Tuesday 21 April 2015

Pak Usu Ziarah Dari Kampung

Teks: NOR AFZAN ABD KADIR

Sedang saya dan Hamza berehat-rehat di ruang luar rumah selepas makan petang, tiba-tiba nampak sebuah kereta putih lalu dan berhenti di hadapan rumah jiran sebelah. Sangka saya pasti ibu bapa anak asuh jiran saya yang mahu mengambil anaknya.

Agak lama menunggu mereka hendak turun dari kereta itu, ada seorang yang telah turun dan menuju ke rumah kami. Tertanya-tanya pula saya, siapakah gerangannya. Mungkin kawan kepada abang, tetapi hari itu hari bekerja? Dia memberi salam. Melihatkan saya tertengok-tengok kereta itu, dia pun berkata, "Mak Usu." Oh, seperti dalam mimpi pula rasanya.

Masakan tidak? Untuk setahun sekali di hari raya rombongan dari kampung sampai ke rumah kami pun sukar, inikan pula secara mengejut pada hari biasa. Kami pun bersalaman dan berpelukan menterjemahkan kerinduan akibat lama tidak bertemu.

Pak Usu adalah adik tunggal kepada arwah ayah, mereka hanya dua beradik. Ayah kami pula telah kembali kepada tuhannya ketika saya berusia empat tahun. Atas dasar itulah, hubungan kedua keluarga ini masih rapat walau tinggal berjauhan. Pak Usu dan isteri masih menetap di rumah pusaka yang telah dibina baru, di Kampung Tengah, Muar. Emak pula telah membawa kami berhijrah ke Johor Bahru selepas ayah meninggal dunia.

Kedatangan mereka dibawa oleh salah seorang anak lelaki yang sedang bercuti, yang sekarang menetap di Putrajaya. Rupanya mereka ada urusan di Pejabat Tanah di Nusajaya sebelum itu dan singgah di tempat kami sebelum pulang semula.

Kebetulan emak tiada di rumah, sudah dua malam tidur di rumah kakak. Saya pun terus menelefon kakak untuk memaklumkan. Kakak ipar membantu menyediakan kudapan segera sementara saya membancuh air.

Tak lama kemudian, emak pulang dihantar oleh anak saudara saya. Setelah berbual sedikit sebanyak, emak meminta saya menggorengkan Bihun Tom Yam untuk menjamu tetamu. Dua bungkus bihun goreng dikerjakan oleh saya, kakak ipar dan anak saudara. Alhamdulillah, dapat juga mereka mengalas perut sebelum bergerak pulang ketika Maghrib. Kakak saya pun sempat membuat Puding Roti Bakar untuk mereka bawa pulang. InshaAllah, saya akan kongsikan resepinya dalam entri yang akan datang.

Kebiasaan Pak Usu ini jika bertandang, dia pasti mahu lekas bergerak pulang. Jika anak-anaknya sahaja yang datang, mereka tidak kisah pun untuk bermalam sekali. Dan kelemahan saya pula, dalam situasi-situasi seperti ini, saya tak teringat pun untuk mengambil kamera merakamkan gambar, baik tetamu yang datang bertandang, mahupun menu yang disediakan. Maka tiadalah apa-apa foto untuk catatan kali ini.

Apapun, alhamdulillah, bapa dan ibu saudara tersayang saya dari kampung ini dapat juga sampai melawat kami di sini. Terakhir kami berjumpa adalah ketika mereka datang melawat selepas saya kematian suami hampir dua tahun yang lalu. Kini mereka melihat Hamza yang semakin membesar dan pastinya ada rezeki untuk si kecil ini juga. Alhamdulillah.

Semoga Pak Usu dan Mak Usu sentiasa sihat dan dilindungi Allah selalu. Semoga Allah juga memasukkan mereka berdua ke dalam syurgaNya di akhirat nanti. Amin.

No comments:

Post a Comment