Showing posts with label Panduan Mengedit Bahan Penulisan. Show all posts
Showing posts with label Panduan Mengedit Bahan Penulisan. Show all posts

Monday, 13 April 2015

Dunia Editor Buku

Teks: NOR AFZAN ABD KADIR
Foto: Maktabah Hamizan



Bersuamikan seorang penulis dan editor yang berpengalaman lebih 20 tahun dalam bidangnya memberikan satu perasaan bangga dan teruja pada saya kerana saya dapat belajar dan mahu melakukan yang serupa. Lebih-lebih lagi ianya sangat dekat dengan hati saya dalam dua perkara; buku dan kebebasan bekerja dari rumah.

Pada awal-awal perkahwinan, saya hanya memerhatikan bagaimana suami bekerja. Menjadi penulis dan editor sekian lama dengan sebuah syarikat penerbitan membuatkan hubungan mereka sangat rapat, namun atas dasar tugas rasmi sahaja.

Arwah suami bermula sebagai penulis buku-buku agama pada tahun 80-an. Beliau menghantar karya-karya tulisan beliau kepada ramai penerbit. Artikel-artikel beliau juga banyak yang telah disiarkan dalam akhbar-akhbar tempatan pada waktu itu.

Sehinggalah pada suatu hari sahabat beliau memperkenalkan beliau kepada seorang pemilik syarikat penerbitan yang sedang mencari seorang penulis ketika itu. Dari situlah kerjasama antara mereka bermula.

Setelah menulis berpuluh buah buku, beliau ditawarkan tugasan baharu iaitu untuk mengedit kitab-kitab terjemahan yang diterjemahkan dari bahasa Arab ke bahasa Melayu oleh penterjemah di Indonesia. Hasil terjemahan dalam bahasa Indonesia itu perlu dibahasa Melayukan untuk pasaran di Malaysia, Singapura dan Brunei.

Oleh kerana tugasan baharu itu semakin banyak dan bertambah dari hari ke hari, maka beliau terpaksa melupakan dunia penulisannya untuk memberi tumpuan penuh kepada kerja-kerja mengedit kitab. Perniagaan syarikat penerbitan tersebut juga semakin berkembang dengan pesatnya.

Setiap kali adanya skrip terjemahan yang baharu, pasti pihak syarikat akan menghubungi beliau bagi mendapatkan pandangan sama ada ianya sesuai dan bagus untuk diterbitkan. Jika ada yang beliau rasakan tidak sesuai, skrip itu akan dipulangkan semula kepada penulisnya. Namun situasi ini jarang berlaku.

Untuk skrip-skrip yang dipersetujui untuk diterbitkan, ia akan mula disunting sama ada oleh beliau atau editor yang lain.

Tugas mengedit akan mengambil masa yang lama jika skrip itu adalah untuk kitab yang sangat tebal atau bahasa terjemahan Indonesianya sangat pekat dan sukar difahami malah tidak juga terdapat dalam kamus bahasa Indonesia. Untuk situasi seperti ini, kitab induk dalam bahasa Arab perlu dirujuk untuk pemahaman yang lebih tepat.

Sesuatu yang beliau selalu sebut, kebanyakan yang menterjemah kitab-kitab bahasa Arab ini adalah pensyarah-pensyarah di Indonesia. Mereka sangat rajin dan bersemangat menterjemah. Buktinya, dalam sebulan orang-orang yang sama akan menghantar skrip terjemahan kitab-kitab Arab sekurang-kurangnya sekali.

Ini menunjukkan orang sana sangat mencintai ilmu dan tidak jemu-jemu menjalankan tugas fardhu kifayah ini. Berbeza dengan masyarakat kita, tidak beliau nampak seorang pun di kalangan pensyarah tempatan yang mahu berlumba-lumba melakukan penterjemahan seperti itu. Tetapi jika terjumpa satu-satu terjemahan yang salah, keras sekali bunyi tegurannya sehingga keseluruhan kitab diragui kredibilitinya. Ini sangat mendukacitakan.

Untuk rekod, pada awal perkahwinan beliau telah menunjukkan senarai skrip yang belum mampu untuk beliau kerjakan. Terlalu banyak, ya, memang banyak dan dalam masa yang sama, skrip baru masih datang lagi setiap hari. Manakan mungkin ia semua dapat diselesaikan? Maka itulah kedatangan saya selain anak-anak sedikit sebanyak dapat membantu beliau untuk menyiapkan tugasan-tugasan yang kecil.

Sehingga ke akhir hayat beliau, telah beratus malah mungkin beribu kitab yang telah beliau sunting. Beliau tidak pernah menyimpan rekodnya, malah untuk buku-buku tulisan beliau sendiri, tiada siapa yang tahu berapakah jumlah yang sebenar. Satu tentang diri beliau, hanya dua atau tiga buku yang tertulis nama beliau sendiri (buku-buku awal penulisannya) sebagai penulis atau pengedit, kerana beliau tidak mahu untuk dikenali.

Itulah al-marhum suamiku, guruku dalam bidang pengeditan ini, Hamizan bin Hussin. Semoga coretan ini dapat ditatap sebagai kenangan buat anaknya.


Tuesday, 10 March 2015

Pembuka Bicara: Salam Ukhuwah

Entri 1

Teks: NOR AFZAN ABD KADIR


Bismillah
Assalamu'alaikum warahmatullahi wabarakatuh

Setelah 34 tahun lamanya diizin Allah hidup di atas muka bumi ini, inilah kali pertama saya mempunyai 'diari' online sendiri, sesuatu yang sangat saya cuba elakkan sejak saya mengenali dunia internet ini :).

Selamat datang dan salam perkenalan buat pembaca-pembaca blog saya. Nor Afzan binti Abd Kadir nama diberi oleh ibu yang melahirkan saya di sebuah rumah di Kampung Raja, Muar, Johor. Kononnya sempena mengambil nama Tuanku Ampuan Pahang :). Nama yang sebenarnya agak malu untuk saya sebut ketika bersekolah dahulu kerana ramai yang menyangkakan lelaki :).

Pendidikan awal saya, bersekolah rendah dan menengah di Ulu Tiram, Johor sehingga Tingkatan 3. Kemudian diterima masuk ke sekolah berasrama di Sekolah Menengah (Vokasional) Perdagangan, Johor Bahru (1996-1997). Selepas keputusan SPM diumumkan pula, saya melanjutkan pelajaran di Kolej Mara Banting, Selangor selama setahun setengah bagi mengikuti Program Matrikulasi Universiti Malaya dalam bidang Perakaunan, suatu bidang yang sangat saya minati zaman persekolahan dahulu. Kemudian ke kampus induklah pula menghabiskan pengajian selama tiga tahun setengah lagi.

Belum pun keluar salinan keputusan peperiksaan akhir, saya sudah memulakan tugas sebagai pembantu juruaudit di salah sebuah firma perakaunan antarabangsa di Johor Bahru (Disember 2002). Setahun kemudian saya bertukar angin ke firma perakaunan yang lain di Kuala Lumpur. Pada hujung 2005 hingga 2006, saya bergelar penganggur kehormat atas sebab yang tidak dapat dielakkan. Kemudian pada bulan Mei 2007, saya memulakan pekerjaan baharu di UEM Berhad sebagai Eksekutif Akaun dan genap tiga tahun di situ, saya meletakkan jawatan dengan tugasan-tugasan seorang Akauntan Pengurusan setelah bersedia menjadi suri kepada seorang suami. Saya berkahwin pada 13 Jun 2010 dan sejak itulah bermula episod kehidupan baharu yang sangat saya nanti-nantikan setelah sekian lama; menjadi surirumah sepenuh masa!

Bukan terlalu mudah jalan cerita untuk saya bergelar isteri dan duduk di rumah, namun itulah takdir Allah buat saya. Selang masa yang agak lama selama lebih dua tahun kami hidup berdua, kebanyakan masanya saya membantu suami menjalankan tugasan beliau sebagai seorang juruedit senior dengan salah sebuah syarikat penerbitan buku-buku agama yang terkenal di Malaysia. Dari situlah minat saya terhadap dunia pengeditan bermula. Selain tugasan yang agak mudah yang diberikan oleh suami, kerja itu juga boleh saya lakukan di mana-mana sahaja pada bila-bila masa, tanpa perlu keluar dari rumah! Semestinya upah yang diberi juga setimpal dengan usaha yang dicurahkan.

Bak kata pepatah, langit tidak selalu cerah. Dalam kegembiraan kami menyambut kehadiran orang baharu pada tahun ketiga perkahwinan, ujian yang amat hebat dari Allah datang. Si kecil Hamza sudah bergelar anak yatim ketika usianya baharu menjejak empat bulan. Innalillahi wainna ilaihi roji'un. Semoga Allah mengampuni dan menempatkan arwah dalam golongan orang-orang yang beriman.

Keinginan kuat saya untuk menyusukan anak secara langsung selama dua tahun, menyaksikan tumbesaran anak di depan mata, di samping bimbang meninggalkan anak bersama orang lain menyebabkan saya tidak mampu untuk menerima tawaran kerja yang sekali dua datang menyinggah. Walau keadaan adalah agak mendesak, saya tetap gembira dapat menyediakan makanan dan minuman sendiri buat anak saya, menjaga tahap kesihatannya dan dia tahu dia sentiasa ada saya bersama sebagai ibunya. Untuk memenuhi waktu-waktu itu, saya mencari sebanyak mungkin maklumat tentang minat baharu saya setelah mendapat cahayamata, iaitu tentang proses kelahiran alami, pemakanan sebenar dan sihat secara alami, di samping topik keibubapaan.

Kini, setelah hampir setahun setengah berlalu peristiwa sedih itu, saya mendapat kekuatan untuk memulakan langkah pertama untuk menjinakkan diri dalam dunia perniagaan. Tidak boleh tidak, saya harus mulakan. Umm Hamza Store telah didaftarkan, page bisnes Hamza Store telah dilancarkan. Buat permulaan, saya bermula dengan produk dropship dahulu disebabkan kekangan-kekangan yang ada. InshaAllah, saya ada perancangan memasarkan produk sendiri apabila sampai masanya.

Seperti ada yang tidak lengkap, saya tahu yang saya perlukan seorang pembimbing yang dapat menunjuk ajar saya. Alhamdulillah, pencarian maklumat di Google menemukan saya dengan Puan Anys Idayu Zakaria dan Puan Masayu Ahmad - antara penggerak utama Akademi Bekerja Dari Rumah (ABDR) - seterusnya lahirlah blog ini. Banyak maklumat dan ilmu bermanfaat yang dikongsikan mereka. Terima kasih cikgu.

Semoga Allah memberi keizinan dan keredhaan-Nya, seterusnya memudahkan perjalanan kami ibu-ibu yang ingin mencari rezeki halal lagi baik buat ahli keluarga kami secara khususnya dan ummah secara amnya. Amin.

Teruskan memberi sokongan dan doa kepada kami! :)