke rumah, kak Y mengurut perut saya dan dirasakan bahawa bayi masih belum masuk ke laluan, maka beliau pulang dan akan kembali pada keesokan harinya.

Tidur saya malam itu sangat terganggu, seperti tak tertahan apabila sesekali kesakitan datang bermula jam 2.30 pagi. Saya mendapatkan suami meminta beliau urutkan pada bahagian pinggang belakang setiap kali kontraksi datang, ianya sangat melegakan. Dua jam setelah itu, saya terkejut kerana merasakan seperti ada kebocoran paip dan air mengalir laju, tanpa dapat ditahan-tahan lagi, basah dan panas. Tahulah saya bagaimana perasaan pecahnya air ketuban.

Seketika saya seperti kehilangan punca, suami mahu membawa saya ke hospital, baharu saya tersedar. Cuba menghubungi kak Y buat kesekian kali, kasihan dia perlu diganggu pagi-pagi begini. Saya perlu bertahan, ini yang saya mahukan. Kak Y mengingatkan air perlu diganti, saya pun mencapai botol minuman, 800ml habis ditelan.

Sambil melayan kontraksi, saya memusing-musing pinggang, keluar masuk bilik air, mandi sambil air shower dituju ke pinggang, mengunyah kurma, badam terasa sukar untuk menelan namun tenaga perlu dikumpul untuk tugas yang lebih berat kemudian.

Kak Y pun tiba, suhu air di dalam kolam disuamkan semula dan saya masuk ke dalam. Terasa lega yang amat. Sambil laptop dipasangkan alunan zikir, mata saya fokus kepada lilin wangi yang dipasang, setiap kali kontraksi datang. Pernafasan dijaga seboleh mungkin namun ada ketikanya saya seperti mahu sahaja meneran sekuat hati, sudah tidak mampu lagi.

Tiba-tiba terasa sangat ingin membuang air besar. Dengan bantuan, saya memapah diri masuk ke bilik air, cuba untuk melegakan diri, namun.. "Saya dapat rasa rambut!" terjerit saya kegembiraan. Dengan cepat saya keluar, masuk ke kolam semula. Saat ini sudah tidak sabar lagi, datang sahaja kontraksi saya teran sekuat hati, teknik pernafasan hilang entah ke mana.

Suami masuk dan sempat merakam sekeping dua gambar, saat Hamza keluar. Ya, saya melihat detik itu dengan mata saya sendiri! Allahu akbar! Jam menunjukkan angka 10.13 pagi. Keluarnya Hamza tanpa tangisan. Pantas dibawa ke dada mama. Riak matanya seperti kebingungan, melihat-lihat sekeliling, kemudian bibir mungilnya mengukir senyuman. Saat itu mama yang menangis dahulu, "Assalamu'alaikum sayang.." sambil memeluk erat, mengusap-usap seluruh tubuhnya, seakan melepas rindu dendam sekian lama. Tidak lama kemudian keluarlah suara halusnya, menangis kelaparan. Pandai anak mama, pandai dia mencari sumber makanan.

Sambil-sambil membelai Hamza, datang pula gelombang kedua, kawan Hamza si uri pula keluar, alhamdulillah, nampak cantik dan utuh. Disebabkan tali pusat tidak begitu panjang, kami ambil keputusan untuk suami memotongnya setelah darah berhenti mengalir. Alhamdulillah.

Hamza dibawa untuk dibersihkan. Sementara mama sangat lemah ketika itu, terpaksa mengesot keluar untuk mandi dan naik ke atas katil. Kak Y menyediakan bancuhan ubat herba yang akan membantu mengecutkan rahim dan darah berhenti mengalir. Tekanan darah diambil secara kerap dalam masa empat jam pasca kelahiran dan alhamdulillah, keadaan mama lebih baik selepas makan, minum dan tidur, bersama Hamza.

Ibu dan ahli keluarga semua adik-beradik sampai untuk melawat setelah semuanya selesai. Masing-masing teruja mendengar perkongsian dari kak Y dan mengucapkan syukur serta berterima kasih atas pertolongannya.



Bermulalah episod saya sebagai mama kepada anugerah comel ini, Hamza dengan berat 3.2kilogram ketika lahir melalui kaedah kelahiran yang sangat saya impikan, walau sebelum saya disahkan mengandung lagi.

Terima kasih sekali lagi saya rakamkan di sini buat kak Y dan suami atas segala bantuan, semangat, nasihat, khidmat terbaik yang diberikan kepada kami. Tidak lupa kepada rakan-rakan di grup "The Gentle Birthing Group Malaysia" atas segala perkongsian dan tips berguna. Semoga Allah memberi kalian balasan dengan kebaikan yang banyak!

Mohon doakan Hamza menjadi anak yang kuat, anak yang soleh, yang bertaqwa lagi bermanfaat kepada manusia. Amin.

Friday, 13 March 2015

Resepi Ringkas: Bot Pisang dan Keju

Teks: NOR AFZAN ABD KADIR



Hari ini saya nak berkongsi resepi sarapan yang mudah untuk disediakan untuk keluarga. Sesuai untuk anak kecil atas setahun yang sudah mampu mengunyah dengan baik dan tiada alergi telur dan gandum.

Saya beri namanya Bot Pisang dan Keju. Bahan-bahan yang diperlukan adalah seperti berikut:

3 keping roti tawar (biasa saya gunakan roti gandum penuh) - boleh menghasilkan 6 bot.
Mentega
Sedikit tepung gandum
Susu segar
Pisang yang dilenyek
Parutan keju cheddar
Kismis (pilihan)
Acuan cupcake 6 lubang

Cara-caranya:
Sapukan mentega ke atas roti. Potong roti kepada dua bahagian kemudian bentukkan seperti bot pada dulang pembakar cupcake yang sudah siap digris dengan minyak/mentega. Tekan-tekan sedikit supaya ada ruang untuk diisi bahan lain.

Bancuhkan sedikit tepung bersama susu segar, buat cair-cair supaya ia tidak menjadi keras apabila masak. Masukkan pisang, sebatikan adunan. Adunan tepung ini hanya untuk menyatukan pisang dengan roti. Jika hanya menggunakan pisang lenyek sahaja juga boleh.

Letakkan adunan ini ke atas roti berbentuk bot tadi secukupnya. Kemudian bolehlah ditabur kismis dan parutan keju sedikit di atasnya. Bakar pada suhu rendah (100-120°c) sehingga rotinya garing.

Setelah masak biarkan sebentar supaya hilang panasnya dan bolehlah dimakan.

Mudahkan? Selamat mencuba!



Thursday, 12 March 2015

Apa Ada Dengan SAHM, WAHM, SOHO?

Teks: NOR AFZAN ABD KADIR


Bismillah

Ketiga-tiga istilah ini bukanlah baharu, tetapi agak ramai juga saya terlihat ada yang masih tertanya-tanya; apa dia SAHM, WAHM dan SOHO itu?

Secara umumnya, bolehlah saya ringkaskan maksud istilah-istilah di atas begini:

SAHM: Stay At Home Mom
Bermakna ibu suri rumahtangga sepenuh masa. Mereka menjalankan tugas asasi rumahtangga sehari-hari seperti memasak, membasuh, mengemas, mengurus anak-anak dan suami dan yang seumpamanya. Mereka tidak melakukan pekerjaan 'rasmi' yang memberikan hasil dalam bentuk wang ringgit kepada diri mereka sendiri. Jika mereka memang diberi gaji oleh suami setiap bulan atas dasar ihsan suami isteri maka akan termasuklah dalam kategori ini. Amat beruntunglah isteri-isteri yang sedemikian.

WAHM: Work At Home Mom
Selain menjalankan tugas-tugas asasi di atas, ibu-ibu ini juga turut melakukan aktiviti-aktiviti lain yang memberikan pulangan wang kepada mereka. Antaranya melalui perniagaan kecil-kecilan dari rumah ataupun memberikan perkhidmatan dalam bidang yang mereka pakar tentangnya kepada orang lain seperti khidmat nasihat yang melayakkan mereka dibayar yuran professional. Ini boleh dilakukan secara atas talian atau di luar talian.

SOHO: Small Office Home Office
Nah. Ini adalah keperluan utama untuk ibu-ibu yang berada dalam kategori WAHM. Bergantung kepada keperluan, mungkin sebuah bilik khas diperuntukkan untuk tujuan ini atau sekadar ruang kecil di dalam bilik mahupun di ruang tamu yang dapat menempatkan sebuah meja, kerusi, komputer, pencetak, fail-fail dan alatulis.


Gerakan ibu-ibu berkerjaya di Malaysia nampaknya semakin menuju ke arah menjadikan diri mereka dalam golongan WAHM mutakhir ini. Tidak keterlaluan jika dikatakan, kebanyakan WAHM memiliki sekurang-kurangnya segulung ijazah, malah tidak sedikit daripada mereka bergelar doktor falsafah (PHD). Yang agak memeranjatkan, kebanyakannya berjaya menjadi WAHM dalam bidang yang sama sekali tiada kaitan dengan apa yang mereka pelajari selama ini. Mengapa?

"Jadi tak perlukah saya belajar tinggi-tinggi jika saya sudah nampak bahawa saya akan melakukan yang sama juga suatu hari nanti?" Terdetik persoalan di hati seorang pelajar lepasan SPM. "Mengapa saya harus melanjutkan pelajaran lagi?"

Kita semua akan melalui perjalanan ini. Sangat perlu untuk kita menuntut ilmu, tidak kira apakah bidangnya, yang pentingnya minat. Minat ini pula bisa berubah-ubah. Seperti saya yang dahulunya sangat minat dengan subjek perakaunan, setelah hampir lapan tahun berada dalam bidangnya, saya merasakan bahawa jiwa saya bukan lagi di situ. Antara sebabnya adalah kerana ianya menuntut terlalu banyak masa sehinggakan pejabat itu adalah rumah pertama saya.

Semua ini tidak bermakna bahawa pengajian yang selama bertahun-tahun di universiti itu tidak berguna. Adakah kita di universiti belajar semata-mata untuk bekerja? Tidak, universiti adalah sebahagian dari perjalanan hidup kita. Kita belajar berinteraksi dengan orang ramai, mengurus masa, mencari maklumat (yang akan berterusan di alam pekerjaan), semua yang akan menjadikan kita lebih dewasa dan lebih bijak menjadi manusia. Bijak, cerdik, pandai; itulah kualiti yang diperlukan untuk menjadi seorang ibu! Ibu yang bijak bakal melahirkan anak yang juga bijak lagi bermanfaat menjadi seorang manusia. Bagaimana kita mahukan pemimpin negara pada masa akan datang? Begitulah caranya kita perlu mendidik anak kita dari sekarang.

Dengan ilmu yang benar, inshaAllah, SAHM, WAHM akan memberi sumbangan yang besar untuk negara pada masa hadapan.


Tuesday, 10 March 2015

Pembuka Bicara: Salam Ukhuwah

Entri 1

Teks: NOR AFZAN ABD KADIR


Bismillah
Assalamu'alaikum warahmatullahi wabarakatuh

Setelah 34 tahun lamanya diizin Allah hidup di atas muka bumi ini, inilah kali pertama saya mempunyai 'diari' online sendiri, sesuatu yang sangat saya cuba elakkan sejak saya mengenali dunia internet ini :).

Selamat datang dan salam perkenalan buat pembaca-pembaca blog saya. Nor Afzan binti Abd Kadir nama diberi oleh ibu yang melahirkan saya di sebuah rumah di Kampung Raja, Muar, Johor. Kononnya sempena mengambil nama Tuanku Ampuan Pahang :). Nama yang sebenarnya agak malu untuk saya sebut ketika bersekolah dahulu kerana ramai yang menyangkakan lelaki :).

Pendidikan awal saya, bersekolah rendah dan menengah di Ulu Tiram, Johor sehingga Tingkatan 3. Kemudian diterima masuk ke sekolah berasrama di Sekolah Menengah (Vokasional) Perdagangan, Johor Bahru (1996-1997). Selepas keputusan SPM diumumkan pula, saya melanjutkan pelajaran di Kolej Mara Banting, Selangor selama setahun setengah bagi mengikuti Program Matrikulasi Universiti Malaya dalam bidang Perakaunan, suatu bidang yang sangat saya minati zaman persekolahan dahulu. Kemudian ke kampus induklah pula menghabiskan pengajian selama tiga tahun setengah lagi.

Belum pun keluar salinan keputusan peperiksaan akhir, saya sudah memulakan tugas sebagai pembantu juruaudit di salah sebuah firma perakaunan antarabangsa di Johor Bahru (Disember 2002). Setahun kemudian saya bertukar angin ke firma perakaunan yang lain di Kuala Lumpur. Pada hujung 2005 hingga 2006, saya bergelar penganggur kehormat atas sebab yang tidak dapat dielakkan. Kemudian pada bulan Mei 2007, saya memulakan pekerjaan baharu di UEM Berhad sebagai Eksekutif Akaun dan genap tiga tahun di situ, saya meletakkan jawatan dengan tugasan-tugasan seorang Akauntan Pengurusan setelah bersedia menjadi suri kepada seorang suami. Saya berkahwin pada 13 Jun 2010 dan sejak itulah bermula episod kehidupan baharu yang sangat saya nanti-nantikan setelah sekian lama; menjadi surirumah sepenuh masa!

Bukan terlalu mudah jalan cerita untuk saya bergelar isteri dan duduk di rumah, namun itulah takdir Allah buat saya. Selang masa yang agak lama selama lebih dua tahun kami hidup berdua, kebanyakan masanya saya membantu suami menjalankan tugasan beliau sebagai seorang juruedit senior dengan salah sebuah syarikat penerbitan buku-buku agama yang terkenal di Malaysia. Dari situlah minat saya terhadap dunia pengeditan bermula. Selain tugasan yang agak mudah yang diberikan oleh suami, kerja itu juga boleh saya lakukan di mana-mana sahaja pada bila-bila masa, tanpa perlu keluar dari rumah! Semestinya upah yang diberi juga setimpal dengan usaha yang dicurahkan.

Bak kata pepatah, langit tidak selalu cerah. Dalam kegembiraan kami menyambut kehadiran orang baharu pada tahun ketiga perkahwinan, ujian yang amat hebat dari Allah datang. Si kecil Hamza sudah bergelar anak yatim ketika usianya baharu menjejak empat bulan. Innalillahi wainna ilaihi roji'un. Semoga Allah mengampuni dan menempatkan arwah dalam golongan orang-orang yang beriman.

Keinginan kuat saya untuk menyusukan anak secara langsung selama dua tahun, menyaksikan tumbesaran anak di depan mata, di samping bimbang meninggalkan anak bersama orang lain menyebabkan saya tidak mampu untuk menerima tawaran kerja yang sekali dua datang menyinggah. Walau keadaan adalah agak mendesak, saya tetap gembira dapat menyediakan makanan dan minuman sendiri buat anak saya, menjaga tahap kesihatannya dan dia tahu dia sentiasa ada saya bersama sebagai ibunya. Untuk memenuhi waktu-waktu itu, saya mencari sebanyak mungkin maklumat tentang minat baharu saya setelah mendapat cahayamata, iaitu tentang proses kelahiran alami, pemakanan sebenar dan sihat secara alami, di samping topik keibubapaan.

Kini, setelah hampir setahun setengah berlalu peristiwa sedih itu, saya mendapat kekuatan untuk memulakan langkah pertama untuk menjinakkan diri dalam dunia perniagaan. Tidak boleh tidak, saya harus mulakan. Umm Hamza Store telah didaftarkan, page bisnes Hamza Store telah dilancarkan. Buat permulaan, saya bermula dengan produk dropship dahulu disebabkan kekangan-kekangan yang ada. InshaAllah, saya ada perancangan memasarkan produk sendiri apabila sampai masanya.

Seperti ada yang tidak lengkap, saya tahu yang saya perlukan seorang pembimbing yang dapat menunjuk ajar saya. Alhamdulillah, pencarian maklumat di Google menemukan saya dengan Puan Anys Idayu Zakaria dan Puan Masayu Ahmad - antara penggerak utama Akademi Bekerja Dari Rumah (ABDR) - seterusnya lahirlah blog ini. Banyak maklumat dan ilmu bermanfaat yang dikongsikan mereka. Terima kasih cikgu.

Semoga Allah memberi keizinan dan keredhaan-Nya, seterusnya memudahkan perjalanan kami ibu-ibu yang ingin mencari rezeki halal lagi baik buat ahli keluarga kami secara khususnya dan ummah secara amnya. Amin.

Teruskan memberi sokongan dan doa kepada kami! :)