Sunday 10 May 2015

Hari-hari Hari Ibu

Teks: NOR AFZAN ABD KADIR
Foto: Google


Bismillah
Assalaamu'alaikum

Ada kelainan tak entri setelah tamat tempoh berpantang 44 entri saya? Hehe.

Hari Ahad minggu kedua bulan Mei setiap tahun dikatakan sebagai hari sambutan Hari Ibu sedunia. Ketika inilah kelihatan di mana-mana sahaja perkongsian dari ibu-ibu tentang hadiah-hadiah, ucapan-ucapan yang diterima dari anak-anak mereka. Pastinya rasa hati berbunga-bunga dan bangga bukan?

Dari manakah sebenarnya asal-usulnya sambutan Hari Ibu ini? Apakah pula hukum menyambutnya? Saya bukanlah seorang alim ulama yang layak untuk menentukan hukumnya. Namun mahu saya kongsikan di sini setakat kemampuan memori dan pencarian saya.

Secara peribadi saya tidak pernah menyambutnya, tetapi pagi tadi saya telahpun mengucapkannya kepada mak saya. Hanya saja-saja, kerana tidak mahu beliau rasa tidak diingati (walaupun tinggal bersama). Validkah alasan itu? Saya tahu tidak..

Kerana apa? Kerana saya tidak pernah tahu asal-usulnya hari ibu ini. Saya cuma pernah membaca tentang perbincangan dan hukum-hakam mengenainya lantas tidak mengambil tahu tentangnya lagi.

Hari ini, barulah saya tergerak hati mencari maklumat mengenai sejarahnya. Pembaca boleh mencari atau baca di sini. Rupa-rupanya hari itu adalah hari yang dipilih seseorang sempena mengingati ibunya yang telah tiada. Ia kemudiannya mendapat sambutan lalu semua orang sekeliling pun turut menyambut pada hari yang sama.

Sebenarnya, tanpa mencari-cari sejarahnya pun, dengan yakin kita boleh katakan yang ianya bukan berasal dari Islam. Manakala menurut nabi Sallallahu alaihi wasallam pula, hari perayaan bagi kita umat Islam hanyalah dua; iaitu Eid al-Fitri dan Eid al-Adha. Jadi dengan dua fakta ini sahaja, kita dengan mudah boleh menolak perayaan atau sambutan apa pun yang selainnya. Katanya kita sayang nabi?

Jadi apa-apa sambutan yang nabi tidak pernah sambut jatuh haram? Bagaimana dengan hari lahir, hari bapa, hari kanak-kanak sedunia? Sebenarnya setiap dari kita ini bertanggungjawab mencari ilmu, bacalah, kajilah, lalu ambillah pendapat yang paling baik, yang paling diyakini. Jika kita meyakini ianya harus dan tidak haram, maka kitalah yang bertanggungjawab ke atasnya. Memang ada yang mengharuskan, atas dasar mengeratkan hubungan baik dan ia bukan perkara berkaitan ibadah (walaupun berbuat baik dengan ibu itu ibadah).

Setelah saya mengetahui sejarah ini, tertanya-tanya pula, kenapa saya mahu menyambut dan mengenang ibu orang lain yang tidak saya kenal pun siapa?

Bagi sesiapa yang melihat saya ada mengucapkannya di mana-mana, anggaplah ia sekadar meraikan rakan-rakan yang memilih untuk menyambutnya. Jika itu khilaf saya, maka keampunan saya panjatkan pada yang Maha Esa.




Saturday 9 May 2015

Tempat Duduk Bayi Dalam Kereta Diwajibkan?

Teks: NOR AFZAN ABD KADIR


Sejak akhir-akhir ini terdengar ura-ura bahawa pemakaian tempat duduk khas bagi bayi di dalam kereta mahu diwajibkan. Bagaimanakah kita menanggapi isu ini?

Sudah tentunya saranan ini adalah bersebab. Dan sebab yang jelas dapat kita lihat adalah meningkatnya kes-kes kemalangan maut yang melibatkan bayi. Siapa yang tidak ngeri melihat anak kecil yang tercampak keluar dari kereta ketika kemalangan berlaku?


Jika dilihat pada negara-negara maju, pemasangan tempat duduk khas ini sudah lama diwajibkan. Kebanyakan tempat duduk khas yang pelbagai jenis dan kualiti ini juga dikeluarkan oleh negara mereka.

Antara alasan golongan yang tidak memasang tempat duduk bayi ini di dalam kereta adalah harganya yang mahal. Ia mungkin dianggap sebagai barangan mewah oleh sesetengah orang. Jika yang dilihat itu adalah barangan yang diimport dari luar negara, pastilah harganya telah berganda apabila sampai ke sini.

Kita di Malaysia juga punya pengeluar yang mengeluarkan produk yang tidak kurang hebatnya seperti ini. Contoh jenama yang lebih mampu milik adalah Sweet Cherry. Terdapat pelbagai jenis tempat duduk yang dikeluarkan mereka yang boleh memenuhi keperluan perjalanan bersama anak kecil kita.

Jika kita mahu lebih berjimat, kita boleh sahaja membelinya daripada orang lain. Ramai ibu bapa yang menjual semula barangan mereka apabila anak sudah besar dan ia tidak diperlukan lagi. Jika rajin mencari, pasti akan bertemu dengan barang yang masih baik kondisinya, pada harga yang sangat baik.

Seperti tempat duduk yang digunakan oleh Hamza sejak dia berusia dua bulan ini, ia adalah turun-temurun kepunyaan kakak yang diberi kepada kami. Walaupun sudah berusia, inshaAllah ianya masih kukuh dan selamat untuk digunakan.

Tempat duduk ini sangat membantu bagi saya yang selalu sahaja keluar berdua bersama anak. Dan disebabkan Hamza telah dibiasakan duduk di dalamnya sejak dia masih bayi, dia tidak mengalami sebarang masalah untuk duduk di tempatnya pada bila-bila masa menaiki kereta, alhamdulillah.

Bagi ibu-bapa yang risau akan anak mereka yang tidak mahu dan menangis-nangis untuk duduk di dalam itu, teruslah mencuba. Sampai ke tahap anak itu perlu dipaksa walaupun dia menangis. Biarkanlah daripada kita menangis di kemudian hari. InshaAllah, lama-kelamaan dia akan biasa. Pastinya kita perlu berusaha sebelum menyerah kepada takdir, bukan?

Semoga kita semua sentiasa dipelihara Allah dan selamat di sepanjang perjalanan kita dan dijauhkan dari segala kejadian yang tidak diingini. Amin

Resepi Ringkas: Biskut Kraker Lobak Berkeju

Teks dan foto: NOR AFZAN ABD KADIR


Sudah agak lama saya buatkan biskut ini untuk Hamza, baru mendapat giliran untuk saya poskan di sini. Percubaan pertama saya buatkan dua adunan kerana saiz satu adunannya agak kecil, habis dimakan si kecil dalam satu hari!

Keesokannya saya buat lagi dua kali ganda adunan supaya dapat dikongsi bersama-sama sepupu-sepupunya.

Asal-usul resepi ini seingat saya dapat dari perkongsian seorang ahli grup Facebook Organic, Non-GMO, Antibiotics & Hormones Free Group. Maaf kerana tidak mencatat. Di sini saya kongsikan resepinya yang sudah dialih bahasa.

Bahan-bahan yang diperlukan:
1/2 cawan tepung serbaguna
1/2 cawan lobak merah yang disagat
2 sudu besar keju cheddar yang diparut
1 sudu besar mentega yang dicairkan
1/2 sudu kecil serbuk penaik
1/2 sudu kecil garam (pilihan)

Cara-caranya:
1. Campurkan tepung dan lobak merah (diperahkan sedikit jus lobaknya).
2. Masukkan kesemua bahan-bahan lain. Gaulkan sehingga sebati.
3. Tambahkan minyak atau tepung jika perlu sehingga mendapat tekstur doh yang sesuai.
4. Canaikan nipis-nipis dan bolehlah diterap mengikut bentuk yang disukai.
5. Bakar dalam oven dengan suhu lebih kurang 170c untuk 20 minit atau sehingga masak.




Biskut kraker ini rangup dan mungkin agak sedikit keras. Sesuai untuk anak-anak yang sudah ada gigi dan mampu untuk mengunyah dengan baik. 

Selamat mencuba!

Friday 8 May 2015

Resepi Ringkas: Susu dan Biskut Badam

Teks dan foto: NOR AFZAN ABD KADIR


Antara pilihan susu yang boleh diberi kepada anak kecil yang lebih baik dari susu formula selain susu segar adalah susu yang berasaskan tumbuhan (plant-based milk). Sebagai contoh, susu (santan) kelapa muda - teringat lagu yang sering dinyanyikan pada bayi kecil? -, susu badam dan susu beras perang.

Kali ini saya ingin berkongsi tentang pembuatan susu badam. Hanya tiga bahan yang diperlukan, iaitu:

1 cawan badam mentah
4 cawan air tapis
Kurma dibuang biji sebagai pemanis

Cara-caranya:
1. Rendamkan badam semalaman, sekurang-kurangnya 8 jam.
2. Keesokannya, tapis keluar badam dan boleh dibuangkan kulitnya jika mahu. Air rendaman itu boleh diguna untuk menyiram tanaman.
3. Masukkan badam, air dan kurma ke dalam pengisar dan kisarkan beberapa ketika sehingga hancur.
4. Tapiskan dan perah badam tersebut menggunakan kain bersih. Susu badam sedia untuk diminum.
5. Boleh disimpan di dalam peti sejuk sehingga seminggu.

Serdak badam yang tinggal di dalam kain perahan tadi boleh digunakan dalam pembikinan kek, roti atau biskut. Di sini saya kongsikan cara membuat biskut badam yang mudah.

Bahan-bahannya:
Serbuk badam (boleh terus digunakan atau dikeringkan dahulu)
Minyak kelapa dara atau mentega cair
Madu atau pes kurma sebagai pemanis
Biji chia yang sudah direndam (1 sudu chia + 3 sudu air)

Semua bahan saya guna agakan sahaja untuk mendapatkan doh yang boleh melekat.

Cara-caranya:
1. Gaulkan semua bahan sehingga sebati
2. Terapkan ke dalam loyang yang telah digris rata-rata.
3. Potong-potongkan mengikut saiz yang dikehendaki.
4. Bakar di dalam oven dengan suhu 180°c sehingga kekuningan/masak.a
5. Sejukkan sebentar dan boleh dimakan.




Tekstur biskut ini agak rapuh kerana tiada tepung digunakan. Sesuai untuk yang berdiet tanpa gluten.

Selamat mencuba!

Bila Telefon Turun Prestasi

Teks dan foto: NOR AFZAN ABD KADIR


Pasti ramai yang pernah mengalami masalah ini kan? Bila telefon pintar mula bergerak perlahan, atau tidak bergerak langsung untuk beberapa ketika, bila talian internet seperti siput, dia akan jadi tidak berapa pintar lagi.

Sebab ini jugalah terasa dunia lambat bergerak, banyak kerja dan tugasan terpaksa ditunda. Semuanya kerana kerja-kerja hari ini banyak bergantung kepada medium internet. Yang mana hendak mencari informasi, yang mana mahu menulis cerita untuk dikongsi, yang mana mahu mengemaskini maklumat bisnes, yang mana mahu mengetahui berita-berita terkini.

Saya pasti siapa-siapa yang pernah melalui situasi seperti ini akan rasa tertekan, geram dan marah. Hendak ditukar kepada telefon yang lebih baik, keadaan poket pula tidak mengizinkan. Hendak ditukar kepada syarikat telekomunikasi yang lain, semua pun lebih kurang sahaja prestasinya.

Maka apa yang boleh kita lakukan? Istighfar,  bersabarlah sahaja. Letakkan telefonnya dahulu, biarkan dia merehatkan dirinya, sementara kita bangun melakukan kerja-kerja fizikal lain yang perlu.

Memasaklah, menulislah di atas kertas, selesaikan tugasan yang dapat dilakukan menggunakan komputer, beribadahlah lebih lama, bertenang dan berfikir. Jika diamati, sebenarnya banyak perkara yang boleh kita lakukan!

Ya, kehidupan hari ini membuatkan kita seakan tidak mampu berpisah dengan telefon atau gajet yang lain. Dari celik mata sehingga kejam mata semula, ia seakan menjadi benda paling penting setelah diri kita.

Bagaimana mungkin ini dapat diubah jika segala maklumat penting kita disimpan di dalamnya? Ia sebenarnya bergantung kepada bagaimana kita mendisiplinkan diri.

Sukar bukan mahu mendisiplinkan diri bila tiada yang menjaga dan memerhati? Jika yang mahu didisiplinkan itu anak kecil, kitalah yang menjaga dan memeriksanya, jika kita pula yang mahu didisiplinkan, siapa pula yang mahu menegur kita? Jika ada pasangan, mintalah beliau sama-sama bekerjasama untuk tegur-menegur untuk kebaikan.

Selebihnya bergantung usaha dan komitmen kita. Sediakan satu jadual untuk tugasan-tugasan yang perlu kita lakukan setiap hari dan ikutlah jadual masa itu. InshaAllah, lama-kelamaan akan menjadi kebiasaan dan jika sesekali telefon menjadi tidak pintar kembali, tidak ada apa yang perlu untuk dikeluhkan. Gerak terus!


Thursday 7 May 2015

Mari Membaca Label

Teks: NOR AFZAN ABD KADIR
Foto: Google


Sudah menjadi kebiasaan saya sekarang apabila membeli-belah; membelek-belek bungkusan untuk membaca label. Walaupun terpaksa meluangkan masa yang lebih lama berbanding sebelum ini namun saya gembira melakukannya.

Sebelum timbul kesedaran ini, saya seperti kebanyakan orang juga, hanya membaca apa yang tertulis pada bungkusan dalam bentuk yang ringkas dan menarik perhatian.

Sebagai contoh, yang tertulis "tanpa gula", "rendah lemak" pada bungkusan pastinya menarik bagi sesiapa yang mahu menjaga kesihatan bukan? Kita juga tidak tertanya-tanya, mengapa rasanya masih manis jika dikatakan tiada gula? Maka ianya tetap diterima dengan anggapan bahawa pastinya yang ini masih kurang manis daripada yang kebiasaannya.

Tetapi apabila kita cuba untuk membaca senarai isi kandungan yang dicetak dengan huruf yang kecil pada bahagian belakang bungkusan tersebut, maka tahulah kita bahawa terdapat bahan-bahan lain yang serupa dengan gula digunakan cuma ia menggunakan nama saintifik yang lain.

Jika diperhatikan pada setiap label makanan terproses yang dijual di mana-mana juga, pasti ada bahan-bahan tersenarai menggunakan kod-kod bernombor yang kita sendiri tidak tahu pun bahan apakah itu. Paling-paling kita akan menganggapnya sebagai bahan kimia yang selamat untuk dimakan. Jika tidak, masakan ia dapat dijual, malahan sebahagiannya terdapat tanda halal JAKIM lagi bukan? Ya, mee segera juga adalah halal.

Namun bagi golongan yang ingin kembali memakan makanan-makanan yang alami seperti nenek moyang kita zaman dahulu kala, bahan-bahan 'pelik' seperti itu seboleh mungkin akan dielakkan.

Kemudian kita lihat pada produk penjagaan diri seperti sabun mandi dan syampu pula. Tidaklah selama ini saya pedulikan tentang isi kandungannya. Yang penting bagi saya adalah wangi dan saya rasa selesa setelah menggunakannya. Saya (dahulu) juga adalah jenis yang setia kepada jenama.

Walaupun sudah agak lama saya mendengar tentang bahan-bahan seperti Sodium Laureth Sulfate (SLS), SLES, Paraben adalah bahaya dan penyebab kanser, tetapi baru kini saya membuka mata dan mahu memastikan bahawa saya tidak akan menggunakannya pada anak saya. Lalu saya beralih kepada produk yang lebih selamat iaitu sabun buku sahaja.

Secara umumnya bolehlah saya katakan mengenai label kandungan ini, bahawa yang paling kurang itu adalah lebih baik (less is more). Jika kita membeli bahan segar seperti buah dan sayuran, adakah terdapat senarai kandungan padanya?

Tentulah tiada bukan? Kerana ia bukanlah produk yang diproses, ia boleh dipetik dari pokoknya dan begitu jugalah rupanya. Bagaimana pula dengan makanan diproses seperti kek dan biskut? Tentu tidak ada pokok yang 'melahirkannya' bukan? Ia adalah produk yang perlu melalui proses pengilangan.

Dan jika dikatakan proses pengilangan, pasti dilakukan oleh pihak yang mahu membuat keuntungan. Bagaimana mahu meningkatkan keuntungan? Produk yang dihasilkan perlulah secara banyak, sedap, nampak menarik dan tahan lama. Maka apa-apa bahan yang boleh membuatkan produk itu tahan lama tanpa mengubah rasanya akan digunakan, itulah fungsinya penstabil, pengawet, pewarna dan perisa.

Kembali kepada makanan dan bahan alami, logikkah pada zaman serba moden dan segera ini? Ya, memang sukar. Tetapi di mana ada kemahuan, inshaAllah ada jalan kan?

Topik ini sebenarnya adalah agak luas dan boleh dikembangkan kepada beberapa tulisan lagi. InshaAllah jika diizinkan, saya akan terus berkongsi dengan anda semua.


Gendong Anak

Teks: NOR AFZAN ABD KADIR
Foto: Google


Selama sembilan bulan seorang bayi berada di dalam alam yang gelap, suam dan sempit. Kaki tangannya sentiasa terlipat akibat ruangan yang sangat terhad terutama di trimester terakhir kehamilan. Pun begitu, dia masih seronok bermain, menendang, berpusing kerana dia tahu dan rasa dia selamat.

Namun, saat pertama dia lahir menjengah dunia, segala-galanya berubah. Ruang terbuka seluas-luasnya, dengan suhu yang sejuk, pastinya dia berada dalam keadaan terpinga-pinga, terkejut dan takut. Lalu apakah yang dapat dia lakukan untuk menterjemahkan perasaannya ketika itu? Ya, hanya menangis.

Bayi di awal-awal kehidupannya, selagi dia masih belum tahu dan mampu mengawal emosinya, pasti menangis untuk segala unsur ketidakselesaan yang dia alami. Ibu bapa muda pula kebiasaannya pasti tertekan dengan keadaan ini.

Lalu apakah yang boleh dilakukan oleh ibu bapa saat anak menangis sesudah dipastikan perutnya diisi, lampinnya ditukar, ngantuknya telah hilang?

Kendong. Usahkan kata bayi kecil, anak yang sudah besar pun suka dikendong. Tidak kira didukung dengan tangan atau dengan alat sokongan, ia tetap menjadi pilihan.

Kerana matlamat untuk digendong itu sama, iaitu berada dekat dan selamat dengan si ibu atau penggendongnya.

Terdapat pelbagai jenis alat gendong yang dijual di pasaran, yang mahal dan yang murah. Namun yang bagaimanakah yang sepatutnya menjadi pilihan?

Pilihlah yang selamat, berkualiti dan selesa bagi si pemakai dan bayi yang dipakai. Para ibu bapa seharusnya tahu apa yang selamat dan apa yang tidak patut dalam pemilihan alat gendongan kerana yang akan dibawa itu adalah anak mereka yang sangat tidak ternilai harganya.


Saya mendapat ilmu mengenai gendongan bayi ini juga agak lewat, setelah Hamza berusia setahun. Sebelum itu saya memang sudah membeli kain gendong yang dipanggil ring sling sejak Hamza di dalam kandungan lagi.

Namun setelah Hamza semakin membesar dan saya terasa sakit-sakit badan setelah mendukungnya agak lama, saya mula mencari jenis gendongan yang lebih sesuai dan selesa. Dan saya memperoleh banyak ilmu menerusi grup Facebook Malaysian Babywearers.

Syarat-syarat gendongan yang selamat

Terdapat pelbagai jenis penggendong yang sesuai untuk dipakaikan ke anak mengikut usia dan perkembangan mereka. Contoh yang paling mudah, murah juga selamat adalah penggunaan kain batik lepas, sangat sesuai dipakai ketika bayi baru lahir.

Untuk Hamza yang sudah pun setahun setengah ketika itu, saya memilih Soft Structured Carrier (SSC). Dan rezeki kami mendapat SSC keluaran tempatan pada harga yang agak murah.


Alhamdulillah, saya dan anak selesa memakainya. Kini, ke mana-mana kami pergi saya pasti akan bawa SSC ini bersama. Hanya satu ini sahajalah pun yang kami mampu ada.

SSC mudahnya kerana ia menggunakan penetap (buckle) sepenuhnya. Terdapat juga Mei Tai yang perlu diikat mengikut keselesaan si pemakai manakala wrap adalah yang paling selesa tetapi pemakai perlu belajar dan mahir tentang jenis ikatan-ikatannya.

Itulah antara alat gendongan yang selamat dan ergonomik untuk dipakai. Ia memberi keselesaan optimum kepada si pemakai dan anak yang dipakainya. Untuk yang tercari-cari penggendong yang sesuai, silalah bandingkan pilihan-pilihan yang ada dan dapatkan harga yang terbaik mengikut bajet anda.

Selamat menggendong!

Genap Dua Tahun Penyusuan

Teks dan foto: NOR AFZAN ABD KADIR


Hari ini 17 Rejab 1436 Hijriah, genap dua tahun usia anakanda tercinta saya, Hamza. Jika melihat kalendar Masihi, dia ada 22 hari lagi untuk mencapai umur dua tahun.

Saya menganggap anakanda saya ini telah pun berusia dua tahun dan lengkaplah sudah tempoh penyusuan dua tahun seperti yang saya niatkan sejak awalnya. Ia juga bermakna anak saya sudah boleh untuk diceraikan susunya.

Adakah benar saya ingin memutuskan susu badan untuk Hamza? Jawapan saya ya dan tidak. Ya, saya mahu memutuskannya dan tidak, kerana saya tahu ianya tidak mudah.

Saya menunggu tarikh ini kerana saya tahu saya tidak boleh untuk menahannya dari menyusu selagimana tempoh sekurang-kurangnya dua tahun itu belum dipenuhi. Dan bermula dari tarikh ini, barulah saya boleh memulakannya sedikit demi sedikit, secara perlahan-lahan. Saya tidak pasti lagi bagaimana tetapi ia harus dimulakan.

Hamza masih memerlukan saya setiap kali dia mahu tidur dan apabila tersedar dari tidur. Saya mahu dia belajar untuk tidur sendiri dan tidak mencari susu setiap kali terjaga dari tidur (tidurnya agak mudah terganggu terutama di siang hari). Saya tahu ia tidak mudah untuknya, namun dia perlu dilatih dan membiasakan diri.
Anakku sayang,
Memutuskan susu bukan bermakna mama sudah tidak sayang
Atau sayangnya berkurang
Tidak, tidak sekali-kali
Hanya untuk melatihmu agar cepat berdikari
Memberi mama ruang waktu untuk mencari rezeki
Permudahkanlah ianya bagiku dan bagi anakku, ya Allah. Semoga Hamza disayangi dan dipelihara Allah selalu, dijadikanNya hamba yang soleh, yang bertakwa, yang bermanfaat bagi manusia, bagi agama.

Ya Allah, Kau permudahkanlah perjalanan hidup kami. Amin

Monday 4 May 2015

Yatim Di Usia Muda

Teks: NOR AFZAN ABD KADIR
Foto: Google


Heboh diperkatakan oleh semua warga internet terutamanya di Malaysia sejak dua hari lalu; perasaan marah, geram, bersilih ganti dengan pilu, kasihan, sedih.

Siapa yang tidak marah atas apa yang berlaku? Sekelip mata dua orang anak kecil menjadi yatim piatu dan kehilangan juga seorang adik kecil. Memang kun, fayakun. Allah sudah menetapkan ajal mereka begitu. Tetapi apa yang kita marahkan?

Penyebabnya. Ya, kerana yang menyebabkan kemalangan maut itu menafikan, malah mengeluarkan kenyataan-kenyataan yang hanya membuatkan sesiapa yang membacanya menjadi berang.

Seluruh negara mendoakan agar pesalah-pesalah ini dihadapkan ke muka pengadilan. Agar mereka bertanggungjawab ke atas anak-anak mangsa.

Mereka masih terlalu kecil, si kakak berumur tujuh tahun, si adik empat tahun. Si kakak pastinya sudah memahami apa yang berlaku di sekelilingnya, apa yang telah berlaku ke atas kedua ibu bapa dan adik kecilnya. Si adik mungkin belum dapat memahami dan merasai sebagaimana si kakak.

Namun mereka berdua masih sama, masih sangat memerlukan kedua-duanya. Dua insan yang selama ini dipanggil, dipeluk, dicium oleh mereka, setiap waktu, saban hari. Kini ia tidak akan berlaku lagi. Pasti ada yang cuba mengganti, namun rasa itu tidak mungkin akan sama seperti sebelum ini.

Situasi si adik mengingatkan saya akan sejarah sendiri. Ya, saya kehilangan ayah ketika umur empat tahun juga. Namun arwah ayah perginya tidak mengejut, beliau dalam keadaan sakit. Cuma yang pasti, saya tidak memiliki apa-apa memori bersamanya.

Menurut emak, saya dilalukan di bawah jenazah ketika keranda diusung ke kuburan. Katanya itu petua supaya saya tidak mengingati apa yang berlaku. Tidak tahulah sekadar kebetulan atau benar menjadi petuanya, saya tidak langsung mengingat apa-apa mengenai arwah. Mungkin juga setakat itu sahaja kemampuan memori seorang anak berusia empat tahun, saya tidak tahu.

Saya berharap dan mendoakan kedua-dua beradik ini akan kuat, dilindungi dan dikurniakan rezeki yang baik-baik dari yang Maha Esa, sepanjang kehidupan mereka. Allah lah sebaik-baik Penjaga.

Semoga dimurahkan juga rezeki orang-orang yang selepas ini menjaga, mendidik dan memberi mereka kasih sayang. Semoga hak-hak mereka ini tidak dicabuli oleh tangan-tangan yang pincang. Amin.




Wednesday 29 April 2015

Resepi Ringkas: Muffin Pisang Tanpa Gluten

Teks dan foto: NOR AFZAN ABD KADIR


Pagi ini saya mencuba satu resepi baharu. Sejenis muffin juga, dengan pisang juga, bezanya cuma ia tidak menggunakan tepung gandum, tetapi tepung beras. 

Resepi asal daripada perkongsian rakan di grup whatsapp Masakan Alami/Organik yang mana telah saya tambah sedikit.

Ini adalah resepi asal:


Bahan-bahan yang saya gunakan:

5 biji pisang dilecek
1/2 cawan minyak kelapa dara
2 biji telur
1 cawan tepung beras
1/2 sudu teh soda bikarbonat
1 sudu besar cuka epal
Sedikit serbuk kayu manis
1/2 sudu teh biji chia

Cara-caranya:

1. Telur dipukul (guna tangan saja) hingga kembang.
2. Pisang dikisar supaya lebih halus.
3. Masukkan minyak ke dalam telur, bersama serbuk kayu manis dan pukul lagi.
4. Tambahkan pisang, cuka epal dan biji chia pada adunan telur tadi dan kacau sebati.
5. Akhir sekali masukkan tepung bersama soda bikarbonat. Kaup balikkan sehingga bersatu.
6. Panaskan oven pada suhu 190°c (resepi asal dikukus ya).
7. Isikan adunan ke dalam acuan muffin yang comel.
8. Bakar selama lebih kurang 25 minit atau sehingga masak, bergantung oven masing-masing.
9. Sejukkan sebentar sebelum dimakan.



Alhamdulillah, Hamza yang tidak sabar-sabar meminta sejak muffin baru masuk oven sangat gembira menikmatinya. Habis tiga ketul dia makan dan mama terpaksa sembunyikan buat bekalan di masa depan.

Rupanya dari dalam

Cubalah resepi muffin yang sihat ini untuk si manja anda yang tersayang. Kemanisan pisang itu sudah cukup membuatkan ia manis tanpa perlu ditambah gula lagi. Kebiasaan saya memasak apa-apa menggunakan pisang juga tidak pernah menambah gula.

Selamat mencuba!

Monday 27 April 2015

Dalam Tak Sihat Menandatangani Borang

Teks: NOR AFZAN ABD KADIR



La baksa thohurun, inshaAllah. (Tak mengapa, pencuci dosa, inshaAllah).

Kelmarin, Hamza terkena selsema, namun terus sembuh dalam masa sehari. Keesokannya saya pula yang menjangkit dan sehingga kini masih terasa sakit-sakit kepala dan badan akibat demam selsema yang melanda. Menggigil badan ketika tidur malam. Semoga sihat sepenuhnya hari ini.

Tengahari semalam saya dikunjungi oleh seorang sahabat lama ketika menetap di Kuala Lumpur dahulu. Antara sahabat-sahabat yang selalu ke kuliah-kuliah atau program-program agama yang sama ketika sama-sama masih bujang.

Beliau datang bersama suami dan adik perempuan bongsunya. Kebetulan mereka pulang ke rumah orang tua di Johor Bahru, jadi kesempatan diambil untuk bertemu saya bagi memberikan penerangan dan menandatangani borang Amanah Saham.

Ya, itu adalah agenda utama beliau menemui saya, yang sebenarnya sebagai wakil kepada seorang sahabat yang menjadi ejen saya. Beliau belum berkesempatan untuk datang ke Johor maka dikirimkannya kepada wakil sahaja.

Jadi saya hendak melabur di saham amanah kah? Ya, sejak beberapa bulan lepas saya terfikir mengenainya, sejak sahabat saya itu baharu mendapat lesen untuk menjadi ejen Public Mutual. Beliau menerangkan tentang sebahagian daripada dana di Akaun 1 KWSP yang boleh dipindahkan ke akaun saham amanah, yang mana pelaburannya terjamin patuh syariah dan pulangannya lebih tinggi daripada dividen KWSP mengikut sejarahnya.

Maka bagi menyelamatkan bahagian 40% pelaburan KWSP yang tidak patuh syariah dan peluang mendapatkan pulangan yang lebih tinggi itulah, saya bersetuju untuk memindahkan. Lagi pula, bahagian tersebut tetap tidak boleh dikeluarkan sehingga umur 55 mengikut syarat KWSP, jadi tiada apa-apa perbezaan di situ kecuali risiko pelaburannya yang lebih tinggi. Saya berharap semoga jumlah yang dipindahkan itu akan berganda-ganda jadinya apabila sampai masanya ianya boleh dikeluarkan kelak. Amin.

Oh ya, Amanah Saham Public Mutual sekarang juga sedang mengadakan promosi untuk memulakan pelaburan dalam dana-dana tertentu pada harga RM100 sahaja (harga biasa RM1,000). Tawaran ini sah sehingga 30 Jun 2015. Jadi sesiapa yang ingin melabur itu, jangan lepaskan peluang! (Terasa seperti seorang ejen pula)

Untuk yang ingin mendapatkan maklumat lanjut mengenai Public Mutual ini, bolehlah menghubungi sahabat-sahabat saya seperti di bawah:

Puan Nur Izzah Bakar
019-3475898

Puan Faizah Fuad
018-2514160

Bergambar kenangan bersama Faizah (dan Hamza yang baru bangun tidur)








Saturday 25 April 2015

Kerepek Kudapan Yang Enak

Produk Terbaharu Dibawakan Untuk Anda..

Kerepek-Kerepek keluaran Zalina Khalid ini sangat istimewa kerana ianya menggunakan bahan-bahan dan sumber yang asli. Kerepek bersira diadunkan dalam resepi sambal tradisi yang enak lagi memikat. Sekali cuba pasti mahu lagi!

Resepi Tradisi
Kualiti Premium
Tanpa Pengawet
Tanpa Pewarna


1) Kerepek Ubi Sambal 
1/2 kilo = RM13
1 kilo = RM21


2) Tepung Sira Sambal





















1/2 kilo = RM13
1kilo = RM21

3) Kacang Sambal





















1/2 kilo = RM18

4) Kerepek Bawang Rapuh





















Saiz M (400g) = RM17
Saiz L (700g) = RM22



















Mari rasai keenakan kerepek-kerepek kami. Sila isikan Borang Tempahan untuk pesanan anda.
Terima kasih!

Friday 24 April 2015

Resepi Ringkas: Sayuran Bungkus (Vege Wrap)

Teks dan foto: NOR AFZAN ABD KADIR


Resipi ini sesuai untuk sarapan pagi atau makan tengahari bagi sesiapa yang sedang berdiet. Sangat mudah disediakan jika sudah disediakan saladnya terlebih dahulu.

Untuk menyediakan saladnya, sagatkan sebatang lobak merah bersaiz sederhana dan daun kobis hijau secukupnya. Kemudian digaulkan bersama mayonis yang dibuat sendiri seperti dalam entri yang lepas dan sedikit yogurt asli (saya gunakan jenama Farm Fresh).



Sediakan wrap yang sedia dimakan (boleh didapati di pasaraya Giant jenama Mission). Hiriskan beberapa hirisan tomato segar dan susunkan di atas wrap tadi. Kemudian letakkan salad yang telah disediaka  di atas. Bolehlah disapu sedikit sos di atasnya untuk menambah rasa (saya gunakan sos bawang putih Lingham).



Kemudian bolehlah digulung seperti yang ditunjukkan pada bungkusan wrap dan dipotong serong untuk lebih mudah dimakan.

Itu sahaja. Selamat mencuba!

Resepi Ringkas: French Toast/Roti Telur

Teks dan foto: NOR AFZAN ABD KADIR


Ini merupakan kegemaran terbaru Hamza untuk sarapannya. Dipanggil French Toast, atau roti bakar Perancis.

Sangat mudah sahaja, saya pasti ramai yang biasa membuatnya. Hanya empat bahan diperlukan:

3 keping roti
Sebiji telur
Susu segar
Sebuk kayu manis
Madu asli

Caranya:
1. Pukul telur dalam mangkuk leper bersama sedikit serbuk kayu manis.
2. Tuangkan susu segar cukupnya (anggaran 1/4 cawan) dan kacau rata.
3. Panaskan kuali leper yang diletakkan sedikit minyak dan mentega.
4. Balik-balikkan roti di dalam adunan telur seketika dan terus masukkan ke dalam kuali. Angkat setelah masak.
5. Tuangkan madu di atas roti sebelum dimakan.

___________________________________

Resepi Kedua: Bun Telur dan Sayur


Bahan-bahannya:
2 ketul roti bun
Sebiji telur (dipukul)
Timun yang disagat
Keju parut

Cara-caranya:
Potong bun kepada dua bahagian.
Celupkan bahagian dalamnya di dalam telur.
Letakkan timun di atas roti tersebut.
Taburkan parutan keju di atasnya.
Tekapkan di atas kuali leper yang telah dipanaskan dengan sedikit minyak dan mentega.
Terbalikkan roti seketika dan bolehlah diangkat dan dihidangkan.

Selamat mencuba!

Thursday 23 April 2015

Mayonis Buatan Sendiri

Teks dan foto: NOR AFZAN ABD KADIR



Mayonis memang sangat perlu dalam hidangan sesetengah jenis makanan kan? Terutama untuk hidangan bersalad, untuk disapu pada roti burger, atau pada sandwich.

Memang kebiasaannya sebelum ini saya akan beli sahaja mayonis yang banyak dijual di rak-rak pasaraya. Tetapi apabila saya mula rajin membaca label pada setiap barangan terutama makanan yang saya mahu beli, datang sedikit perasaan bersalah untuk terus membelinya.

Ya, seperti biasa, makanan berproses seperti itu pastilah mengandungi pengawet dan penstabil untuk ia tahan lama, juga kandungan perisa termasuk garam dan gula untuk rasa yang enak. Saya pula akan cuba sedapat mungkin untuk tidak memasukkan bahan-bahan seperti ini ke dalam badan keluarga saya.

Maka antara langkah yang dapat lakukan sebagai alternatif adalah dengan membuatnya sendiri. Sudah agak lama saya mencari-cari resepi mayonis yang mudah, akhirnya ketemu juga. Pencarian bermula dengan mencari apakah kandungan utama di dalam mayonis itu sendiri. Jawapannya? Telur dan minyak.

Ya, dengan dua bahan utama ini sahaja anda telah pun boleh membuat mayonis anda sendiri. Mudah bukan? Untuk mayonis pertama saya, saya menggunakan dua bahan asas ini cuma ditambah sedikit sahaja garam di dalamnya. Bahan-bahan yang saya gunakan adalah:

Sebiji telur mentah*
1/2 cawan minyak sayuran (saya gunakan organic extra virgin olive oil)
Secubit garam bukit

Caranya sangat mudah iaitu satukan bahan-bahan ini ke dalam cawan pengisar dan kisarkan selama lebih kurang 5-7 minit atau sehingga kita dapat tekstur mayonis yang dikehendaki. Saya menggunakan pengisar Magic Bullet yang biasa saya gunakan.


Jika anda ada pengisar tangan (hand blender) yang memanjang ke atas itu lebih baik. Anda boleh masukkan bahan-bahan ke dalam botol kaca kecil yang boleh memuatkan pengisar itu ke dalam. Ia boleh terus dikisar di dalam botol tersebut dan disimpan, tidak perlu bertukar-tukar bekas lagi.

Mayonis ini perlu disimpan di dalam peti sejuk dan inshaAllah boleh bertahan sehingga tiga minggu atau sebulan. Porsi yang sedikit seperti ini membolehkan untuk ianya dihabiskan dalam jangkamasa yang pendek dan tak perlu untuk disimpan terlalu lama.



Selamat mencuba!

* Telur mentah yang digunakan sebaiknya adalah telur organik yang telah dipastur. Ianya selamat untuk dimakan. Mayonis komersial di pasaran juga menggunakan telur yang dipastur namun bukan organik.

Telur sebegini agak sukar diperoleh di pasaran jadi sebagai alternatifnya, bolehlah kita gunakan telur ayam kampung yang dipastur sendiri. Untuk langkah-langkah pempasturan boleh dirujuk di sini.


Wednesday 22 April 2015

Resepi Ringkas: Bihun Goreng Tom Yam

Teks: NOR AFZAN ABD KADIR
Foto: Google

Gambar hiasan

Inilah rupanya lebih kurang hasil masakan saya untuk dihidangkan pada Pak Usu sekeluarga tempohari. Tidak teringat untuk mengambil gambar sendiri. Menu ini ringkas sahaja untuk disediakan, jadi bolehlah menjadi pilihan bagi disediakan untuk para tetamu yang datang agak mengejut. Jika tiada pes Tom Yamnya, maka akan jadi bihun goreng biasa sajalah.

Bahan-bahannya (untuk 10-12 orang makan)
Bihun 2 paket (direndam)
Sejemput lada kering (direndam air panas)*
3 biji bawang besar*
6-7 ulas bawang putih*
1 inci halia*
2 peket pes Tom Yam Adabi
6 batang serai (diketuk)
6-7 helai daun limau purut
6-7 keping asam gelugor/keping
Sotong/udang sebagai perencah
Sayur kobis dan lobak dihiris halus

Cara-cara membuatnya:
1. Kisarkan bahan-bahan bertanda (*) sehingga halus.
2. Panaskan minyak dan tumiskan bahan yang dikisar tadi.
3. Masukkan serai yang diketuk, asam keping, daun limau purut. Kacau sehingga pecah minyak dan naik bau. Masukkan pes Tom Yam dan kacau lagi.
4. Tambahkan air secukupnya dalam tiga cawan. Perasakan dengan garam.
5. Masukkan sayur-sayuran dahulu hingga hampir layu.
6. Masukkan sotong/udang dan kacau sebentar.
7. Masukkan bihun yang sudah ditoskan. Kacau rata.
8. Bolehlah diangkat dan hiaskan ikut kreativiti anda.

Mudah dan cepat untuk disediakan. Sesuai juga untuk minum petang atau minum pagi. Aroma daun limau purut dan serai itu sangat membangkitkan rasa Tom Yamnya dan pasti membuka selera. Bagi yang biasa menyediakan sendiri pes Tom Yam adalah lebih bagus kerana pastinya bahan-bahan yang digunakan lebih selamat dan diyakini.

Selamat mencuba!

Tuesday 21 April 2015

Pak Usu Ziarah Dari Kampung

Teks: NOR AFZAN ABD KADIR

Sedang saya dan Hamza berehat-rehat di ruang luar rumah selepas makan petang, tiba-tiba nampak sebuah kereta putih lalu dan berhenti di hadapan rumah jiran sebelah. Sangka saya pasti ibu bapa anak asuh jiran saya yang mahu mengambil anaknya.

Agak lama menunggu mereka hendak turun dari kereta itu, ada seorang yang telah turun dan menuju ke rumah kami. Tertanya-tanya pula saya, siapakah gerangannya. Mungkin kawan kepada abang, tetapi hari itu hari bekerja? Dia memberi salam. Melihatkan saya tertengok-tengok kereta itu, dia pun berkata, "Mak Usu." Oh, seperti dalam mimpi pula rasanya.

Masakan tidak? Untuk setahun sekali di hari raya rombongan dari kampung sampai ke rumah kami pun sukar, inikan pula secara mengejut pada hari biasa. Kami pun bersalaman dan berpelukan menterjemahkan kerinduan akibat lama tidak bertemu.

Pak Usu adalah adik tunggal kepada arwah ayah, mereka hanya dua beradik. Ayah kami pula telah kembali kepada tuhannya ketika saya berusia empat tahun. Atas dasar itulah, hubungan kedua keluarga ini masih rapat walau tinggal berjauhan. Pak Usu dan isteri masih menetap di rumah pusaka yang telah dibina baru, di Kampung Tengah, Muar. Emak pula telah membawa kami berhijrah ke Johor Bahru selepas ayah meninggal dunia.

Kedatangan mereka dibawa oleh salah seorang anak lelaki yang sedang bercuti, yang sekarang menetap di Putrajaya. Rupanya mereka ada urusan di Pejabat Tanah di Nusajaya sebelum itu dan singgah di tempat kami sebelum pulang semula.

Kebetulan emak tiada di rumah, sudah dua malam tidur di rumah kakak. Saya pun terus menelefon kakak untuk memaklumkan. Kakak ipar membantu menyediakan kudapan segera sementara saya membancuh air.

Tak lama kemudian, emak pulang dihantar oleh anak saudara saya. Setelah berbual sedikit sebanyak, emak meminta saya menggorengkan Bihun Tom Yam untuk menjamu tetamu. Dua bungkus bihun goreng dikerjakan oleh saya, kakak ipar dan anak saudara. Alhamdulillah, dapat juga mereka mengalas perut sebelum bergerak pulang ketika Maghrib. Kakak saya pun sempat membuat Puding Roti Bakar untuk mereka bawa pulang. InshaAllah, saya akan kongsikan resepinya dalam entri yang akan datang.

Kebiasaan Pak Usu ini jika bertandang, dia pasti mahu lekas bergerak pulang. Jika anak-anaknya sahaja yang datang, mereka tidak kisah pun untuk bermalam sekali. Dan kelemahan saya pula, dalam situasi-situasi seperti ini, saya tak teringat pun untuk mengambil kamera merakamkan gambar, baik tetamu yang datang bertandang, mahupun menu yang disediakan. Maka tiadalah apa-apa foto untuk catatan kali ini.

Apapun, alhamdulillah, bapa dan ibu saudara tersayang saya dari kampung ini dapat juga sampai melawat kami di sini. Terakhir kami berjumpa adalah ketika mereka datang melawat selepas saya kematian suami hampir dua tahun yang lalu. Kini mereka melihat Hamza yang semakin membesar dan pastinya ada rezeki untuk si kecil ini juga. Alhamdulillah.

Semoga Pak Usu dan Mak Usu sentiasa sihat dan dilindungi Allah selalu. Semoga Allah juga memasukkan mereka berdua ke dalam syurgaNya di akhirat nanti. Amin.

Bengkak Susu dan Demam Urat (2)

Teks: NOR AFZAN ABD KADIR
Foto: Google


Kebiasaan orang akan berurut jika terkena demam urat. Mungkin benar ia membantu tetapi saya tidak dapat bayangkan bagaimana badan yang kesakitan apabila dipegang itu akan bereaksi apabila diurut. Selalunya tukang urut akan menekan-nekan badan pesakit, kecuali pengurut moden yang belajar secara professional untuk urutan seperti mengusap dan membelai itu.

Atas kerisauan ditambah dengan kesakitan pada susu, saya tidak jadi untuk berurut dan meneruskan cara biasa untuk menuam dengan air panas. Apabila dilakukan dengan kerap dan airnya betul-betul panas, kemudian disikat dengan menggunakan sikat rambut pada bahagian itu, dapat saya rasakan perbezaannya. Darjah kesakitan di kawasan terbabit banyak berkurang, alhamdulillah.

Untuk kes jika terdapat seperti ketulan akibat liang susu yang tersumbat, amat penting peranan si anak untuk membantu ibunya. Atas saranan sahabat-sahabat juga, saya membiarkan Hamza menyusu selama mungkin untuk sebelah bahagian yang bermasalah. Paling baik ketika hendak tidur, kita biarkan sehingga dia melepaskannya sendiri. Jika pengeluaran susu di situ sentiasa berganti baru, maka inshaAllah, kawasan yang tersumbat itu akan pulih juga akhirnya, bermula sedikit demi sedikit.

Selain itu, saya meneruskan juga mengambil minyak zaitun dan minyak kelapa dara. Minyak zaitun turut boleh untuk disapukan pada bahagian bengkak untuk diurut-urut secara perlahan. Tidak perlu untuk disebut, setiap usaha yang kita lakukan itu haruslah dimulakan dengan Basmalah dan selawat, semoga Allah memberi kesembuhan.

Untuk rasa sakit-sakit di seluruh badan pula, saya cuba mengurut sendiri menggunakan pilihan minyak yang ada; minyak kelapa, minyak habbatussauda atau minyak urut biasa. Urutan lebih di bahagian kaki kerana lebih terasa sakit apabila berjalan.

Alhamdulillah, setelah dua hari mengalami demam dan bengkak ini, saya terasa makin sihat dan sembuh. Sudah mampu mendukung Hamza dan melaksanakan tugas di rumah seperti selalu. Antara yang penting juga, sudah mampu untuk membuka, membaca dan menulis entri di blog yang sudah lama ditinggalkan ini.

Ya, untuk beberapa entri ini hanya berkisar tentang sakit dan rawatan penyembuhan. Saya menggelarkan seminggu yang lepas ini sebagai minggu ketidaksihatan. Jika dilihat status dan kisah yang dikongsi rakan-rakan, kebanyakan mereka dan anak-anak mereka juga tidak sihat. Mungkin memang musim demam sekarang.

Apapun penyakit yang sedang kita alami, berusahalah sebolehnya untuk segera sembuh. Banyak kerja yang akan tertangguh apabila kita tidak sihat. Dan apabila sudah sembuh, banyak pula yang perlu kita kerjakan untuk dibereskan.

Kesakitan sesekali itu perlu. Bukankah itu suatu ujian? Sakit itu juga datangnya dari Allah sebagai kafarah atas dosa-dosa yang kita lakukan. Maka bersyukurlah apabila kita sakit, sekurang-kurangnya ada dosa kita yang Allah ampunkan. Dan jangan lupa juga untuk sentiasa beristighfar. InshaAllah dengannya Allah kurniakan kesembuhan dan bantuan.

Alhamdulillah 'ala kulli hal.

Bengkak Susu dan Demam Urat (1)

Teks: NOR AFZAN ABD KADIR
Foto: Google


Seakan tidak percaya yang saya akan mengalami situasi seperti ini lagi pada masa sekarang; ketika usia anak saya hampir masuk dua tahun dan saya hendak memutuskan susunya. Kali pertama saya alami pengalaman seperti ini adalah ketika di dalam tempoh berpantang. Ada saya sebutkan di dalam entri penyusuan.

Ujian datang lagi buat saya. Hanya kerana Hamza kurang menyusu akibat ulser di dalam mulutnya beberapa hari, saya tidak perasan yang saya mengalami bengkak susu sehinggalah terasa sakitnya ketika pulang dari Giant hari itu. 

Sakitnya sangatlah menguji perasaan, hanya yang pernah merasainya akan mengerti. Tidak cukup dengan itu, sakit kepala juga datang menyerang tanpa belas kasihan. Mungkin juga kerana saya lewat mengambil makan siang dalam dua tiga hari ini. Jam sudah hampir waktu Asar baru berkesempatan untuk makan.

Maka malamnya saya sangat sukar melelapkan mata dan terpaksa menahan kesakitan sekuat hati. Hampir terlupa akan kesakitan akibat bengkak susu yang satu lagi. Dalam sukar, saya paksakan juga diri untuk bangun, ambil gayung dan diisikan dengan air suam, lalu kepala saya tuam. Hanya mampu mengambil overnight oat dari peti sejuk untuk Hamza makan. Mujur juga dia mahu. Alhamdulillah, terima kasih anak mama kerana tidak meragam di saat mama kesakitan.

Kembali ke pembaringan sambil kepala dituam. Saya teringat akan kesakitan yang sama saya alami ketika mengandungkan Hamza dahulu. Rasanya memang seperti hendak pecah kepala, sehingga air mata mengalir dengan sendirinya. Dan ketika itu juga hanya tuala suamlah yang menjadi teman rapat saya.

Sambil-sambil beristighfar dan berdoa memohon kesembuhan, saya terfikir akan kemungkinan buruk yang akan berlaku. Bagaimana jika sehingga terjadi seperti kes salur darah di kepala pecah? Saya pernah terbaca kes itu baru-baru ini. Hati mula risau.

Ketika itulah saya fikirkan akan pelan takaful yang belum diletakkan nama anak sebagai penerima hibahnya, akan wasiat-wasiat saya yang lain yang belum ditulis secara sempurna. Siapa yang boleh saya amanahkan untuk mendidik Hamza dan siapa pula yang dapat menjaga makan minum yang baik untuknya? Sungguh saya amat ingin menulis semuanya ketika itu tetapi saya tidak mampu. Tahu-tahu saya telah pun terlena dalam kesakitan dan kerisauan.

Tersedar bangun pada jam 2.30pagi. Alhamdulillah seperti magik, tiada lagi rasa sakit kepalanya. Saya ke dapur untuk mengisi perut. Baru hendak menyuap nasi, Hamza terbangun, saya tidurkan semula. Selepas itu dapatlah makan secara cepat kerana Hamza terjaga lagi. Ketika itu barulah terasa seram sejuk seluruh badan. Menggigil-gigil saya menahan kesejukan. Berstokin, berselimut juga tidak terasa kurangnya.

Menunggu agak lama untuk Hamza lena kembali, baru dapat saya bangun ke dapur. Saya minum sesudu madu dan dua sudu minyak kelapa dara. Saya ambil sebiji bawang besar dan belah dua bahagian kecil untuk diletak di dalam stokin. Hanya itu yang mampu dilakukan dan saya gagahkan diri untuk tidur semula.

Bangun pagi esoknya, kesejukan sudah kurang tetapi seluruh tubuh terasa sakit. Sakitnya seperti kelebaman selepas ditumbuk atau sakit selepas beberapa hari memaksa tubuh melakukan kerja yang sangat berat. Berjalan pun dengan sangat perlahan, tapak kaki seperti dicucuk-cucuk. Itulah yang orang tua panggil sebagai demam urat, tak pasti apa istilah perubatannya.

Bersambung...



Sunday 19 April 2015

Ulser dan Antara Rawatannya

Teks: NOR AFZAN ABD KADIR
Foto: Google


Sudah beberapa hari tiada entri dari saya. Selain tidak dapat mencari waktu yang sesuai untuk menulis, otak saya juga tidak dapat digunakan secara maksima akibat keletihan dan kesakitan yang dialami.

Sejak Hamza baik daripada demam tempohari, saya perasa satu kelainan padanya iaitu apabila dia menangis, bunyi tangisannya seperti tersekat-sekat. Dia berhenti sekejap-sekejap sambil mulutnya berkecap-kecap kemudian sambung menangis.

Pada mulanya saya tidak mengesyaki apa-apa cuma mungkin ada sesuatu yang sedikit mengganggu dalam mulutnya. Oleh kerana dia masih berkelakuan seperti biasa dan aktif bermain, saya biarkan sahaja.

Masuk hari kedua, dia semakin tidak berminat untuk makan walau dihulur makanan yang disukainya dan hanya meminum air. Saya semakin rasa pelik apabila dia meminta susu tetapi apabila disua, dia menggeleng kepala dan menolak. Tidak pernah dia menolak sebegitu lebih-lebih lagi apabila matanya sudah sangat mengantuk hendak tidur. Dia juga tidak mahu membuka mulut untuk saya lihat apa yang ada di dalamnya.

Pada waktu siang, dia masih dapat 'melupakan' kelaparannya kerana sibuk bermain, namun apabila hendak tidur malam, dia kelihatan seperti sangat sukar untuk lelapkan mata. Penyudahnya, dia menangis tanpa henti memecah kesunyian malam sehingga memaksa orang lain pun berjaga sama. Dipujuk-pujuk tidak jalan.


Ketika dia menjerit-jerit itulah saya berjaya menyuluh ke dalam mulutnya dan ternampak dua ulser (biasa dipanggil mata ikan) di bahagian dalam pipinya sebelah kanan. Tidak pula dapat saya periksa di bahagian lain.

Yakinlah saya sebabnya dia tidak mahu menyusu seperti selalu. Pasti sangat sakit ketika dia hendak menyedutnya. Padanlah untuk berus gigi dan makan apa pun dia tidak mahu. Kasihan anakku.

Ketika itu saya hanya mampu menyapukan madu pada tempat ulser tersebut dalam keadaan dia terjerit-jerit menangis. Saya juga menggunakan picagari untuk memasukkan minyak kelapa dara ke dalam mulutnya beberapa kali. Ya, semuanya secara paksa. Mungkin akibat penat menangis dan mengantuk yang amat, dia mahu menyusu dan lena dengan cepat.

Keesokannya saya keluar untuk menyelesaikan beberapa urusan bersama anak saudara dan berbelanja di Giant termasuk membelikan Hamza buah-buahan untuk dia makan. Di sana juga saya berikan dia sekotak kecil susu segar yang sejuk.

Sampai di rumah, bungkusan tembikai potong itu terus saya masukkan ke bahagian beku. Alhamdulillah, dia suka memakannya walau hanya habis separuh dari satu potongan. Dia turut makan sedikit overnight oat yang saya sediakan di dalam peti sejuk. Selesa mulutnya menerima yang sejuk-sejuk.

Syukur, malam itu tiada lagi tangisan seperti dua malam yang sebelumnya. Hamza sudah sedikit selesa untuk tidur dan menyusu. Cuma saya pula yang mula mengalami kesannya, mendapat sakit kepala dan rasa hendak demam. Akan bersambung pada entri yang berikutnya.

Tuesday 14 April 2015

Jurnal Hari Ini-Pencetak, Kerepek dan Komputer

Teks dan foto: NOR AFZAN ABD KADIR

Laptop sudah boleh diguna!

Memandangkan Hamza sudah sihat betul hari ini (alhamdulillah), maka panjanglah langkah kami untuk melaksanakan pelbagai urusan yang tertangguh sejak hari Jumaat lalu. Saya diserang sakit kepala kemudian Hamza pula demam, memang terkurung di rumah sahajalah kami.

Jam menunjukkan pukul 10.30pagi ketika kami keluar. Destinasi pertama adalah untuk pergi ke kedai pencetak bagi membuat tempahan iklan bercetak untuk tempahan baju raya. Setelah rundingan berlangsung lebih kurang setengah jam, kami ke bank pula di bandar Tiram. Hasrat untuk ke Giant ditangguh pada hari esok, inshaAllah.

Kami bergerak menuju ke Taman Bukit Jaya pula bagi mengambil tempahan kerepek sebanyak sembilan botol saya. Kerepek-kerepek ini mahu dikirim ke Kuala Lumpur melalui saudara yang bercuti hujung minggu pulang ke kampung di Felda Ulu Tebrau.

Saya terperasan di sebelah kedai kerepek itu ada sebuah kedai pencetak juga. Maka saya pun cuba masuk untuk bertanya tentang harga mereka. Rupa-rupanya mereka hanya mengambil tempahan banner dan bunting, tidak mengambil tempahan cetakan di atas kertas.

Seterusnya kami meneruskan perjalanan mencari sebuah kedai servis membaiki komputer di Taman Puteri Wangsa yang dicadangkan oleh kakak. Tujuannya untuk memasang skrin komputer riba saya yang rosak dek dijatuhkan oleh Hamza beberapa minggu yang lalu. Mujur kedainya buka dan boleh disiapkan dalam masa sejam. Setelah tawar-menawar, saya dikenakan caj sebanyak RM35.

Tidak mahu menunggu, saya menuju ke rumah kakak di Jalan Lembing. Sempat saya singgah ke gerai tepi jalan yang menjual pelbagai jenis kuih, makanan dan minuman. Agak menyedihkan, plastik yang dahulunya agak berat untuk belian berjumlah RM8, kali ini sangat ringan.

Nasi lemak bungkus dengan telur separuh yang agak mengecil saiznya kini sudah berharga RM3, dahulu tak silap saya RM2. Kuih-muih yang comel kini dapat dua ketul untuk RM1. Maka sangat terasalah saya sekarang akan kesan GST kepada pengguna, kepada saya sendiri sekurang-kurangnya. Terlintas di kepala, jika membeli nasi bungkus di Giant, sudah boleh dapat dua bungkus nasi bersama lauk yang mengenyangkan.

Sampai dirumah kakak sudah hampir jam 1.00 petang. Berehat seketika, Hamza juga sudah sangat penat diusung keluar masuk kereta banyak kali pada hari ini. Setelah makan dan minum seadanya, saya tidurkan Hamza.

Kemudian saya mendapat khabar bahawa saudara yang akan pulang ke Kuala Lumpur itu akan singgah di rumah emak di Kampung Oren untuk mengambil bungkusan kerepek pada petangnya. Oleh kerana kedai komputer itu akan tutup rehat pada pukul 4petang, maka saya tergesa-gesa keluar pada jam 3.45petang untuk mengambil barang saya.

Sampai-sampai di sana rupanya kedai sudahpun tutup. Maka saya kembali ke rumah kakak dan berkemas untuk pulang, sebelum mereka sampai untuk mengambil kerepek. Dalam perjalanan saya singgah semula ke kedai komputer dan berjaya membawa pulang komputer saya bersama.

Tiba di rumah pula, saya terus memasak nasi dahulu kerana kelaparan dan tak sempat  menjamah nasi bersama asam pedas ikan Mayong di rumah kakak. Tak lama selepas itu, mereka pun sampai dan bungkusan-bungkusan kerepek bertukar tangan.

Agak kepenatan saya hari ini. Cuaca teramat panas dan sudah beberapa hari tidak hujan-hujan lagi seperti sebelum ini. Setiap kali keluar dengan cuaca begini, pasti seluruh baju yang dipakai habis basah lencun dek peluh. Alhamdulillah, bekalan air sehingga kini tidak terputus lagi.

Syukur kepada Allah kerana menyelesaikan banyak urusan penting saya pada hari ini. Semoga kami diberi kekuatan dan kemudahan untuk meneruskan lagi misi kami yang akan bersambung esok. Amin.

Monday 13 April 2015

Dunia Editor Buku

Teks: NOR AFZAN ABD KADIR
Foto: Maktabah Hamizan



Bersuamikan seorang penulis dan editor yang berpengalaman lebih 20 tahun dalam bidangnya memberikan satu perasaan bangga dan teruja pada saya kerana saya dapat belajar dan mahu melakukan yang serupa. Lebih-lebih lagi ianya sangat dekat dengan hati saya dalam dua perkara; buku dan kebebasan bekerja dari rumah.

Pada awal-awal perkahwinan, saya hanya memerhatikan bagaimana suami bekerja. Menjadi penulis dan editor sekian lama dengan sebuah syarikat penerbitan membuatkan hubungan mereka sangat rapat, namun atas dasar tugas rasmi sahaja.

Arwah suami bermula sebagai penulis buku-buku agama pada tahun 80-an. Beliau menghantar karya-karya tulisan beliau kepada ramai penerbit. Artikel-artikel beliau juga banyak yang telah disiarkan dalam akhbar-akhbar tempatan pada waktu itu.

Sehinggalah pada suatu hari sahabat beliau memperkenalkan beliau kepada seorang pemilik syarikat penerbitan yang sedang mencari seorang penulis ketika itu. Dari situlah kerjasama antara mereka bermula.

Setelah menulis berpuluh buah buku, beliau ditawarkan tugasan baharu iaitu untuk mengedit kitab-kitab terjemahan yang diterjemahkan dari bahasa Arab ke bahasa Melayu oleh penterjemah di Indonesia. Hasil terjemahan dalam bahasa Indonesia itu perlu dibahasa Melayukan untuk pasaran di Malaysia, Singapura dan Brunei.

Oleh kerana tugasan baharu itu semakin banyak dan bertambah dari hari ke hari, maka beliau terpaksa melupakan dunia penulisannya untuk memberi tumpuan penuh kepada kerja-kerja mengedit kitab. Perniagaan syarikat penerbitan tersebut juga semakin berkembang dengan pesatnya.

Setiap kali adanya skrip terjemahan yang baharu, pasti pihak syarikat akan menghubungi beliau bagi mendapatkan pandangan sama ada ianya sesuai dan bagus untuk diterbitkan. Jika ada yang beliau rasakan tidak sesuai, skrip itu akan dipulangkan semula kepada penulisnya. Namun situasi ini jarang berlaku.

Untuk skrip-skrip yang dipersetujui untuk diterbitkan, ia akan mula disunting sama ada oleh beliau atau editor yang lain.

Tugas mengedit akan mengambil masa yang lama jika skrip itu adalah untuk kitab yang sangat tebal atau bahasa terjemahan Indonesianya sangat pekat dan sukar difahami malah tidak juga terdapat dalam kamus bahasa Indonesia. Untuk situasi seperti ini, kitab induk dalam bahasa Arab perlu dirujuk untuk pemahaman yang lebih tepat.

Sesuatu yang beliau selalu sebut, kebanyakan yang menterjemah kitab-kitab bahasa Arab ini adalah pensyarah-pensyarah di Indonesia. Mereka sangat rajin dan bersemangat menterjemah. Buktinya, dalam sebulan orang-orang yang sama akan menghantar skrip terjemahan kitab-kitab Arab sekurang-kurangnya sekali.

Ini menunjukkan orang sana sangat mencintai ilmu dan tidak jemu-jemu menjalankan tugas fardhu kifayah ini. Berbeza dengan masyarakat kita, tidak beliau nampak seorang pun di kalangan pensyarah tempatan yang mahu berlumba-lumba melakukan penterjemahan seperti itu. Tetapi jika terjumpa satu-satu terjemahan yang salah, keras sekali bunyi tegurannya sehingga keseluruhan kitab diragui kredibilitinya. Ini sangat mendukacitakan.

Untuk rekod, pada awal perkahwinan beliau telah menunjukkan senarai skrip yang belum mampu untuk beliau kerjakan. Terlalu banyak, ya, memang banyak dan dalam masa yang sama, skrip baru masih datang lagi setiap hari. Manakan mungkin ia semua dapat diselesaikan? Maka itulah kedatangan saya selain anak-anak sedikit sebanyak dapat membantu beliau untuk menyiapkan tugasan-tugasan yang kecil.

Sehingga ke akhir hayat beliau, telah beratus malah mungkin beribu kitab yang telah beliau sunting. Beliau tidak pernah menyimpan rekodnya, malah untuk buku-buku tulisan beliau sendiri, tiada siapa yang tahu berapakah jumlah yang sebenar. Satu tentang diri beliau, hanya dua atau tiga buku yang tertulis nama beliau sendiri (buku-buku awal penulisannya) sebagai penulis atau pengedit, kerana beliau tidak mahu untuk dikenali.

Itulah al-marhum suamiku, guruku dalam bidang pengeditan ini, Hamizan bin Hussin. Semoga coretan ini dapat ditatap sebagai kenangan buat anaknya.


Sunday 12 April 2015

Perjalanan Penyusuan Hamza (Bahagian 2)

Teks: NOR AFZAN ABD KADIR
Foto: Google


Sambungan dari Bahagian 1.

Selain dari faktor ibu dan bayi, faktor persekitaran juga sangat penting untuk menjayakan misi penyusuan susu ibu. Stress, antara yang memberi kesan terhadap pengeluaran susu.

Ketika saya ditahan di wad selama tiga hari bersama Hamza, saya berasa sangat stress bermula hari kedua. Pertama kerana saya sukar membuang air besar dan kerana saya tidak dapat bergerak bebas dan menjalani tempoh berpantang seperti yang sepatutnya. Anak saya pula dicucuk diambil darah setiap hari kerana ingin dipantau keadaannya yang tidak ada apa pun masalahnya.

Hanya setelah hari keempat saya dapat pulang ke rumah, barulah rasa lega. Ketika itulah baru saya boleh berurut, ketika itulah baru saya dapat membeli bengkung badan secara online, memulai tempoh berpantang secara tidak sempurna. Saya juga berpantang sendiri. Suami yang memasakkan dan menyediakan makanan saya seadanya. Jika dia tidak sihat, saya akan melakukannya sendiri.

Penyusuan ketika itu masih berjalan lancar. Sehinggalah setelah seminggu, tiba-tiba saya berasa seram sejuk setelah bangun tidur pada suatu pagi. Terus saya telefon dan tanyakan pada emak, emak mengatakan kemungkinan saya bentan dan meminta saya menghubungi bidan urut semula. Apabila dapat dihubungi, bidan menyarankan saya untuk pergi dapatkan rawatan di hospital. Sangatlah jelas, saya tidak akan pergi.

Emak yang sedang bercuti dari mengajar mengaji ketika itu datang dihantar oleh abang, untuk membantu saya. Ketika itulah saya dapat merasakan kesakitan pada sebelah payudara saya apabila tersentuh. Tahulah saya bahawa demam ini akibat ada salur susu yang tersumbat, menyebabkan kawasan yang terlibat itu mengeras dan menyakitkan.

Merujuk kepada kakak yang berpengalaman menyusukan anak bongsunya lama, saya meminya suami membelikan kobis untuk saya gunakan daunnya sebagai petua untuk surutkan bengkak susu. Namun saya tersilap langkah, bengkak saya hanya pada bahagian yang kecil tetapi saya menggunakan saiz daun kobis yang menutup keseluruhan sebelah dada saya semalaman.

Memang saya berasa tidak sakit lagi keesokan harinya, namun ujian lain pula yang menimpa. Susu saya seperti kering! Hamza banyak menangis seperti tidak dapat susu dari sebelah yang menjadi kesukaan dia untuk menghisap. Saya agak panik ketika itu. Emak membantu dengan menyediakan saya minuman longan kering dengan banyak untuk saya minum bagi membanyakkan susu.

Saya yang tidak lepas dari memegang Hamza sentiasa menyuakan susu yang sebelah lagi kepadanya. Dan dia masih terus menangis. Dalam keadaan kelam kabut itu, saya mencari-cari nombor telefon rakan pembimbing ibu-ibu menyusukan yang berdekatan. Saya terus membuat satu panggilan dan alhamdulillah mendapat pandangan dan tips daripada rakan berpengalaman tersebut.

Katanya kobis memang boleh membantu masalah bengkak susu tetapi hanya dilakukan untuk jangkamasa yang sekejap sahaja. Jadi beliau menasihatkan saya untuk teruskan penyusuan dengan menyuakan anak sebelah yang bermasalah dahulu, biarkan dia terus menghisap walaupun kosong kerana stimulasi itu yang penting bagi meransang pengeluaran semula susu seperti biasa.

Saya pun menurut sahaja saranannya dan alhamdulillah, selepas beberapa minggu akhirnya bekalan susu kembali seperti biasa. Amat penting untuk si ibu tidak panik dan cepat berputus asa lalu mengambil jalan singkat dengan memberikan anak susu formula.

Bersambung...