Sunday, 12 April 2015

Merawat Anak Demam

Teks dan foto: NOR AFZAN ABD KADIR


Bangun pagi hari ini terasa kehangatan badan Hamza lain macam, tak seperti biasa, tapi tak pula macam demam. Bangun seperti biasa, menjerit dan bergaduh seperti biasa (dengan abang sepupunya berusia dua tahun lapan bulan), makan dan minum juga seperti biasa.

Selepas memandikan dia, dia duduk diam di ruang tamu sambil menghadap adik sepupu kesayangannya (berusia lapan bulan) bermain. Saya menikmati sarapan lontong kering yang dibeli oleh mak di pasar tani pagi tadi dengan aman tanpa gangguan.

Selesai makan, terdengar suara Hamza merengek mahu menangis, tanpa beralih kedudukan. Oh, terima kasih anak sebab bagi mama peluang makan dahulu sampai kenyang. Saya pun terus mendapatkannya. Sebaik mengangkatnya saya rasakan kepala dan badannya telah mula panas. Anak mama sudah mula demam.

Seingat saya yang terakhir dia demam pada bulan September tahun lepas. Saya boleh ingat kerana ada saya ambil gambarnya dan poskan di Facebook. Dia demam dan sembuh dalam masa 24 jam ketika itu. Kemudian jika tak silap saya, dia demam lagi dalam bulan Disember tahun yang sama. Ketika itu hanya seketika panas badannya (dedar) dan saya masih membawa dia keluar ke Giant membeli barang.

Sekarang bulan April dia demam lagi. Tak tahu apa puncanya. Mungkin cuaca panas, mungkin dia kurang meminum air putih dan lebih banyak minum susu segar yang saya belikan tempohari. Tapi lampinnya masih basah dengan banyak ketika mandi pagi tadi. Adakah demam kali ini demam untuk bercakap? :) Sepertimana demam pada September yang lepas saya andaikan demam untuk berjalan :).

Tak kiralah apa puncanya demam itu, yang pasti demam itu baik untuknya. Kebiasaan demam itu adalah apabila badan diserang virus dan sistem pertahanan badan akan bertindak dengan melawan virus itu. Kita tidak perlu untuk terlalu cepat memberikan anak ubat dari klinik atau farmasi apabila anak baru diserang demam. Biarkan sistem badannya menjalankan tugas mereka dahulu. Dengan cara itu, ia dapat melatih supaya badan anak kuat untuk melawan penyakit-penyakit yang berpotensi untuk menyerangnya disebabkan sistem imun yang telah kuat.

Membiarkan di sini bukanlah bermaksud hanya meninggalkan anak bersendirian dan biarkan dia tidur sahaja, membiarkan di sini bermaksud biarkan dia dari dirawat dengan ubat-ubatan kimia. Kita sebagai ibu tetap punya tugas untuk dilakukan bagi membantu anak melawan penyakitnya itu.

Tugas paling utama yang saya lakukan apabila anak demam adalah memandikannya dengan kerap. Jika tidak dapat memandikan, sekurang-kurangnya adalah mengelap atau menuam kepala dan seluruh badannya sehingga ke kaki menggunakan tuala dan air paip dengan kerap atau sehingga suhunya stabil, tidak terlalu panas.

Kawasan-kawasan pelipat (ketiak, leher, atas siku dan bawah lutut) adalah yang paling penting untuk dilap kerana kawasan tersembunyi itu merangkap haba dan haba panas perlu dikeluarkan dari badan. Demam kali ini Hamza tidak mahu bangun dan hanya mahu saya baring di sebelahnya sambil dia menyusu. Saya turutkan sahaja sambil tangan mengelap badannya dengan tuala basah.

Di dapur telah saya jerangkan sup tulang yang biasa saya buatkan untuknya terutama apabila anak tidak sihat. Sup tulang mengandungi khasiat yang diperlukan bagi menggantikan khasiat terutama protein yang hilang dari badan dimakan oleh virus yang menyerang.

Antara ramuan biasa yang digunakan untuk membuat sup ini adalah tulang ayam dari mana-mana bahagian, lobak merah, batang seleri yang direneh bersama-sama bawang besar, bawang putih dan sedikit halia, boleh juga ditumis dahulu dengan minyak zaitun atau minyak kelapa. Ketika memasak, tambahkan dalam sesudu makan cuka epal bagi membantu mengeluarkan khasiat dari dalam tulang dengan lebih baik.

Kebiasaan anak yang kurang sihat akan hilang selera makannya, maka memadailah jika dia dapat menghirup sedikit dari sup tersebut bagi membantu badannya mendapat nutrien yang diperlukan agar 'askar-askar'nya kuat untuk terus berlawan.

Antara remedi lain yang boleh diberi kepada anak yang demam adalah madu asli, minyak kelapa dara dan minyak zaitun yang memang saya beri kepada Hamza setiap hari. Jadi ketika dia tidak sihat, dos akan ditambah kepada dua atau tiga kali setiap hari. Bahagian kepalanya pula boleh dijerlum atau dibasahkan dengan air asam jawa, inshaAllah ia membantu menurunkan suhu dengan cepat.

Untuk waktu tidur malam pula (tidur siang pun boleh), boleh dipakaikan anak dengan stokin bawang putih (garlic socks) atau stokin lemon (lemon socks, boleh juga diganti dengan cuka epal). Untuk garlic socks; tumbuk kasar seulas bawang putih dan letakkan di dalam stokin lalu pakaikan ke anak. Untuk anak yang masih bayi, bolehlah dipakaikan stokin lain dahulu, kemudian pakaikan stokin bawang putih kerana mungkin kulitnya akan menjadi terlalu sensitif jika terus dipakaikan.

Untuk lemon socks, perahkan lemon di dalam semangkuk kecil air dan rendam stokin di dalamnya sebentar kemudian perahkan. Pakaikan ke kaki anak ketika dia hendak tidur. Jika terbangun di waktu malam dan stokin sudah kering, boleh diulangi semula langkah tadi.

Dengan izin Allah, bangun pagi keesokan harinya anak akan lebih bertenaga dan suhunya kembali stabil. Teruskan melakukan remedi di atas sehingga anak betul-betul sihat. Namun jika suhunya tetap naik sehingga 39°c, bolehlah diberikan ubat seperti arahan doktor. Dalam keadaan suhu tidak turun-turun, bawalah anak berjumpa doktor untuk diperoleh diagnosis yang lebih tepat.

Semoga Hamza dan anak-anak lain yang sedang kesakitan sekarang kembali sihat seperti sediakala secepatnya. Amin.


Friday, 10 April 2015

Gangguan Bekalan Air Pulih?

Teks dan foto: NOR AFZAN ABD KADIR


Ini cerita semalam.

Masuk hari kedua ketiadaan air di rumah, sudah semakin tidak senang duduk. Sehabis bersarapan seperti hari sebelumnya, saya bersiap bersama Hamza untuk keluar. Kali ini misi kami yang sama, mendapatkan bekalan air minuman yang agak runcing sekarang.

Seperti biasa, kami menuju ke Giant di Today's mall Tiram. Seakan hati ini dapat mengagak, seperti tiada stok botol air mineral sepertimana yang diiklankan di katalog promosi mereka yang terbaharu. Memerhatikan pelanggan-pelanggan yang keluar juga semua tanpa botol air di dalam troli mereka. Kami masuk juga untuk memuaskan hati dan keluar semula dengan sebungkus nasi dan buah potong.

Saya nekad meneruskan perjalanan ke Giant yang berikutnya - Giant Plentong - yang lebih besar. Dalam hati berdoa semoga adalah rezeki kami. Perjalanan pada jam 11pagi itu agak lancar dan dipermudahkan, alhamdulillah.

Setibanya di sana, saya sambil mengendong si anak berjalan perlahan sambil menolak troli. Kami melintasi bahagian demi bahagian sehinggalah nampak kelibat botol air yang dicari-cari. Dalam hati bersyukur sangat, masih penuh dan belum berusik. Saya membuat perbandingan kira-kira, mana satukah yang lebih menguntungkan, botol 5.5 liter atau 1.5 liter. Akhirnya saya mengambil sekotak, 12 botol 1.5 liter.

Setelah membeli beberapa lagi barangan makanan lain, saya terus ke kaunter pembayaran. Agak menggembirakan apabila kotak air itu diimbas menunjukkan harganya RM9.59, lebih murah dari membeli sebotol-sebotol.

Saya mencari bangku tempat duduk yang selesa untuk berehat bersama Hamza. Hampir sejam berjalan mengendongnya memang saya perlukan rehat. Hamza seronok dan menikmati roti yang saya belikan untuknya, mujur pilihan yang tepat, rotinya tidak terlalu manis seperti bun yang biasa. Sambil-sambil itu dia meneguk air mineral.

Agak lama kami duduk di situ sambil melihat orang ramai. Dapat juga kami nikmati udara sejuk dan nyaman berbanding cuaca yang sangat panas di luar.

Jam 2.15 petang, kami keluar dari Giant untuk pulang. Hajat di hati hendak singgah di rumah kakak, sudah sampai di depan rumahnya namun entah kenapa saya batalkan niat dan terus memandu pulang.

Sampai sahaja di kawasan rumah, terlihat jiran yang sedang membasuh kereta di hadapan rumah. Saya tertanya-tanya. Masuk ke rumah pula, kakak ipar sedang memasak seperti biasa. Tahulah saya bahawa bekalan air telah kembali. Emak mengatakan sudah ada sejak pukul satu tadi. Alhamdulillah.

Dapatlah kami membasuh apa yang patut, mandi seperti biasa. Tidak pasti apakah ini sementara atau pulih sediakala, kami masih lagi menyimpan air untuk kemungkinan gangguan bekalan air yang seterusnya.

Terima kasih Tuhan atas nikmat air ini!

Resepi Ringkas: Roti Gàndum Penuh Tanpa Uli

Teks dan foto: NOR AFZAN ABD KADIR


Disebabkan saya teringin sangat nak buat roti sendiri dan mahukan yang paling senang sebab tiada mesin pengadun atau bread maker, maka saya mencari-cari resepi roti gandum penuh yang paling senang di internet.

Saya bertemu dengan blog ini. Setelah berpuas hati dengan bahan-bahan dan cara-caranya yang ringkas, saya pun memulakan langkahnya. Disebabkan resepi ini tidak memerlukan kita untuk menguli, maka ia perlu dilakukan dalam dua peringkat dan sebaiknya dimulakan pada waktu malam kerana langkah pertama perlu dibiarkan semalaman atau selama 12 jam. Saya tuliskan resepinya semula supaya lebih teratur.

Nota: Maaf untuk penggunaan bahasa Inggeris untuk resepi ini.

Ingredients needed:

4 cups of flour - anything you like! I went for 2 wholemeal + 2 whites
1 tsp yeast
1 tsp honey (more is fine)
1 tsp salt
1 cup of sunflower, pumpkin and flaxseeds
1.5 cups of water

Part 1: Overnite fermentation
1/4 tsp active dry yeastn
1/4 tsp honey
1/4 cup lukewarm water
1 cup wholemeal bread flour
1/2 cup water

Dissolve honey in water. Add in yeast, stir. Within 5-10minutes you can see bubbles coming up showing that the yeast is active.
Combine this mixture with the flour plus 1/2cup water in a bowl, mix well. Cover bowl with towel, leave for 12 hours.

Part 2: After 12 hours
3/4 tsp active dry yeast*
1 tsp honey*
1/4 cup lukewarm water*
1 cup wholemeal bread flour
2 cups white flour
1/2 cup seeds/raisins
1/2 tsp salt
1/2 cup water

* repeat yeast activation steps.
Dissolve salt in water.
Mix these ingredients (Part 2) with Part 1 until well combined.

Note the dough will be a bit wet and sticky. Leave for 1-2 hours.

Place the dough in a greased loaf pan. Bake at 180°c for about 40 minutes.



Tanpa pelembut, pembaik sebagaimana roti di pasaran kebiasaannya, tekstur roti ini adalah agak berat tapi tidak terlalu keras. Ia enak dimakan sementara panas bersama minuman kegemaran atau disapu dengan sapuan kegemaran. Semestinya pilihan yang lebih sihat.

Selamat mencuba!

Wednesday, 8 April 2015

Gangguan Bekalan Air

Teks: NOR AFZAN ABD KADIR
Foto: Google


Bangun-bangun untuk Subuh pagi tadi, ke bilik air menggosok gigi. Terasa air paipnya kecil betul. Biasanya kalau kecil maknanya adalatangan-tangan kecil yang bermain dengan pili air utama di luar rumah. Tidak mungkin seawal ini mereka sudah bermain, bangun tidur pun belum lagi.

Selesai mengambil wuduk, kelihatan seperti tiada air yang menitik lagi walau sudah dipusing habis. Oh, agaknya air sudah tiada kesan daripada kes tumpahan minyak diesel di Sungai Johor minggu lepas. Hati sudah mula risau, berapa lama agaknya?

Air yang ditadah sejak kes tersebut dilaporkan belum disentuh lagi. Hendak ditambah tadahan pun sudah tak sempat. Mujur juga rumah ini masih ada tangki air, tidak seperti sebahagian rumah yang lain yang sudah membuang tangki mereka. Tidaklah tahu berapa lama bekalan yang ada dapat bertahan untuk menampung keperluan isirumah tiga dewasa dan empat kanak-kanak ini. 

Datang pula khabar yang dihantar oleh kakak bahawa gangguan bekalan air ini mungkin akan berlanjutan sehingga lima hari! Itu adalah jawapan dari pihak Syarikat Air Johor (SAJ) apabila pertanyaan dibuat olehnya melalui telefon. Semua kawasan perumahan yang berdekatan termasuklah juga di Kota Tinggi dan Taman Pelangi di bandaraya sana mengalami nasib yang sama, jadi ke mana lagi dapat kami pergi? 

Setelah bersarapan seringkasnya, saya memandikan Hamza dengan kurang dari dua gayung air, sesuatu yang tidak pernah berlaku sebelum ini. Tidak merancang untuk memasak hari ini, saya membawa Hamza ke Giant untuk membeli air minuman dan nasi bungkus, semata-mata ingin mengurangkan penggunaan air. Dengan cuaca yang sangat panas, kami redah sahaja menuju ke Giant selepas Zuhur.

Di Giant, botol air mineral yang bersaiz besar telah habis stok. Rak-rak yang menempatkan botol air minuman dan mineral juga telah banyak yang kosong, tahulah yang kami sudah terlambat. Saya hanya mengambil tiga botol air 1.5liter dan berhajat untuk kembali esok hari kerana promosi baru air mineral botol besar akan bermula esok. Semoga harapan kami diperkenankan.

Selain air minuman, saya memilih buah dan sayur yang mudah untuk dimakan dan tak perlu dimasak, iaitu pisang dan timun Jepun, antara yang digemari Hamza. Hampir buntu memilih apa lagi pilihan yang kami ada untuk dijadikan makanan pada waktu-waktu begini? Kebiasaan gangguan air hanya mengambil masa sehari, jika lima hari?

Sampai di rumah, jam sudahpun menunjukkan pukul 4.15petang dan saya baru ingin mengambil makan siang. Hanya nasi ayam yang ada di Giant tadi. Hamza pula telah memakan pisangnya di sana. Saya cuma hidangkan susu segar yang dibeli tadi kepadanya. 

Jam 6.30petang, mandikan Hamza seperti pagi tadi, saya juga dapat mandi seadanya. Usai Maghrib kami makan malam dan dia sambung bermain. Sekarang, jam 11malam, dia sudahpun lena di pembaringannya.

Alhamdulillah, sudah selesai urusan hari ini. Dapat juga kami lalui seharian dengan bekalan air yang sedikit. Tak pastilah bagaimana keadaannya pada hari esok, lusa dan seterusnya. Bila berlaku seperti ini, barulah kami lebih faham akan kepentingan berjimat-cermat dalam penggunaan air. Memang sangat terasa kesusahannya namun kita usahakanlah semampu kita, bersabar dengan kekurangan yang ada.

InshaAllah, apabila keadaan pulih nanti, dapatlah kami membersihkan diri dan rumah dengan sebaiknya. Semoga Allah meringankan ujian ini buat semua kami yang terlibat dan semoga proses pemulihan dapat berjalan dengan lancar dan cepat. Amin.



Cerita Semalam: Ke UTC

Teks dan foto: NOR AFZAN ABD KADIR


Sekian lama sudah tertangguh pekerjaan yang satu ini, hanya kerana saya tidak dapat untuk memandu sendiri ke sana. Sabtu lepas, secara bersahaja saya bertanya kepada abang saya, "Kau boleh tak bawa aku ke UTC bila-bila masa kau free?" Maka dipilihnya hari ini (semalam). Sekali lagi, serombongan tujuh orang termasuk tiga kanak-kanak dan seorang bayi keluar bersama menuju ke kota raya.

Inilah pertama kali saya menjejakkan kaki semula di Plaza Kotaraya, Johor Bahru setelah lebih sepuluh tahun yang lalu. Dengan jalan raya banyak yang baharu, ditambah dengan highwaynya lagi, saya pun tidak tahu laluan apa yang diguna tadi. Tahu-tahu sudah sampai di sana. Plaza Kotaraya yang biasa saya lawati dahulu sangat berbeza. Ketika itu ia sudah seperti tidak 'hidup' lagi disebabkan sudah ada kompleks membeli-belah lain yang tumbuh di sekitarnya. Kini ia berwajah baharu (bagi saya), mungkin setelah UTC menyewa di sana, tempat ini kembali hidup dan menjadi tumpuan.

Jadi apa tujuannya saya ke UTC? Sebenarnya adalah untuk tujuan rayuan BR1M 2015 saya yang telah ditolak permohonannya (saya terima pada 2014). Alasan penolakan yamg diberi adalah kerana maklumat pengenalan tanggungan yang tidak wujud. Ketika saya mengemaskini maklumat sebelum itu memanglah saya cuma masukkan angka-angka sebagai mewakili nombor sijil lahir anak saya. Ini kerana ketika itu saya masih belum menerima sijil lahirnya dari Jabatan Pendaftaran Negara, apa yang boleh saya lakukan?

Maka saya ke UTC tadi dengan membawa salinan sijil lahir anak yang baharu diterima beberapa minggu lepas berserta salinan sijil mati suami, tidak diminta namun saya siapkan sahaja. Untuk urusan BR1M, pihak LHDN yang akan uruskan. Kaunter LHDN terletak di tingkat dua Plaza Kotaraya, saya menaiki lif bersama Hamza menuju ke situ. Sejurus masuk, saya agak terkejut kerana kebiasaanya apabila memasuki mana-mana pejabat kerajaan, pasti penuh dengan manusia. Maka dapatlah saya rakamkan gambar di atas. Apabila nombor giliran dipanggil dan saya serahkan dokumen-dokumen yang berkaitan, selesailah urusan saya di sana.

Keluar sahaja dari UTC saya menuju ke tandas. Tandasnya agak bersih dan baharu. Saya terus mengambil wuduk di situ kerana jam pun sudah menunjukkan pukul 4.45petang. Suraunya sangat mudah dilihat, bahagian dalamnya sangat luas dan selesa. Ini pertama kali saya bersolat di tempat awam yang jauh dari rumah setelah mendapat anak. Saya memilih tempat yang agak tersembunyi di salah satu sudut surau tersebut. Alhamdulillah, Hamza duduk diam di tepi sambil tangannya memain pintu yang ada di situ.

Teringat pada hari raya yang lepas, saya membawa Hamza ke surau yang dekat dengan rumah tetapi tidak dapat bersolat kerana dia merengek-rengek tidak mahu diletak. Mungkin kerana ketika itu sangat ramai orang dan di surau semalam keadaannya agak lengang.

Usai solat, kami menuju ke medan selera di mana abang sekeluarga menunggu. Saya memesan jus mangga tanpa gula dan roti bakar untuk Hamza, sementara saya memilih nasi lemak. Selera dia meminum jus itu tetapi tidak mahu makan, hanya meminta kurma dan kismis yang saya bekalkan untuknya. Dalam hati agak bimbang kerana sebelum itu di rumah pun dia tidak mahu makan. Dengan perut kosong itu, kebiasaanya dia akan muntah setelah berjalan jauh.

Kami kemudian keluar dari Kotaraya untuk ke destinasi seterusnya; mereka ingin ke Tesco dan saya mahu ke Jusco Aeon yang bersebelahan. Kerana jam sudah pukul 6.30 ketika itu, keadaan trafik sangat sibuk dengan kenderaan. Setelah separuh perjalanan, Hamza memalingkan diri menghadap saya dan meminta susu. Lama dia duduk diam seperti itu dan saya seakan dapat mengagak apa yang akan berlaku. Tiba-tiba, habis basah pakaian saya dengan muntahnya. Oh, inilah saatnya. Mujur tak kena pada tempat dan orang lain.

Maka terdiamlah saya sambil memeluk Hamza sepanjang perjalanan. Abang bertukar fikiran untuk menghantar kami pulang dahulu. Sampai di rumah tepat waktu Maghrib, saya terus membawa Hamza untuk mandi. Setelah berehat sekejap, saya menyuapkan Hamza makanannya. Sungguh berselera dan banyak dia makan. Sesekali terdengar dia sendawa. Alhamdulillah.

Saya juga sebenarnya kemabukan kerana tak biasa menghidu pewangi kereta abang itu. Sejak awal perjalanan setelah keluar rumah, saya sudah dapat mengagak benda-benda ini akan berlaku tapi terpaksalah bertahan sahaja. Mungkin selepas ini saya perlu membawa minyak angin untuk menghilangkan kemabukan seperti itu.

Tuesday, 7 April 2015

Perjalanan Penyusuan Hamza (Bahagian 1)

Teks: NOR AFZAN ABD KADIR
Foto: Google


Pertama kali saya didedahkan dengan dunia penyusuan susu ibu ini adalah ketika masih bekerja dan menetap di Kuala Lumpur, tahun 2008. Seorang sahabat yang saya kenali melalui forum agama di alam maya yang mula membuka mata saya mengenai topik ini. Beliau seorang doktor, pensyarah dan ketika itu sedang melanjutkan pengajiannya dalam bidang penyusuan yang akan menggelarkannya seorang konsultan penyusuan susu ibu yang bertauliah.

Pada setiap kelapangan, pasti beliau akan membawa saya pergi ke program-program yang berkaitan dengan susu ibu. Walaupun pergi dengan tidak sepenuh hati kerana berasakan yang saya belum lagi berada di dalam kelompok itu, namun saya amat bersyukur kerana sekurang-kurangnya, kesan dari menyertai program-program tersebut telah menguatkan niat dan azam saya untuk menyusukan anak ketika saya mula mengandung beberapa tahun selepas itu.

Sejak awal kandungan lagi, saya berdoa memohon agar Allah Subhanahu wata'ala izinkan saya untuk melahirkan anak dengan selamat di rumah dan menyusukan anak saya sehingga dua tahun. Tanpa gagal, itulah doa saya pada sujud terakhir setiap kali solat. Dan alhamdulillah, Allah telah pun memberikan saya kemampuan untuk melakukannya, bukan melalui jalan yang mudah, tetapi sehingga kini saya masih melakukannya. Alhamdulillah.

Susu ibu, tidak kiralah daripada ibu sendiri atau ibu susuan, tidak akan ada yang dapat menyangkal akan kebaikannya melebihi susu-susu yang lain. Walaupun ketika si ibu sedang sakit, susunya masih yang terbaik dan bermanfaat buat anaknya. Tidak ada juga istilah bahawa kebolehan menyusukan anak ini bergantung kepada faktor keturunan dan juga bentuk badan. Dalam kalangan ahli keluarga saya sendiri mempunyai kepercayaan bahawa kami yang perempuan adalah keturunan tidak banyak susu. Namun itu tidak sedikitpun saya percaya. Satu-satunya yang penting bagi memastikan kejayaan penyusuan adalah dengan ilmu.

Penyusuan anak adalah perkara kedua terpenting yang saya titik-beratkan sepanjang kehamilan selepas menggali ilmu untuk mendapatkan proses kelahiran yang alami. Malah persiapan untuk si kecil seperti pakaian dan alatan-alatan lainnya, saya sediakan secara ala kadar sahaja. Kebanyakan masa saya habis digunakan untuk membaca dan belajar dari ibu-ibu yang berpengalaman. Jangan anggap bahawa setiap ibu akan mampu menyusukan dengan baik sejurus selepas bersalin.

Jika dirasakan telah banyak membaca pun, tidak semua ibu mampu memberikan susu kepada anak sebaik dia lahir. Selain diri sendiri yang perlu ada keyakinan yang tinggi, peranan dan sokongan orang-orang terdekat juga turut merupakan faktor yang penting bagi memastikan kejayaan misi ini. Banyak cerita yang kita dengar mengatakan susu tidak keluar selepas melahirkan kerana mereka menjangkakan susu akan keluar mencurah-curah pada hari-hari pertama selepas melahirkan. Ini sangat tidak masuk akal jika kita mengetahui sebesar apakah saiz perut bayi ketika itu. Bayi hanya memerlukan beberapa titis susu ibu selepas dilahirkan. Dan susu yang berwarna kekuningan yang dipanggil kolustrum ketika awal kelahiran yang dianggap susu basi oleh sesetengah orang itulah yang paling penting untuk diberikan kepada bayi.

Sejurus Hamza dilahirkan, ketika dia dilihat seperti mencari-cari sesuatu, saya terus memberikannya susu. Cara lekapan yang betul diajarkan oleh sahabat saya ketika itu. Stimulasi seperti itu sangat penting. Hisapan itulah yang menghantar isyarat kepada otak bahawa susu diperlukan untuk dihasilkan kerana adanya permintaan. Ditambah pula susu ibu sangat mudah untuk dihadam dan dengan perut yang sekecil itu, maka sangat patutlah bayi ingin menyusu dengan sangat kerap pada hari-hari awal kelahirannya.

(Bersambung...)

Sunday, 5 April 2015

Resepi Ringkas: Kuih Dangai

Teks dan foto: NOR AFZAN ABD KADIR


Pernah dengar dan makan kuih ini? Saya sudah lama tidak membelinya. Kuih ini selalunya mudah didapati di pasar malam namun rupanya berbeza kerana mereka menggunakan acuan dan gula pasir putih.

Ketika terlihat perkongsian seorang sahabat di dalam grup whatsapp Masakan Alami/Organik kami, saya terus rasa teringin untuk mencubanya. Selain enak, ia juga amat ringkas dan mudah untuk dibuat, sesuai untuk minum petang bersama keluarga.

Bahan-bahan yang diperlukan adalah:
Bahan A:
150gram kelapa parut putih
150gram tepung pulut
30gram air
1/2sudu teh garam

Bahan B:
30gram kelapa parut putih
100gram gula melaka asli yang dihancurkan/gula merah

Cara-caranya:
Sediakan loyang berukuran 7x7 inci dan sapukan minyak masak pada permukaannya.
Satukan bahan A dan pastikan tidak berketul-ketul (leraikan). Bahagikan kepada dua bahagian.
Gaulkan bahan B dan ketepikan sebentar.
Ambil 1/2 bahagian A tadi dan ratakan ke dalam loyang.
Bakar sebentar di dalam oven yang bersuhu 150°c selama lebih kurang 10minit.
Keluarkan dan sapukan bahan B (gula) di atasnya dengan rata.
Taburkan baki bahan B tadi di atas lapisan gula tersebut.
Masukka  ke dalam oven semula dan bakar lagi selama 20 minit atau sehingga permukaan atas kekuningan.
Boleh diangkat dan sejukkan. Sebaiknya dipotong ketika masih panas kerana ia lebih mudah.

Ketika menikmati hasil cubaan saya ini, saya mendapati beberapa perkara yang boleh diberi perhatian:

1) Ada pelbagai versi yang kita boleh jumpa untuk membuat kuih Dangai ini. Ini adalah yang baharu saya cuba buat pertama kali. Ada resepi yang tidak mencampurkan air supaya adunan tepung dan kelapanya tidak berketul-ketul. Saya akan mencuba cara ini di lain masa.

2) Ketika meletakkan adunan tepung dan kelapa ke dalam loyang tidak perlu ditekan-tekan atau dimampatkan secara kuat kerana ini akan mengakibatkan hasil kuih yang agak keras.

3) Kelapa parut yang digunakan sebaiknya dari jenis kelapa muda parut untuk mendapatkan hasil yang agak lembut walaupun garing ketika dimakan.

Secara kesimpulannya, kuih ini memang sangat enak! Terutama apabila gula putih biasa ditukarkan dengan gula merah; selain lebih sihat, ianya juga lebih sedap!

Selamat mencuba!