Wednesday, 8 April 2015

Cerita Semalam: Ke UTC

Teks dan foto: NOR AFZAN ABD KADIR


Sekian lama sudah tertangguh pekerjaan yang satu ini, hanya kerana saya tidak dapat untuk memandu sendiri ke sana. Sabtu lepas, secara bersahaja saya bertanya kepada abang saya, "Kau boleh tak bawa aku ke UTC bila-bila masa kau free?" Maka dipilihnya hari ini (semalam). Sekali lagi, serombongan tujuh orang termasuk tiga kanak-kanak dan seorang bayi keluar bersama menuju ke kota raya.

Inilah pertama kali saya menjejakkan kaki semula di Plaza Kotaraya, Johor Bahru setelah lebih sepuluh tahun yang lalu. Dengan jalan raya banyak yang baharu, ditambah dengan highwaynya lagi, saya pun tidak tahu laluan apa yang diguna tadi. Tahu-tahu sudah sampai di sana. Plaza Kotaraya yang biasa saya lawati dahulu sangat berbeza. Ketika itu ia sudah seperti tidak 'hidup' lagi disebabkan sudah ada kompleks membeli-belah lain yang tumbuh di sekitarnya. Kini ia berwajah baharu (bagi saya), mungkin setelah UTC menyewa di sana, tempat ini kembali hidup dan menjadi tumpuan.

Jadi apa tujuannya saya ke UTC? Sebenarnya adalah untuk tujuan rayuan BR1M 2015 saya yang telah ditolak permohonannya (saya terima pada 2014). Alasan penolakan yamg diberi adalah kerana maklumat pengenalan tanggungan yang tidak wujud. Ketika saya mengemaskini maklumat sebelum itu memanglah saya cuma masukkan angka-angka sebagai mewakili nombor sijil lahir anak saya. Ini kerana ketika itu saya masih belum menerima sijil lahirnya dari Jabatan Pendaftaran Negara, apa yang boleh saya lakukan?

Maka saya ke UTC tadi dengan membawa salinan sijil lahir anak yang baharu diterima beberapa minggu lepas berserta salinan sijil mati suami, tidak diminta namun saya siapkan sahaja. Untuk urusan BR1M, pihak LHDN yang akan uruskan. Kaunter LHDN terletak di tingkat dua Plaza Kotaraya, saya menaiki lif bersama Hamza menuju ke situ. Sejurus masuk, saya agak terkejut kerana kebiasaanya apabila memasuki mana-mana pejabat kerajaan, pasti penuh dengan manusia. Maka dapatlah saya rakamkan gambar di atas. Apabila nombor giliran dipanggil dan saya serahkan dokumen-dokumen yang berkaitan, selesailah urusan saya di sana.

Keluar sahaja dari UTC saya menuju ke tandas. Tandasnya agak bersih dan baharu. Saya terus mengambil wuduk di situ kerana jam pun sudah menunjukkan pukul 4.45petang. Suraunya sangat mudah dilihat, bahagian dalamnya sangat luas dan selesa. Ini pertama kali saya bersolat di tempat awam yang jauh dari rumah setelah mendapat anak. Saya memilih tempat yang agak tersembunyi di salah satu sudut surau tersebut. Alhamdulillah, Hamza duduk diam di tepi sambil tangannya memain pintu yang ada di situ.

Teringat pada hari raya yang lepas, saya membawa Hamza ke surau yang dekat dengan rumah tetapi tidak dapat bersolat kerana dia merengek-rengek tidak mahu diletak. Mungkin kerana ketika itu sangat ramai orang dan di surau semalam keadaannya agak lengang.

Usai solat, kami menuju ke medan selera di mana abang sekeluarga menunggu. Saya memesan jus mangga tanpa gula dan roti bakar untuk Hamza, sementara saya memilih nasi lemak. Selera dia meminum jus itu tetapi tidak mahu makan, hanya meminta kurma dan kismis yang saya bekalkan untuknya. Dalam hati agak bimbang kerana sebelum itu di rumah pun dia tidak mahu makan. Dengan perut kosong itu, kebiasaanya dia akan muntah setelah berjalan jauh.

Kami kemudian keluar dari Kotaraya untuk ke destinasi seterusnya; mereka ingin ke Tesco dan saya mahu ke Jusco Aeon yang bersebelahan. Kerana jam sudah pukul 6.30 ketika itu, keadaan trafik sangat sibuk dengan kenderaan. Setelah separuh perjalanan, Hamza memalingkan diri menghadap saya dan meminta susu. Lama dia duduk diam seperti itu dan saya seakan dapat mengagak apa yang akan berlaku. Tiba-tiba, habis basah pakaian saya dengan muntahnya. Oh, inilah saatnya. Mujur tak kena pada tempat dan orang lain.

Maka terdiamlah saya sambil memeluk Hamza sepanjang perjalanan. Abang bertukar fikiran untuk menghantar kami pulang dahulu. Sampai di rumah tepat waktu Maghrib, saya terus membawa Hamza untuk mandi. Setelah berehat sekejap, saya menyuapkan Hamza makanannya. Sungguh berselera dan banyak dia makan. Sesekali terdengar dia sendawa. Alhamdulillah.

Saya juga sebenarnya kemabukan kerana tak biasa menghidu pewangi kereta abang itu. Sejak awal perjalanan setelah keluar rumah, saya sudah dapat mengagak benda-benda ini akan berlaku tapi terpaksalah bertahan sahaja. Mungkin selepas ini saya perlu membawa minyak angin untuk menghilangkan kemabukan seperti itu.

Tuesday, 7 April 2015

Perjalanan Penyusuan Hamza (Bahagian 1)

Teks: NOR AFZAN ABD KADIR
Foto: Google


Pertama kali saya didedahkan dengan dunia penyusuan susu ibu ini adalah ketika masih bekerja dan menetap di Kuala Lumpur, tahun 2008. Seorang sahabat yang saya kenali melalui forum agama di alam maya yang mula membuka mata saya mengenai topik ini. Beliau seorang doktor, pensyarah dan ketika itu sedang melanjutkan pengajiannya dalam bidang penyusuan yang akan menggelarkannya seorang konsultan penyusuan susu ibu yang bertauliah.

Pada setiap kelapangan, pasti beliau akan membawa saya pergi ke program-program yang berkaitan dengan susu ibu. Walaupun pergi dengan tidak sepenuh hati kerana berasakan yang saya belum lagi berada di dalam kelompok itu, namun saya amat bersyukur kerana sekurang-kurangnya, kesan dari menyertai program-program tersebut telah menguatkan niat dan azam saya untuk menyusukan anak ketika saya mula mengandung beberapa tahun selepas itu.

Sejak awal kandungan lagi, saya berdoa memohon agar Allah Subhanahu wata'ala izinkan saya untuk melahirkan anak dengan selamat di rumah dan menyusukan anak saya sehingga dua tahun. Tanpa gagal, itulah doa saya pada sujud terakhir setiap kali solat. Dan alhamdulillah, Allah telah pun memberikan saya kemampuan untuk melakukannya, bukan melalui jalan yang mudah, tetapi sehingga kini saya masih melakukannya. Alhamdulillah.

Susu ibu, tidak kiralah daripada ibu sendiri atau ibu susuan, tidak akan ada yang dapat menyangkal akan kebaikannya melebihi susu-susu yang lain. Walaupun ketika si ibu sedang sakit, susunya masih yang terbaik dan bermanfaat buat anaknya. Tidak ada juga istilah bahawa kebolehan menyusukan anak ini bergantung kepada faktor keturunan dan juga bentuk badan. Dalam kalangan ahli keluarga saya sendiri mempunyai kepercayaan bahawa kami yang perempuan adalah keturunan tidak banyak susu. Namun itu tidak sedikitpun saya percaya. Satu-satunya yang penting bagi memastikan kejayaan penyusuan adalah dengan ilmu.

Penyusuan anak adalah perkara kedua terpenting yang saya titik-beratkan sepanjang kehamilan selepas menggali ilmu untuk mendapatkan proses kelahiran yang alami. Malah persiapan untuk si kecil seperti pakaian dan alatan-alatan lainnya, saya sediakan secara ala kadar sahaja. Kebanyakan masa saya habis digunakan untuk membaca dan belajar dari ibu-ibu yang berpengalaman. Jangan anggap bahawa setiap ibu akan mampu menyusukan dengan baik sejurus selepas bersalin.

Jika dirasakan telah banyak membaca pun, tidak semua ibu mampu memberikan susu kepada anak sebaik dia lahir. Selain diri sendiri yang perlu ada keyakinan yang tinggi, peranan dan sokongan orang-orang terdekat juga turut merupakan faktor yang penting bagi memastikan kejayaan misi ini. Banyak cerita yang kita dengar mengatakan susu tidak keluar selepas melahirkan kerana mereka menjangkakan susu akan keluar mencurah-curah pada hari-hari pertama selepas melahirkan. Ini sangat tidak masuk akal jika kita mengetahui sebesar apakah saiz perut bayi ketika itu. Bayi hanya memerlukan beberapa titis susu ibu selepas dilahirkan. Dan susu yang berwarna kekuningan yang dipanggil kolustrum ketika awal kelahiran yang dianggap susu basi oleh sesetengah orang itulah yang paling penting untuk diberikan kepada bayi.

Sejurus Hamza dilahirkan, ketika dia dilihat seperti mencari-cari sesuatu, saya terus memberikannya susu. Cara lekapan yang betul diajarkan oleh sahabat saya ketika itu. Stimulasi seperti itu sangat penting. Hisapan itulah yang menghantar isyarat kepada otak bahawa susu diperlukan untuk dihasilkan kerana adanya permintaan. Ditambah pula susu ibu sangat mudah untuk dihadam dan dengan perut yang sekecil itu, maka sangat patutlah bayi ingin menyusu dengan sangat kerap pada hari-hari awal kelahirannya.

(Bersambung...)

Sunday, 5 April 2015

Resepi Ringkas: Kuih Dangai

Teks dan foto: NOR AFZAN ABD KADIR


Pernah dengar dan makan kuih ini? Saya sudah lama tidak membelinya. Kuih ini selalunya mudah didapati di pasar malam namun rupanya berbeza kerana mereka menggunakan acuan dan gula pasir putih.

Ketika terlihat perkongsian seorang sahabat di dalam grup whatsapp Masakan Alami/Organik kami, saya terus rasa teringin untuk mencubanya. Selain enak, ia juga amat ringkas dan mudah untuk dibuat, sesuai untuk minum petang bersama keluarga.

Bahan-bahan yang diperlukan adalah:
Bahan A:
150gram kelapa parut putih
150gram tepung pulut
30gram air
1/2sudu teh garam

Bahan B:
30gram kelapa parut putih
100gram gula melaka asli yang dihancurkan/gula merah

Cara-caranya:
Sediakan loyang berukuran 7x7 inci dan sapukan minyak masak pada permukaannya.
Satukan bahan A dan pastikan tidak berketul-ketul (leraikan). Bahagikan kepada dua bahagian.
Gaulkan bahan B dan ketepikan sebentar.
Ambil 1/2 bahagian A tadi dan ratakan ke dalam loyang.
Bakar sebentar di dalam oven yang bersuhu 150°c selama lebih kurang 10minit.
Keluarkan dan sapukan bahan B (gula) di atasnya dengan rata.
Taburkan baki bahan B tadi di atas lapisan gula tersebut.
Masukka  ke dalam oven semula dan bakar lagi selama 20 minit atau sehingga permukaan atas kekuningan.
Boleh diangkat dan sejukkan. Sebaiknya dipotong ketika masih panas kerana ia lebih mudah.

Ketika menikmati hasil cubaan saya ini, saya mendapati beberapa perkara yang boleh diberi perhatian:

1) Ada pelbagai versi yang kita boleh jumpa untuk membuat kuih Dangai ini. Ini adalah yang baharu saya cuba buat pertama kali. Ada resepi yang tidak mencampurkan air supaya adunan tepung dan kelapanya tidak berketul-ketul. Saya akan mencuba cara ini di lain masa.

2) Ketika meletakkan adunan tepung dan kelapa ke dalam loyang tidak perlu ditekan-tekan atau dimampatkan secara kuat kerana ini akan mengakibatkan hasil kuih yang agak keras.

3) Kelapa parut yang digunakan sebaiknya dari jenis kelapa muda parut untuk mendapatkan hasil yang agak lembut walaupun garing ketika dimakan.

Secara kesimpulannya, kuih ini memang sangat enak! Terutama apabila gula putih biasa ditukarkan dengan gula merah; selain lebih sihat, ianya juga lebih sedap!

Selamat mencuba!


Bagaimana Berinteraksi Dengan Sebaran Media Sosial

Teks: NOR AFZAN ABD KADIR


Mutakhir ini kelihatan semakin banyak berita-berita yang menyedihkan dikongsi dan disebarkan di laman sosial. Dari kisah bayi dibuang, anak kecil didera secara kejam, bayi maut di tempat pengasuh, kemalangan jalan raya yang mengakibatkan bayi sehingga yang terbaharu, kanak-kanak terjatuh dari tempat yang tinggi.

Kebanyakannya melibatkan anak-anak, semuanya menyeramkan dan menyedihkan. Jika melibatkan kanak-kanak, maka sudah tentulah ianya akibat tindakan atau kecuaian orang yang lebih tua.

Sejak detik pertama sesuatu peristiwa itu berlaku, pasti ada pihak yang sempat merakamkan kejadian tersebut, sama ada dalam bentuk gambar atau video. Dengan mengarang sedikit sebanyak ayat, gambar atau video itu diposkan ke laman sosial seperti facebook dan sebagainya. Dan dalam masa beberapa minit sahaja, ianya telah pun dikongsi oleh seberapa ramai manusia di alam maya ini. Tanpa kita ketahui pun, apakah rakaman itu asli, apakah fakta di dalam berita itu benar. Kecuaian orang yang terlibat dalam peristiwa itu dihighlightkan, dikecam, dikeji sambil mendoakan yang bukan-bukan. Rupa dan tubuh badannya ditayangkan tanpa berselindung lagi.

Bayangkan, bayangkan tuan-tuan, jika kita, jika kita yang berada di tempat tersebut. Jika yang menjadi mayat itu adalah anak kita, adakah kita mahu diperlakukan yang sama? Di manakah ruang untuk kita ketika itu? Ruang untuk berasa berdosa, ruang untuk bertaubat, ruang untuk bersedih dan berkabung serta menenangkan diri? Di kala seluruh manusia mendoakan keburukan buat kita?

Percayalah, bagi manusia yang waras akalnya, pasti akan berasa menyesal jika tragedi itu adalah disebabkan kecuaiannya. Tidaklah sesekali dia mahukan ianya berlaku sedemikian rupa.

Bagaimanakah sebaiknya yang boleh kita lakukan jika terbaca atau ternampak situasi-situasi sebegini? Jika kita yang ternampak, segeralah laporkan kepada pihak yang berkuasa. Jika ingin berkongsi, cukuplah menceritakan secara umumnya, dengan iktibar yang boleh dipelajari. Tidak perlu mengambil gambar, jika ia melibatkan aurat dan aib manusia, atau kejadian yang terlalu ngeri. Cukuplah hanya menghantarkannya kepada pihak yang berkuasa dan biarkan yang arif yang menguruskannya.

Marilah kita mula menyebarkan cerita bahagia, cerita yang memberikan aura positif buat yang membacanya. Kurangkanlah mencari-cari lalu menyebarkan cerita-cerita sedih, lalu menyedihkan perasaan orang-orang yang terlibat dan mereka yang membacanya.

Doakanlah agar yang pergi itu mendapat rahmat Tuhannya, yang terlibat itu mendapat pengajaran dan keampunanNya.


Friday, 3 April 2015

Mengapa Bayi Makan Atas 6 Bulan?

Teks: NOR AFZAN ABD KADIR



Ingatkan kita bilakah pertama kali perut kita diisi dengan makanan ketika kita masih bayi? Empat bulan? Dua bulan? Dalam hari??

Bagi yang menjawabnya di bawah enam bulan, apakah jenis makanan tersebut? Nestum? Bubur cair? Biskut atau roti cicah air?

Jika ada di antara jawapan di atas, bagaimanakah pula tahap kesihatan kita ketika ini? Adakah antara kita yang menghidapi masalah pembuangan air besar? Atau apa-apa masalah di dalam perut? Buah pinggang?

Tahukah anda kenapa di dalam buku rekod kesihatan anak menyarankan bahawa makanan pelengkap hanya diberi kepada bayi dari enam bulan ke atas? Makanan awal yang sepatutnya diperkenalkan pula adalah makanan sebenar dari jenis buah-buahan atau sayur-sayuran yang dipurikan? Ini adalah kerana sistem penghadaman bayi pada usia sebegini adalah sangat mentah dan tidak kuat lagi. Ia tidak mampu lagi untuk memproses makanan yang kompleks sebegitu.

Pernahkah anda mendengar kisah seorang bayi seusia empat hingga lima bulan terpaksa dipotong di beberapa tempat pada saluran ususnya kerana tersumbat dan rosak? Apakah sebabnya sehingga boleh berlaku seperti itu? Mendengarnya sahaja sudah membuatkan kita rasa begitu sedih, bagaimana pula dengan perasaan ibu dan bapanya? Anak itu sendiri apabila dewasa? Jika kita yang berada di tempat mereka? Sungguh, ianya suatu ujian yang perit, sebuah harga yang mahal yang perlu dibayar oleh mereka.

Adakah salah seseorang bayi itu menangis? Adakah kaedah lain lagi bagi si kecil untuk berkomunikasi? Mengapakah kita yang lebih dewasa sentiasa ingin mengambil jalan singkat bagi memberhentikan tangisan itu? Alasan bahawa dengan memberinya makan supaya perutnya kenyang lalu membuatnya diam dalam jangka waktu yang lama adalah sangat tidak munasabah. Tidakkah dapat kita berfikir bahawa sistem badan si bayi itu telah terlalu penat kerana terpaksa bekerja keras bagi memproses benda asing yang hadir di dalam perutnya lalu dia dipaksa supaya tertidur?

Tolonglah wahai ibu-ibu, walau apa pun alasannya, tolong bersabar untuk memberi bayi anda makanan di bawah umurnya enam bulan. Tidak ada satu arahan pun di dalam al-Quran dan hadith yang mengarahkan kita memberi anak makan seawal umur begitu. Satu-satunya yang disebut di dalam al-Quran adalah saranan supaya menyusukan anak kecil sehingga umurnya dua tahun. Ya, dua tahun. Dua tahun tanpa makanan tidak akan membunuh bayi itu. Dengan syarat, bayi disusukan dengan susu ibu dan ibu mendapatkan khasiat secukupnya dari makanan dan minumannya.

Namun, ini sememangnya bukan satu kerja yang mudah. Buat yang masih berusaha saya doakan semoga berjaya. Buat yang telah berusaha semampu mungkin namun terpaksa juga memberi anak makan selepas enam bulan, tahniah saya ucapkan. Saya adalah di antara mereka yang telah tidak menyedari hakikat bahawa anak kecil boleh hanya disusukan dengan susu ibu sehingga usianya dua tahun. Dan saya agak terkilan sebenarnya setelah mengetahuinya. Tidak menyesal, kerana saya telah pun berusaha semampu mungkin menjaga makan dan minum anak saya sehingga kini.

Marilah kita sama-sama mengambil kesedaran ini. Sampaikan ilmu kepada yang tidak mengetahui. Siapa tahu kita mungkin menjadi penyebab seorang anak itu tidak terpaksa hidup dalam kesakitan akibat kecuaian orang tua sepanjang hidupnya? Tundakanlah memberi makanan pejal kepada anak selama yang boleh. Tidak dapat dua tahun, cubalah untuk setahun. Dan pastikan anak kita mendapat bekalan susu yang sihat dari ibunya atau ibu susuannya.

Semoga generasi anak-anak kita terdiri daripada insan-insan yang sihat lagi bermanfaat untuk masa hadapan. Amin.

Thursday, 2 April 2015

Pengalaman Berniaga Tepi Jalan

Teks: NOR AFZAN ABD KADIR


Gambar hiasan

Sebenarnya saya sendiri hampir terlupa yang saya pernah ada pengalaman seperti ini. Bila tiba-tiba teringat, maka saya pun berfikir untuk mencoretkan pengalaman singkat itu di sini.

Ianya hanya untuk jangkamasa beberapa bulan sahaja dalam tahun 2007. Ketika itu saya masih tiada pekerjaan tetap setelah meninggalkan dunia audit pada penghujung 2005. Ketika mencari-cari peluang, idea ini datang daripada kakak saya yang kebetulan baharu sahaja mengambil skim pemberhentian wajib akibat penutupan kilang tempatnya bekerja sekian lama.

Kakak sekeluarga telah memulakannya dahulu. Mereka membuka sebuah gerai kecil di tepi jalan di Taman Puteri Wangsa. Dengan hanya membentangkan dua buah meja kecil, sebatang payung besar dan beberapa buah kerusi untuk duduk, mereka mula menjual beberapa jenis makanan pagi seperti lontong, bihun, mee, kuey teow, kuih-muih dan air minuman panas. Seorang lagi kakak menyediakan nasi lemak untuk dijual. Sambutan agak menggalakkan kerana ia merupakan jalan utama bagi penduduk di taman yang agak baru di sekitar itu. Setelah beberapa hari, saya pula menyertai mereka dengan menjual sandwich (sardin, tuna dan telur) dan puding roti ciptaan sendiri.

Seawal pagi sesudah Subuh saya akan keluar bersama barang niaga menuju ke gerai tersebut. Kedudukan saya yang paling jauh mengambil masa kira-kira 15minit membuatkan saya sampai ketika hari sudah terang dan kanak-kanak sudahpun menaiki bas ke sekolah pada kebiasaannya. Setelah kanak-kanak ke sekolah, kumpulan pelanggan berikutnya terdiri dari golongan pekerja pula. Ada beberapa pelanggan yang menjadi pembeli tetap kami. Dan puding roti saya pula ada peminatnya yang tersendiri.

Apabila jam menunjukkan pukul 10.30 pagi, orang yang lalu lalang sudah mulai reda. Yang ke pejabat sudah di pejabat, yang ke kilang mengikut shif masing-masing. Kami pun mula untuk berkemas-kemas dan membahagikan baki-baki makanan yang tidak terjual. Adat berniaga, ada harinya segala yang dijual terjual, ada harinya sangat kurang jualan.

Dalam perjalanan pulang ke rumah, saya akan singgah ke kedai berhampiran untuk membeli stok roti, sardin, telur dan sebagainya untuk jualan pada hari esok. Ya, duit ketika itu sentiasa berpusing, sebagai modal dan hasil setiap hari. Sampai di rumah, setelah menyimpan barang-barang, saya mula mencatat jumlah duit keluar masuk pada hari itu. Setelah beberapa lama, saya sendiri jadi tidak pasti dengan apa yang saya lakukan, kerana kelihatannya acapkali duit yang keluar melebihi dari duit yang masuk, dan jumlah untung yang dilihat pun terlalu sedikit. Sehingga berasakan bahawa saya cuma menolong orang ramai membelikan barang dan menyediakan makanan pagi buat mereka :)

Oleh kerana volum yang saya hasilkan setiap hari adalah kecil dan saya membeli bahan mentah pula pada harga runcit, ditambah plastik yang saya gunakan itu pula agak mahal untuk membungkus sandwich, makanya tidak hairanlah jika begitu rupa rekod kewangan perniagaan saya. Makanan jenis sandwich pula tidak begitu mendapat sambutan selain sifatnya yang tidak tahan lama, menyumbang kepada kerugian itu. Kerana itu saya menganggap berniaganya saya ketika itu adalah sebagai memulakan langkah pertama dan mengumpul pengalaman yang mungkin berharga pada masa akan datang.

Hanya beberapa bulan setelah saya berniaga seperti itu, saya berhenti kerana mendapat tawaran untuk bekerja sebagai kerani akaun dengan sebuah syarikat penjual motorsikal di Masai. Kakak saya tetap meneruskan perniagaan seperti biasa.

Selepas beberapa tahun, kini tidak jauh dari tempat tersebut telah didirikan sebuah warung lengkap dengan meja dan kerusi makan untuk pelanggan. Kakak saya pula telah pun memiliki sebuah syarikat pengangkutan bas sekolah yang telah beberapa tahun beroperasi dengan jayanya, alhamdulillah. Saya? InshaAllah bakal bergelar usahawan dari rumah yang berjaya juga suatu hari nanti, amin.

Pendapat saya, meniaga makanan ini adalah menguntungkan jika kita tahu di mana lokasi yang patut, apa yang pelanggan mahu, boleh mendapatkan bekalan bahan mentah pada harga yang baik, kerja berpasukan untuk menghasilkan volum yang tinggi. Dan yang paling penting, masakan kita haruslah enak! Itu yang akan membuatkan pelanggan kita sentiasa teringat-ingat.

Kepada yang ingin menceburi bidang perniagaan seperti ini, semoga berjaya!

GST

Teks: NOR AFZAN ABD KADIR


Topik hangat masa kini :)

Cuaca hari ini sangat bagus, walau panas menyengat pada paginya, setelah jemuran kering, hujan turun dengan lebatnya sekaligus menyejukkan bumi Tiram ini, alhamdulillah. Sudah lama tidak merasai nikmat cuaca sebegini.

Maka sedikit sebanyak, 'kepanasan' yang diakibatkan oleh GST ini agak surut suhunya, bagi sayalah, buat masa ini.

Kedatangan tanggal 1 April 2015 sebelum ini ditunggu oleh kebanyakan rakyat Malaysia dengan penuh debaran, seakan ingin menyambut hari kebesaran kita, hari raya. Segala persiapan dibuat sehabis baik, di mana-mana kelihatan iklan peniaga-peniaga mengadakan jualan murah, jualan pra-GST. Orang ramai terutama kalangan ibu bapa muda membelanjakan sejumlah wang yang bukan sedikit, ke atas barang-barang yang dijangka akan naik harganya pada 1 April 2015 ini. Antara barangan yang pasti cepat habis di mana-mana kedai dan pasaraya adalah lampin pakai buang bayi, susu tepung dan barangan penjagaan bayi yang lain. Oh, tuala wanita juga dikenakan GST!

Saya di antara golongan yang tidak turut serta dalam acara 'menyerbu' pasaraya seperti kebanyakan. Bukan kerana tidak kisah harga akan naik selepas itu, tetapi cuma berasakan yang kebanyakan dari barangan tersebut masih ada dalam stok saya dan ianya mencukupi untuk beberapa ketika. Selain saya bukanlah punyai dana yang cukup untuk memborong sebegitu rupa. Tapi saya cukup tabik pada mereka yang bersungguh-sungguh dan mampu untuk melakukannya. Ia secara tidak langsung menunjukkan komitmen yang diberikan oleh ibu bapa terhadap anak-anak mereka, alhamdulillah.

Saya tidak pasti bagaimana pelaksanaan, penguatkuasaan, keberkesanan serta keadilan GST ini akan berlaku. Apa yang pasti, semua rakyat akan membayarnya, tidak kira dalam kelas manakah mereka.

Baharu berlalu hari pertama, tercatat begitu banyak laporan yang diterima oleh pihak yang berkuasa dari rakyat merata negara. Kebanyakannya membuat laporan tentang kesahihan seseorang peniaga itu mengecaj GST ke atas barangan dan perkhidmatan mereka. Semoga semuanya dapat diselesaikan oleh pihak berwajib.

Kita tunggu dan lihat bagaimana ini semua memberi kesan kepada negara secara keseluruhannya. Saya sebagai rakyat marhein hanya mampu menurut perintah sahaja selain berdoa dan berharap agar akan ada kebaikannya buat kita semua.