Showing posts with label Tip Urus Kesihatan. Show all posts
Showing posts with label Tip Urus Kesihatan. Show all posts

Tuesday, 21 April 2015

Bengkak Susu dan Demam Urat (2)

Teks: NOR AFZAN ABD KADIR
Foto: Google


Kebiasaan orang akan berurut jika terkena demam urat. Mungkin benar ia membantu tetapi saya tidak dapat bayangkan bagaimana badan yang kesakitan apabila dipegang itu akan bereaksi apabila diurut. Selalunya tukang urut akan menekan-nekan badan pesakit, kecuali pengurut moden yang belajar secara professional untuk urutan seperti mengusap dan membelai itu.

Atas kerisauan ditambah dengan kesakitan pada susu, saya tidak jadi untuk berurut dan meneruskan cara biasa untuk menuam dengan air panas. Apabila dilakukan dengan kerap dan airnya betul-betul panas, kemudian disikat dengan menggunakan sikat rambut pada bahagian itu, dapat saya rasakan perbezaannya. Darjah kesakitan di kawasan terbabit banyak berkurang, alhamdulillah.

Untuk kes jika terdapat seperti ketulan akibat liang susu yang tersumbat, amat penting peranan si anak untuk membantu ibunya. Atas saranan sahabat-sahabat juga, saya membiarkan Hamza menyusu selama mungkin untuk sebelah bahagian yang bermasalah. Paling baik ketika hendak tidur, kita biarkan sehingga dia melepaskannya sendiri. Jika pengeluaran susu di situ sentiasa berganti baru, maka inshaAllah, kawasan yang tersumbat itu akan pulih juga akhirnya, bermula sedikit demi sedikit.

Selain itu, saya meneruskan juga mengambil minyak zaitun dan minyak kelapa dara. Minyak zaitun turut boleh untuk disapukan pada bahagian bengkak untuk diurut-urut secara perlahan. Tidak perlu untuk disebut, setiap usaha yang kita lakukan itu haruslah dimulakan dengan Basmalah dan selawat, semoga Allah memberi kesembuhan.

Untuk rasa sakit-sakit di seluruh badan pula, saya cuba mengurut sendiri menggunakan pilihan minyak yang ada; minyak kelapa, minyak habbatussauda atau minyak urut biasa. Urutan lebih di bahagian kaki kerana lebih terasa sakit apabila berjalan.

Alhamdulillah, setelah dua hari mengalami demam dan bengkak ini, saya terasa makin sihat dan sembuh. Sudah mampu mendukung Hamza dan melaksanakan tugas di rumah seperti selalu. Antara yang penting juga, sudah mampu untuk membuka, membaca dan menulis entri di blog yang sudah lama ditinggalkan ini.

Ya, untuk beberapa entri ini hanya berkisar tentang sakit dan rawatan penyembuhan. Saya menggelarkan seminggu yang lepas ini sebagai minggu ketidaksihatan. Jika dilihat status dan kisah yang dikongsi rakan-rakan, kebanyakan mereka dan anak-anak mereka juga tidak sihat. Mungkin memang musim demam sekarang.

Apapun penyakit yang sedang kita alami, berusahalah sebolehnya untuk segera sembuh. Banyak kerja yang akan tertangguh apabila kita tidak sihat. Dan apabila sudah sembuh, banyak pula yang perlu kita kerjakan untuk dibereskan.

Kesakitan sesekali itu perlu. Bukankah itu suatu ujian? Sakit itu juga datangnya dari Allah sebagai kafarah atas dosa-dosa yang kita lakukan. Maka bersyukurlah apabila kita sakit, sekurang-kurangnya ada dosa kita yang Allah ampunkan. Dan jangan lupa juga untuk sentiasa beristighfar. InshaAllah dengannya Allah kurniakan kesembuhan dan bantuan.

Alhamdulillah 'ala kulli hal.

Bengkak Susu dan Demam Urat (1)

Teks: NOR AFZAN ABD KADIR
Foto: Google


Seakan tidak percaya yang saya akan mengalami situasi seperti ini lagi pada masa sekarang; ketika usia anak saya hampir masuk dua tahun dan saya hendak memutuskan susunya. Kali pertama saya alami pengalaman seperti ini adalah ketika di dalam tempoh berpantang. Ada saya sebutkan di dalam entri penyusuan.

Ujian datang lagi buat saya. Hanya kerana Hamza kurang menyusu akibat ulser di dalam mulutnya beberapa hari, saya tidak perasan yang saya mengalami bengkak susu sehinggalah terasa sakitnya ketika pulang dari Giant hari itu. 

Sakitnya sangatlah menguji perasaan, hanya yang pernah merasainya akan mengerti. Tidak cukup dengan itu, sakit kepala juga datang menyerang tanpa belas kasihan. Mungkin juga kerana saya lewat mengambil makan siang dalam dua tiga hari ini. Jam sudah hampir waktu Asar baru berkesempatan untuk makan.

Maka malamnya saya sangat sukar melelapkan mata dan terpaksa menahan kesakitan sekuat hati. Hampir terlupa akan kesakitan akibat bengkak susu yang satu lagi. Dalam sukar, saya paksakan juga diri untuk bangun, ambil gayung dan diisikan dengan air suam, lalu kepala saya tuam. Hanya mampu mengambil overnight oat dari peti sejuk untuk Hamza makan. Mujur juga dia mahu. Alhamdulillah, terima kasih anak mama kerana tidak meragam di saat mama kesakitan.

Kembali ke pembaringan sambil kepala dituam. Saya teringat akan kesakitan yang sama saya alami ketika mengandungkan Hamza dahulu. Rasanya memang seperti hendak pecah kepala, sehingga air mata mengalir dengan sendirinya. Dan ketika itu juga hanya tuala suamlah yang menjadi teman rapat saya.

Sambil-sambil beristighfar dan berdoa memohon kesembuhan, saya terfikir akan kemungkinan buruk yang akan berlaku. Bagaimana jika sehingga terjadi seperti kes salur darah di kepala pecah? Saya pernah terbaca kes itu baru-baru ini. Hati mula risau.

Ketika itulah saya fikirkan akan pelan takaful yang belum diletakkan nama anak sebagai penerima hibahnya, akan wasiat-wasiat saya yang lain yang belum ditulis secara sempurna. Siapa yang boleh saya amanahkan untuk mendidik Hamza dan siapa pula yang dapat menjaga makan minum yang baik untuknya? Sungguh saya amat ingin menulis semuanya ketika itu tetapi saya tidak mampu. Tahu-tahu saya telah pun terlena dalam kesakitan dan kerisauan.

Tersedar bangun pada jam 2.30pagi. Alhamdulillah seperti magik, tiada lagi rasa sakit kepalanya. Saya ke dapur untuk mengisi perut. Baru hendak menyuap nasi, Hamza terbangun, saya tidurkan semula. Selepas itu dapatlah makan secara cepat kerana Hamza terjaga lagi. Ketika itu barulah terasa seram sejuk seluruh badan. Menggigil-gigil saya menahan kesejukan. Berstokin, berselimut juga tidak terasa kurangnya.

Menunggu agak lama untuk Hamza lena kembali, baru dapat saya bangun ke dapur. Saya minum sesudu madu dan dua sudu minyak kelapa dara. Saya ambil sebiji bawang besar dan belah dua bahagian kecil untuk diletak di dalam stokin. Hanya itu yang mampu dilakukan dan saya gagahkan diri untuk tidur semula.

Bangun pagi esoknya, kesejukan sudah kurang tetapi seluruh tubuh terasa sakit. Sakitnya seperti kelebaman selepas ditumbuk atau sakit selepas beberapa hari memaksa tubuh melakukan kerja yang sangat berat. Berjalan pun dengan sangat perlahan, tapak kaki seperti dicucuk-cucuk. Itulah yang orang tua panggil sebagai demam urat, tak pasti apa istilah perubatannya.

Bersambung...



Sunday, 19 April 2015

Ulser dan Antara Rawatannya

Teks: NOR AFZAN ABD KADIR
Foto: Google


Sudah beberapa hari tiada entri dari saya. Selain tidak dapat mencari waktu yang sesuai untuk menulis, otak saya juga tidak dapat digunakan secara maksima akibat keletihan dan kesakitan yang dialami.

Sejak Hamza baik daripada demam tempohari, saya perasa satu kelainan padanya iaitu apabila dia menangis, bunyi tangisannya seperti tersekat-sekat. Dia berhenti sekejap-sekejap sambil mulutnya berkecap-kecap kemudian sambung menangis.

Pada mulanya saya tidak mengesyaki apa-apa cuma mungkin ada sesuatu yang sedikit mengganggu dalam mulutnya. Oleh kerana dia masih berkelakuan seperti biasa dan aktif bermain, saya biarkan sahaja.

Masuk hari kedua, dia semakin tidak berminat untuk makan walau dihulur makanan yang disukainya dan hanya meminum air. Saya semakin rasa pelik apabila dia meminta susu tetapi apabila disua, dia menggeleng kepala dan menolak. Tidak pernah dia menolak sebegitu lebih-lebih lagi apabila matanya sudah sangat mengantuk hendak tidur. Dia juga tidak mahu membuka mulut untuk saya lihat apa yang ada di dalamnya.

Pada waktu siang, dia masih dapat 'melupakan' kelaparannya kerana sibuk bermain, namun apabila hendak tidur malam, dia kelihatan seperti sangat sukar untuk lelapkan mata. Penyudahnya, dia menangis tanpa henti memecah kesunyian malam sehingga memaksa orang lain pun berjaga sama. Dipujuk-pujuk tidak jalan.


Ketika dia menjerit-jerit itulah saya berjaya menyuluh ke dalam mulutnya dan ternampak dua ulser (biasa dipanggil mata ikan) di bahagian dalam pipinya sebelah kanan. Tidak pula dapat saya periksa di bahagian lain.

Yakinlah saya sebabnya dia tidak mahu menyusu seperti selalu. Pasti sangat sakit ketika dia hendak menyedutnya. Padanlah untuk berus gigi dan makan apa pun dia tidak mahu. Kasihan anakku.

Ketika itu saya hanya mampu menyapukan madu pada tempat ulser tersebut dalam keadaan dia terjerit-jerit menangis. Saya juga menggunakan picagari untuk memasukkan minyak kelapa dara ke dalam mulutnya beberapa kali. Ya, semuanya secara paksa. Mungkin akibat penat menangis dan mengantuk yang amat, dia mahu menyusu dan lena dengan cepat.

Keesokannya saya keluar untuk menyelesaikan beberapa urusan bersama anak saudara dan berbelanja di Giant termasuk membelikan Hamza buah-buahan untuk dia makan. Di sana juga saya berikan dia sekotak kecil susu segar yang sejuk.

Sampai di rumah, bungkusan tembikai potong itu terus saya masukkan ke bahagian beku. Alhamdulillah, dia suka memakannya walau hanya habis separuh dari satu potongan. Dia turut makan sedikit overnight oat yang saya sediakan di dalam peti sejuk. Selesa mulutnya menerima yang sejuk-sejuk.

Syukur, malam itu tiada lagi tangisan seperti dua malam yang sebelumnya. Hamza sudah sedikit selesa untuk tidur dan menyusu. Cuma saya pula yang mula mengalami kesannya, mendapat sakit kepala dan rasa hendak demam. Akan bersambung pada entri yang berikutnya.

Sunday, 12 April 2015

Merawat Anak Demam

Teks dan foto: NOR AFZAN ABD KADIR


Bangun pagi hari ini terasa kehangatan badan Hamza lain macam, tak seperti biasa, tapi tak pula macam demam. Bangun seperti biasa, menjerit dan bergaduh seperti biasa (dengan abang sepupunya berusia dua tahun lapan bulan), makan dan minum juga seperti biasa.

Selepas memandikan dia, dia duduk diam di ruang tamu sambil menghadap adik sepupu kesayangannya (berusia lapan bulan) bermain. Saya menikmati sarapan lontong kering yang dibeli oleh mak di pasar tani pagi tadi dengan aman tanpa gangguan.

Selesai makan, terdengar suara Hamza merengek mahu menangis, tanpa beralih kedudukan. Oh, terima kasih anak sebab bagi mama peluang makan dahulu sampai kenyang. Saya pun terus mendapatkannya. Sebaik mengangkatnya saya rasakan kepala dan badannya telah mula panas. Anak mama sudah mula demam.

Seingat saya yang terakhir dia demam pada bulan September tahun lepas. Saya boleh ingat kerana ada saya ambil gambarnya dan poskan di Facebook. Dia demam dan sembuh dalam masa 24 jam ketika itu. Kemudian jika tak silap saya, dia demam lagi dalam bulan Disember tahun yang sama. Ketika itu hanya seketika panas badannya (dedar) dan saya masih membawa dia keluar ke Giant membeli barang.

Sekarang bulan April dia demam lagi. Tak tahu apa puncanya. Mungkin cuaca panas, mungkin dia kurang meminum air putih dan lebih banyak minum susu segar yang saya belikan tempohari. Tapi lampinnya masih basah dengan banyak ketika mandi pagi tadi. Adakah demam kali ini demam untuk bercakap? :) Sepertimana demam pada September yang lepas saya andaikan demam untuk berjalan :).

Tak kiralah apa puncanya demam itu, yang pasti demam itu baik untuknya. Kebiasaan demam itu adalah apabila badan diserang virus dan sistem pertahanan badan akan bertindak dengan melawan virus itu. Kita tidak perlu untuk terlalu cepat memberikan anak ubat dari klinik atau farmasi apabila anak baru diserang demam. Biarkan sistem badannya menjalankan tugas mereka dahulu. Dengan cara itu, ia dapat melatih supaya badan anak kuat untuk melawan penyakit-penyakit yang berpotensi untuk menyerangnya disebabkan sistem imun yang telah kuat.

Membiarkan di sini bukanlah bermaksud hanya meninggalkan anak bersendirian dan biarkan dia tidur sahaja, membiarkan di sini bermaksud biarkan dia dari dirawat dengan ubat-ubatan kimia. Kita sebagai ibu tetap punya tugas untuk dilakukan bagi membantu anak melawan penyakitnya itu.

Tugas paling utama yang saya lakukan apabila anak demam adalah memandikannya dengan kerap. Jika tidak dapat memandikan, sekurang-kurangnya adalah mengelap atau menuam kepala dan seluruh badannya sehingga ke kaki menggunakan tuala dan air paip dengan kerap atau sehingga suhunya stabil, tidak terlalu panas.

Kawasan-kawasan pelipat (ketiak, leher, atas siku dan bawah lutut) adalah yang paling penting untuk dilap kerana kawasan tersembunyi itu merangkap haba dan haba panas perlu dikeluarkan dari badan. Demam kali ini Hamza tidak mahu bangun dan hanya mahu saya baring di sebelahnya sambil dia menyusu. Saya turutkan sahaja sambil tangan mengelap badannya dengan tuala basah.

Di dapur telah saya jerangkan sup tulang yang biasa saya buatkan untuknya terutama apabila anak tidak sihat. Sup tulang mengandungi khasiat yang diperlukan bagi menggantikan khasiat terutama protein yang hilang dari badan dimakan oleh virus yang menyerang.

Antara ramuan biasa yang digunakan untuk membuat sup ini adalah tulang ayam dari mana-mana bahagian, lobak merah, batang seleri yang direneh bersama-sama bawang besar, bawang putih dan sedikit halia, boleh juga ditumis dahulu dengan minyak zaitun atau minyak kelapa. Ketika memasak, tambahkan dalam sesudu makan cuka epal bagi membantu mengeluarkan khasiat dari dalam tulang dengan lebih baik.

Kebiasaan anak yang kurang sihat akan hilang selera makannya, maka memadailah jika dia dapat menghirup sedikit dari sup tersebut bagi membantu badannya mendapat nutrien yang diperlukan agar 'askar-askar'nya kuat untuk terus berlawan.

Antara remedi lain yang boleh diberi kepada anak yang demam adalah madu asli, minyak kelapa dara dan minyak zaitun yang memang saya beri kepada Hamza setiap hari. Jadi ketika dia tidak sihat, dos akan ditambah kepada dua atau tiga kali setiap hari. Bahagian kepalanya pula boleh dijerlum atau dibasahkan dengan air asam jawa, inshaAllah ia membantu menurunkan suhu dengan cepat.

Untuk waktu tidur malam pula (tidur siang pun boleh), boleh dipakaikan anak dengan stokin bawang putih (garlic socks) atau stokin lemon (lemon socks, boleh juga diganti dengan cuka epal). Untuk garlic socks; tumbuk kasar seulas bawang putih dan letakkan di dalam stokin lalu pakaikan ke anak. Untuk anak yang masih bayi, bolehlah dipakaikan stokin lain dahulu, kemudian pakaikan stokin bawang putih kerana mungkin kulitnya akan menjadi terlalu sensitif jika terus dipakaikan.

Untuk lemon socks, perahkan lemon di dalam semangkuk kecil air dan rendam stokin di dalamnya sebentar kemudian perahkan. Pakaikan ke kaki anak ketika dia hendak tidur. Jika terbangun di waktu malam dan stokin sudah kering, boleh diulangi semula langkah tadi.

Dengan izin Allah, bangun pagi keesokan harinya anak akan lebih bertenaga dan suhunya kembali stabil. Teruskan melakukan remedi di atas sehingga anak betul-betul sihat. Namun jika suhunya tetap naik sehingga 39°c, bolehlah diberikan ubat seperti arahan doktor. Dalam keadaan suhu tidak turun-turun, bawalah anak berjumpa doktor untuk diperoleh diagnosis yang lebih tepat.

Semoga Hamza dan anak-anak lain yang sedang kesakitan sekarang kembali sihat seperti sediakala secepatnya. Amin.


Friday, 3 April 2015

Mengapa Bayi Makan Atas 6 Bulan?

Teks: NOR AFZAN ABD KADIR



Ingatkan kita bilakah pertama kali perut kita diisi dengan makanan ketika kita masih bayi? Empat bulan? Dua bulan? Dalam hari??

Bagi yang menjawabnya di bawah enam bulan, apakah jenis makanan tersebut? Nestum? Bubur cair? Biskut atau roti cicah air?

Jika ada di antara jawapan di atas, bagaimanakah pula tahap kesihatan kita ketika ini? Adakah antara kita yang menghidapi masalah pembuangan air besar? Atau apa-apa masalah di dalam perut? Buah pinggang?

Tahukah anda kenapa di dalam buku rekod kesihatan anak menyarankan bahawa makanan pelengkap hanya diberi kepada bayi dari enam bulan ke atas? Makanan awal yang sepatutnya diperkenalkan pula adalah makanan sebenar dari jenis buah-buahan atau sayur-sayuran yang dipurikan? Ini adalah kerana sistem penghadaman bayi pada usia sebegini adalah sangat mentah dan tidak kuat lagi. Ia tidak mampu lagi untuk memproses makanan yang kompleks sebegitu.

Pernahkah anda mendengar kisah seorang bayi seusia empat hingga lima bulan terpaksa dipotong di beberapa tempat pada saluran ususnya kerana tersumbat dan rosak? Apakah sebabnya sehingga boleh berlaku seperti itu? Mendengarnya sahaja sudah membuatkan kita rasa begitu sedih, bagaimana pula dengan perasaan ibu dan bapanya? Anak itu sendiri apabila dewasa? Jika kita yang berada di tempat mereka? Sungguh, ianya suatu ujian yang perit, sebuah harga yang mahal yang perlu dibayar oleh mereka.

Adakah salah seseorang bayi itu menangis? Adakah kaedah lain lagi bagi si kecil untuk berkomunikasi? Mengapakah kita yang lebih dewasa sentiasa ingin mengambil jalan singkat bagi memberhentikan tangisan itu? Alasan bahawa dengan memberinya makan supaya perutnya kenyang lalu membuatnya diam dalam jangka waktu yang lama adalah sangat tidak munasabah. Tidakkah dapat kita berfikir bahawa sistem badan si bayi itu telah terlalu penat kerana terpaksa bekerja keras bagi memproses benda asing yang hadir di dalam perutnya lalu dia dipaksa supaya tertidur?

Tolonglah wahai ibu-ibu, walau apa pun alasannya, tolong bersabar untuk memberi bayi anda makanan di bawah umurnya enam bulan. Tidak ada satu arahan pun di dalam al-Quran dan hadith yang mengarahkan kita memberi anak makan seawal umur begitu. Satu-satunya yang disebut di dalam al-Quran adalah saranan supaya menyusukan anak kecil sehingga umurnya dua tahun. Ya, dua tahun. Dua tahun tanpa makanan tidak akan membunuh bayi itu. Dengan syarat, bayi disusukan dengan susu ibu dan ibu mendapatkan khasiat secukupnya dari makanan dan minumannya.

Namun, ini sememangnya bukan satu kerja yang mudah. Buat yang masih berusaha saya doakan semoga berjaya. Buat yang telah berusaha semampu mungkin namun terpaksa juga memberi anak makan selepas enam bulan, tahniah saya ucapkan. Saya adalah di antara mereka yang telah tidak menyedari hakikat bahawa anak kecil boleh hanya disusukan dengan susu ibu sehingga usianya dua tahun. Dan saya agak terkilan sebenarnya setelah mengetahuinya. Tidak menyesal, kerana saya telah pun berusaha semampu mungkin menjaga makan dan minum anak saya sehingga kini.

Marilah kita sama-sama mengambil kesedaran ini. Sampaikan ilmu kepada yang tidak mengetahui. Siapa tahu kita mungkin menjadi penyebab seorang anak itu tidak terpaksa hidup dalam kesakitan akibat kecuaian orang tua sepanjang hidupnya? Tundakanlah memberi makanan pejal kepada anak selama yang boleh. Tidak dapat dua tahun, cubalah untuk setahun. Dan pastikan anak kita mendapat bekalan susu yang sihat dari ibunya atau ibu susuannya.

Semoga generasi anak-anak kita terdiri daripada insan-insan yang sihat lagi bermanfaat untuk masa hadapan. Amin.

Thursday, 26 March 2015

Minyak Kelapa Dara (VCO)

Teks dan foto: NOR AFZAN ABD KADIR


Kelihatan resit Cosway di situ? Sebenarnya nak cerita yang bulan ini ada tawaran menarik dari Cosway untuk produk Virgin Coconut Oil (VCO) keluaran Country Farm ini. Dua botol 500ml berharga RM59 sahaja (harga biasa RM36.90 sebotol). Mujur sempat untuk saya dapatkan sebelum akhir bulan ini. Saya bukan ahli Cosway namun saya mendapat maklumat ini daripada rakan yang berkongsi di facebook (terima kasih rakan!) beberapa minggu yang lalu.

Buat yang baharu kenal dan belum pernah mengambil VCO ini tentu akan bertanya; ada apa dengan VCO? Seperti saya sendiri yang sudah agak lama mendengar tentangnya namun tak pernah pun terfikir untuk mencari sehinggalah ketika saya berada pada trimester terakhir kehamilan. Dari maklumat yang saya baca, VCO amat bagus untuk diamalkan pada penghujung kehamilan atas sebab kebaikannya yang sangat banyak.

VCO yang bagus untuk dimiliki adalah yang dihasilkan melalui kaedah perahan sejuk (cold pressed), tidak disuling (unrefined) dan penanamannya secara organik. Akhir-akhir ini terdapat pelbagai keluaran VCO dari banyak pengeluar dengan jenama masing-masing. Saya hanya pernah mencuba tiga jenama yang setiap satunya memberikan rasa yang berlainan. Jika ditanya pada saya mana satu yang terbaik, saya akan katakan saya memilih yang paling ekonomi dan rasanya 'ringan'. Itulah jenama Country Farm yang paling lama saya dan anak gunakan.

Ingin saya berkongsi sedikit di sini manfaat-manfaat yang ada pada VCO dari apa yang sendiri rasai dan melalui pembacaan. Jika dibuat pencarian, kita akan berjumpa dengan pelbagai khasiat dan kebaikan yang ada pada VCO. Antaranya seperti di bawah:

1) Memudahkan pembuangan air besar bagi yang mengalami masalah sembelit. Ini sangat membantu terutama ketika mengandung dan selepas melahirkan yang mana masalah sukar membuang air akan dialami oleh ramai wanita. Ia juga membantu bayi dan anak kecil yang mengalami masalah yang sama.

2) Aplikasi VCO pada kawasan perineum pada akhir kehamilan akan membantu mengelastikkan lagi pembukaan faraj wanita bagi membantu memudahkan kelahiran. Terdapat ramai yang berkongsi bahawa jika dilakukan secara kerap dan betul, tidak akan berlaku sebarang koyakan yang memerlukan jahitan ketika melahirkan. Jika di hospital, prosedur episiotomi juga dapat dielakkan.

3) Untuk yang menderita penyakit kulit seperti ekzema juga bagus untuk menggunakannya, untuk sapuan dan juga dimakan. Namun perlu untuk diuji dahulu kesesuaian kulit dengan melakukan 'patch test' di mana sedikit VCO dioles pada kawasan tersembunyi di bahagian tubuh yang mengalami masalah dan lihat jika terdapat kesan yang lebih teruk selepas beberapa ketika. Jika tiada maka bolehlah digunakan VCO bagi tujuan memulihkan ekzema.

4) Menggantikan minyak bayi (baby oil) komersial yang kebanyakannya mengandungi bahan kimia yang tidak bagus untuk disapu pada kulit bayi. Kulit bayi akan sentiasa lembab dan tidak perlu lagi disapukan bedak talkum.

5) Dijadikan minyak rambut bagi melebatkan rambut. Boleh juga dibuat bancuhan VCO dan perahan lemon untuk masalah kulit kepala gatal dan kelemumur. Sapukan pada kulit kepala setiap hari dan bolehlah disyampu seperti biasa selepas itu.

6) Menggantikan minyak masak untuk alternatif yang lebih sihat. Tidak seperti minyak kelapa sawit yang hanya boleh diulang guna maksima tiga kali, VCO boleh digunakan berkali-kali tanpa masalah. Jika anak anda sangat gemarkan makanan bergoreng maka ini adalah cara yang paling selamat. Selain sihat, rasanya juga lebih enak.

7) Menggantikan mentega dalam pembikinan kek dan biskut. Seperti di atas, ia juga pilihan yang lebih sihat.

8) Membantu meningkatkan sistem imun anak dan orang dewasa. Pengambilan secara kerap setiap hari akan menyediakan sistem tubuh kita untuk lebih kuat melawan penyakit. Anak-anak yang mengamalkan VCO juga tidak mudah diserang penyakit.

9) Membantu penurunan berat badan bagi yang bermasalah.

10) Sangat baik digunakan untuk kesihatan dalam mulut. Berkumur dengan VCO setiap pagi sebelum gosok gigi dan sarapan selama lebih kurang 20 minit kemudian ludahkan pada bakul sampah, baharu berus gigi seperti biasa. Terlalu lama? Selepas solat Subuh boleh mula dan sambil anda membasuh baju, menyediakan sarapan, 20 minit akan berlalu :). Kenapa tidak dibuang ke dalam sinki terus? Sepertimana minyak masakan yang lain juga, lama kelamaan ia dikhuatiri akan menyebabkan sinki tersumbat. Maka elakkanlah dari awal.

Hamza sekarang memberus gigi dengan VCO sahaja :)

VCO boleh diminum terus. Bagi yang baharu boleh mulakan dengan sesudu besar di waktu pagi dan sebelum tidur. Untuk anak kecil, mulakan dengan sesudu kecil. Bayi yang sudah mula makan makanan pelengkap boleh bermula seawal 6 bulan, dengan dicampurkan ke dalam susu atau makanannya. Dos boleh ditingkatkan mengikut keperluan terutama ketika tak sihat.

Setakat ini yang mampu dicoretkan buat masa ini. Amalkanlah VCO untuk kesihatan yang baik seisi keluarga.

Monday, 23 March 2015

Sakit Kepala dan Rawatannya

Teks: NOR AFZAN ABD KADIR


Sejak dua hari lepas saya diserang sakit kepala a.k.a. migrain. Agak lama sudah tidak mengalaminya. Terdapat banyak kemungkinan seseorang boleh diserang sakit kepala. Kali ini saya ingin membincangkan dari perspektif seorang ibu yang menyusukan anak.

Hampir saya terlupa yang saya sedang menyusukan, jumlah cecair yang masuk ke dalam perut saya perlu dikekalkan dalam kuantiti sekurang-kurangnya dua liter, sebaik-baiknya sehingga tiga liter dalam sehari. Ketika asyik memikirkan kemungkinan sebab-musabab saya diserang sakit kepala kali ini, atas pertanyaan seorang sahabat baharulah saya tersedar yang saya telah kurang mengambil air minuman pada hari sebelumnya.

Antara sebab-sebab lainnya:
- Mengambil makanan yang agak tinggi kandungan garam seperti maruku, kerepek dan bebola daging dalam hidangan bakso.
- Cuaca panas terik sekarang ini. Umum mengetahui perlunya badan mengekalkan tahap kelembapannya.
- Tekanan perasaan disebabkan cuaca dan masalah hidup.

Sejak sebelum melahirkan anak lagi saya sudah tidak mengambil ubat-ubatan hospital/klinik bagi menghilangkan kesakitan akibat sakit kepala ini. Saya hanya bertahan dengan menyapu minyak angin, mengurut kepala, mencuci rambut kemudian tidur.

Setelah banyak membaca dari pelbagai sumber dari pengamal remedi semulajadi, saya mengetahui terdapat beberapa kaedah alternatif yang boleh diamalkan bagi tujuan mengurangkan sakit kepala ini. Antaranya adalah seperti berikut:

1) Mengunyah badam beberapa biji. Ikutlah beberapa biji yang mahu diambil tetapi sebaiknya dalam bilangan ganjil seperti tiga, lima atau tujuh kerana nabi Sallallahu alaihi wasallam sukakan bilangan ganjil.

2) Menumbuk biji habbatussauda di dalam uncang kain yang kecil dan dihidu baunya. Sebaiknya dilakukan ketika hendak tidur.

3) Menghiris bawang putih senipis yang boleh kemudian lekapkannya pada dahi. Boleh cuba dengan kuantiti yang sedikit sahaja dahulu kerana sifat panas bawang putih itu agak kuat. Biarkan sehingga kering dan boleh diulang lagi jika perlu.

4) Menghidu haruman lavendar atau peppermint essential oil menggunakan air humidifier jika ada. Haruman ini sangat menenangkan sekaligus memberikan kesan yang tenang pada penghidunya.

5) Memakan sumber makanan yang bersifat anti-radang seperti minyak zaitun, cuka epal yang dibancuh dengan sedikit madu, sayur-sayuran hijau dan sebagainya.

Terdapat pelbagai lagi remedi yang dapat membantu masalah sakit kepala ini. Saya coretkan di sini hanya beberapa darinya sahaja. Namun jika kita tahu puncanya, pastikan kita rawat yang itu dahulu. Contoh dalam kes saya; kekurangan air dalam badan, maka minumlah air kosong sedikit demi sedikit dengan kerap sehingga keperluan air dalam sehari itu dipenuhi. Remedi di atas akan membantu mengurangkan ketidakselesaan yang dialami sepanjang sakit kepala itu berlangsung.

Semoga coretan di atas ada manfaatnya buat yang membaca. Jaga kesihatan sebaiknya ya kawan-kawan. Ibu sihat, anak gembira!

Friday, 20 March 2015

4 Peringkat Pembersihan Gigi Anak Saya

Teks: NOR AFZAN ABD KADIR


Perjalanan dalam pembersihan gigi Hamza bukanlah sesuatu yang mudah. Seawal lima bulan dua batang giginya di bahagian atas mula muncul. Sebagai ibu pasti teruja melihat gigi pertama anak keluar. Tidaklah saya tahu ketika itu bahawa semakin awal gigi bayi keluar, kemungkinan untuk gigi itu rosak awal juga semakin tinggi. Mungkin kebetulan namun itulah yang dialami Hamza pada usianya 20 bulan kini. Di sini ingin saya coretkan peringkat-peringkat yang telah kami lalui.

1. Dari lahir hingga 3 bulan
Saya hanya menggunakan kain basah untuk mengelap bahagian dalam mulut setiap pagi selepas mandi.

2. 3 bulan hingga 5 bulan (gigi pertama tumbuh)
- Menggunakan berus gigi plastik yang perlu disarungkan pada jari orang dewasa.
- Mengelap lidah menggunakan kain basah untuk membersihkan kerak susu.

3. 6 bulan hingga 12 bulan
- Mula mencari berus gigi yang sebenarnya apabila muncul lagi dua batang di kiri dan kanan.
- Berus gigi Jordan khas untuk bayi itu memang lembut dan Hamza suka untuk diberuskan giginya.
- Hanya memberus gigi kosong tanpa ubat.
- Memberus hanya sekali sehari selepas mandi pada awal pagi.
- Akan ada masa-masanya dia menolak untuk diberuskan gigi (mungkin sakit kerana ingin keluar gigi yang baharu), saya akan mengelap giginya dengan kain yang dibasahkan dengan sedikit minyak kelapa dara.

4. Setahun ke atas
- Selepas setahun saya perhatikan sebatang gigi Hamza seakan mengalami kerosakan. Saya teruskan sahaja memberus dan mengelap dengan minyak kelapa sesekali seperti biasa.
- Pemakanan Hamza sangat dijaga jadi saya agak bingung mencari punca kepada masalah gigi anak saya ini.

Gigi Hamza ketika 17 bulan

- Semakin bertambah umur, semakin bertambah juga kadar kerosakan itu sehingga berjangkit ke gigi sebelah. Saya mula mencari maklumat yang lebih banyak. Antara dapatan saya dari hasil pembacaan:

(1) Terdapat ramai ibu yang berkongsi masalah yang sama. Ada anak yang dijaga rapi, sentiasa memberus gigi sama ada dengan ubat atau tanpa ubat, ubat berfluorida atau tanpa fluorida, tetap juga berlaku masalah kerosakan gigi. Ada pula anak yang biasa memakan gula-gula dan makanan ringan, jarang memberus gigi, tetapi giginya cantik berseri tanpa kerosakan. Jadi bagaimana?

(2) Ada kemungkinan si ibu tidak mengambil sumber kalsium yang cukup ketika dia mengandung. Jika ini adalah puncanya, dalam diet si anak perlu ditambahkan sumber makanan yang mengandungi khasiat ini.

(3) Ada ibu bapa yang pergi berjumpa pakar, kemudian menggunakan ubat yang boleh membantu mengurangkan atau melambatkan proses kerosakan gigi. Ubat itu tidak akan mengembalikan keadaan gigi sebagaimana asalnya.

(4) Bagi ibu bapa yang ingin menggunakan kaedah yang lebih selamat dan alami, menggosok gigi dengan minyak kelapa dara adalah cara yang baik untuk diamalkan dan saya memilih kaedah ini.

Oleh kerana Hamza telah diberi ubat gigi setelah umurnya lebih setahun (hanya mencecah hujung berus gigi pada ubat gigi), agak sukar saya ingin menukar tabiat ini. Sehinggalah baru-baru ini apabila neneknya secara tidak sengaja terbuang ubat giginya kerana disangkakan telah habis, saya nekad untuk tidak membelikan ubat gigi yang baharu. Apa yang saya lakukan?

- Letakkan minyak kelapa dara pada berus giginya dan menggosok gigi saya di hadapan dia dengan gembiranya. Dia akan minta berus gigi itu dan mahu lakukan yang sama sendiri.

Setiap kali waktu memberus gigi saya akan lakukan yang sama. Walaupun dia mahu memberus gigi begitu namun dia tetap kelihatan kurang selesa setiap kali memberus (mahu cepat siap dan enggan membuka mulut lagi). Jadi saya fikir mungkin faktor berus gigi itu sendiri yang menyebabkan dia kurang selesa.

Suatu hari, ketika mencari-cari barang di kedai Mr. DIY, saya terpandang pada satu berus gigi kanak-kanak yang agak lain dari yang biasa. Kerana harga yang agak murah, saya membelinya dengan niat untuk dicuba dahulu. Alhamdulillah, pertama kali cuba memberus nampak dia sangat sukakan berus gigi baharunya itu. Malah masa menggosok menjadi lebih lama!

Berus gigi Raiya bersama botol minyak kelapa.

Kini tugas menggosok gigi anak menjadi lebih mudah. Hamza sudah suka memberus giginya dengan menggunakan minyak kelapa dara! Buat ibu bapa yang anak mereka menghadapi masalah yang sama di luar sana, mungkin anda boleh usahakan cara ini. Atau sekiranya anda ada kaedah yang lebih baik lagi, silalah berkongsi dengan saya di sini.

Harapan saya semoga kerosakan gigi awal anak-anak kita akan lebih terkawal dan tidak akan menjadi lebih teruk lagi. Seterusnya gigi kekal mereka akan tumbuh dengan kuat, cantik serta sihat. Amin.

Tuesday, 10 March 2015

Pembuka Bicara: Salam Ukhuwah

Entri 1

Teks: NOR AFZAN ABD KADIR


Bismillah
Assalamu'alaikum warahmatullahi wabarakatuh

Setelah 34 tahun lamanya diizin Allah hidup di atas muka bumi ini, inilah kali pertama saya mempunyai 'diari' online sendiri, sesuatu yang sangat saya cuba elakkan sejak saya mengenali dunia internet ini :).

Selamat datang dan salam perkenalan buat pembaca-pembaca blog saya. Nor Afzan binti Abd Kadir nama diberi oleh ibu yang melahirkan saya di sebuah rumah di Kampung Raja, Muar, Johor. Kononnya sempena mengambil nama Tuanku Ampuan Pahang :). Nama yang sebenarnya agak malu untuk saya sebut ketika bersekolah dahulu kerana ramai yang menyangkakan lelaki :).

Pendidikan awal saya, bersekolah rendah dan menengah di Ulu Tiram, Johor sehingga Tingkatan 3. Kemudian diterima masuk ke sekolah berasrama di Sekolah Menengah (Vokasional) Perdagangan, Johor Bahru (1996-1997). Selepas keputusan SPM diumumkan pula, saya melanjutkan pelajaran di Kolej Mara Banting, Selangor selama setahun setengah bagi mengikuti Program Matrikulasi Universiti Malaya dalam bidang Perakaunan, suatu bidang yang sangat saya minati zaman persekolahan dahulu. Kemudian ke kampus induklah pula menghabiskan pengajian selama tiga tahun setengah lagi.

Belum pun keluar salinan keputusan peperiksaan akhir, saya sudah memulakan tugas sebagai pembantu juruaudit di salah sebuah firma perakaunan antarabangsa di Johor Bahru (Disember 2002). Setahun kemudian saya bertukar angin ke firma perakaunan yang lain di Kuala Lumpur. Pada hujung 2005 hingga 2006, saya bergelar penganggur kehormat atas sebab yang tidak dapat dielakkan. Kemudian pada bulan Mei 2007, saya memulakan pekerjaan baharu di UEM Berhad sebagai Eksekutif Akaun dan genap tiga tahun di situ, saya meletakkan jawatan dengan tugasan-tugasan seorang Akauntan Pengurusan setelah bersedia menjadi suri kepada seorang suami. Saya berkahwin pada 13 Jun 2010 dan sejak itulah bermula episod kehidupan baharu yang sangat saya nanti-nantikan setelah sekian lama; menjadi surirumah sepenuh masa!

Bukan terlalu mudah jalan cerita untuk saya bergelar isteri dan duduk di rumah, namun itulah takdir Allah buat saya. Selang masa yang agak lama selama lebih dua tahun kami hidup berdua, kebanyakan masanya saya membantu suami menjalankan tugasan beliau sebagai seorang juruedit senior dengan salah sebuah syarikat penerbitan buku-buku agama yang terkenal di Malaysia. Dari situlah minat saya terhadap dunia pengeditan bermula. Selain tugasan yang agak mudah yang diberikan oleh suami, kerja itu juga boleh saya lakukan di mana-mana sahaja pada bila-bila masa, tanpa perlu keluar dari rumah! Semestinya upah yang diberi juga setimpal dengan usaha yang dicurahkan.

Bak kata pepatah, langit tidak selalu cerah. Dalam kegembiraan kami menyambut kehadiran orang baharu pada tahun ketiga perkahwinan, ujian yang amat hebat dari Allah datang. Si kecil Hamza sudah bergelar anak yatim ketika usianya baharu menjejak empat bulan. Innalillahi wainna ilaihi roji'un. Semoga Allah mengampuni dan menempatkan arwah dalam golongan orang-orang yang beriman.

Keinginan kuat saya untuk menyusukan anak secara langsung selama dua tahun, menyaksikan tumbesaran anak di depan mata, di samping bimbang meninggalkan anak bersama orang lain menyebabkan saya tidak mampu untuk menerima tawaran kerja yang sekali dua datang menyinggah. Walau keadaan adalah agak mendesak, saya tetap gembira dapat menyediakan makanan dan minuman sendiri buat anak saya, menjaga tahap kesihatannya dan dia tahu dia sentiasa ada saya bersama sebagai ibunya. Untuk memenuhi waktu-waktu itu, saya mencari sebanyak mungkin maklumat tentang minat baharu saya setelah mendapat cahayamata, iaitu tentang proses kelahiran alami, pemakanan sebenar dan sihat secara alami, di samping topik keibubapaan.

Kini, setelah hampir setahun setengah berlalu peristiwa sedih itu, saya mendapat kekuatan untuk memulakan langkah pertama untuk menjinakkan diri dalam dunia perniagaan. Tidak boleh tidak, saya harus mulakan. Umm Hamza Store telah didaftarkan, page bisnes Hamza Store telah dilancarkan. Buat permulaan, saya bermula dengan produk dropship dahulu disebabkan kekangan-kekangan yang ada. InshaAllah, saya ada perancangan memasarkan produk sendiri apabila sampai masanya.

Seperti ada yang tidak lengkap, saya tahu yang saya perlukan seorang pembimbing yang dapat menunjuk ajar saya. Alhamdulillah, pencarian maklumat di Google menemukan saya dengan Puan Anys Idayu Zakaria dan Puan Masayu Ahmad - antara penggerak utama Akademi Bekerja Dari Rumah (ABDR) - seterusnya lahirlah blog ini. Banyak maklumat dan ilmu bermanfaat yang dikongsikan mereka. Terima kasih cikgu.

Semoga Allah memberi keizinan dan keredhaan-Nya, seterusnya memudahkan perjalanan kami ibu-ibu yang ingin mencari rezeki halal lagi baik buat ahli keluarga kami secara khususnya dan ummah secara amnya. Amin.

Teruskan memberi sokongan dan doa kepada kami! :)