Sunday 12 April 2015

Merawat Anak Demam

Teks dan foto: NOR AFZAN ABD KADIR


Bangun pagi hari ini terasa kehangatan badan Hamza lain macam, tak seperti biasa, tapi tak pula macam demam. Bangun seperti biasa, menjerit dan bergaduh seperti biasa (dengan abang sepupunya berusia dua tahun lapan bulan), makan dan minum juga seperti biasa.

Selepas memandikan dia, dia duduk diam di ruang tamu sambil menghadap adik sepupu kesayangannya (berusia lapan bulan) bermain. Saya menikmati sarapan lontong kering yang dibeli oleh mak di pasar tani pagi tadi dengan aman tanpa gangguan.

Selesai makan, terdengar suara Hamza merengek mahu menangis, tanpa beralih kedudukan. Oh, terima kasih anak sebab bagi mama peluang makan dahulu sampai kenyang. Saya pun terus mendapatkannya. Sebaik mengangkatnya saya rasakan kepala dan badannya telah mula panas. Anak mama sudah mula demam.

Seingat saya yang terakhir dia demam pada bulan September tahun lepas. Saya boleh ingat kerana ada saya ambil gambarnya dan poskan di Facebook. Dia demam dan sembuh dalam masa 24 jam ketika itu. Kemudian jika tak silap saya, dia demam lagi dalam bulan Disember tahun yang sama. Ketika itu hanya seketika panas badannya (dedar) dan saya masih membawa dia keluar ke Giant membeli barang.

Sekarang bulan April dia demam lagi. Tak tahu apa puncanya. Mungkin cuaca panas, mungkin dia kurang meminum air putih dan lebih banyak minum susu segar yang saya belikan tempohari. Tapi lampinnya masih basah dengan banyak ketika mandi pagi tadi. Adakah demam kali ini demam untuk bercakap? :) Sepertimana demam pada September yang lepas saya andaikan demam untuk berjalan :).

Tak kiralah apa puncanya demam itu, yang pasti demam itu baik untuknya. Kebiasaan demam itu adalah apabila badan diserang virus dan sistem pertahanan badan akan bertindak dengan melawan virus itu. Kita tidak perlu untuk terlalu cepat memberikan anak ubat dari klinik atau farmasi apabila anak baru diserang demam. Biarkan sistem badannya menjalankan tugas mereka dahulu. Dengan cara itu, ia dapat melatih supaya badan anak kuat untuk melawan penyakit-penyakit yang berpotensi untuk menyerangnya disebabkan sistem imun yang telah kuat.

Membiarkan di sini bukanlah bermaksud hanya meninggalkan anak bersendirian dan biarkan dia tidur sahaja, membiarkan di sini bermaksud biarkan dia dari dirawat dengan ubat-ubatan kimia. Kita sebagai ibu tetap punya tugas untuk dilakukan bagi membantu anak melawan penyakitnya itu.

Tugas paling utama yang saya lakukan apabila anak demam adalah memandikannya dengan kerap. Jika tidak dapat memandikan, sekurang-kurangnya adalah mengelap atau menuam kepala dan seluruh badannya sehingga ke kaki menggunakan tuala dan air paip dengan kerap atau sehingga suhunya stabil, tidak terlalu panas.

Kawasan-kawasan pelipat (ketiak, leher, atas siku dan bawah lutut) adalah yang paling penting untuk dilap kerana kawasan tersembunyi itu merangkap haba dan haba panas perlu dikeluarkan dari badan. Demam kali ini Hamza tidak mahu bangun dan hanya mahu saya baring di sebelahnya sambil dia menyusu. Saya turutkan sahaja sambil tangan mengelap badannya dengan tuala basah.

Di dapur telah saya jerangkan sup tulang yang biasa saya buatkan untuknya terutama apabila anak tidak sihat. Sup tulang mengandungi khasiat yang diperlukan bagi menggantikan khasiat terutama protein yang hilang dari badan dimakan oleh virus yang menyerang.

Antara ramuan biasa yang digunakan untuk membuat sup ini adalah tulang ayam dari mana-mana bahagian, lobak merah, batang seleri yang direneh bersama-sama bawang besar, bawang putih dan sedikit halia, boleh juga ditumis dahulu dengan minyak zaitun atau minyak kelapa. Ketika memasak, tambahkan dalam sesudu makan cuka epal bagi membantu mengeluarkan khasiat dari dalam tulang dengan lebih baik.

Kebiasaan anak yang kurang sihat akan hilang selera makannya, maka memadailah jika dia dapat menghirup sedikit dari sup tersebut bagi membantu badannya mendapat nutrien yang diperlukan agar 'askar-askar'nya kuat untuk terus berlawan.

Antara remedi lain yang boleh diberi kepada anak yang demam adalah madu asli, minyak kelapa dara dan minyak zaitun yang memang saya beri kepada Hamza setiap hari. Jadi ketika dia tidak sihat, dos akan ditambah kepada dua atau tiga kali setiap hari. Bahagian kepalanya pula boleh dijerlum atau dibasahkan dengan air asam jawa, inshaAllah ia membantu menurunkan suhu dengan cepat.

Untuk waktu tidur malam pula (tidur siang pun boleh), boleh dipakaikan anak dengan stokin bawang putih (garlic socks) atau stokin lemon (lemon socks, boleh juga diganti dengan cuka epal). Untuk garlic socks; tumbuk kasar seulas bawang putih dan letakkan di dalam stokin lalu pakaikan ke anak. Untuk anak yang masih bayi, bolehlah dipakaikan stokin lain dahulu, kemudian pakaikan stokin bawang putih kerana mungkin kulitnya akan menjadi terlalu sensitif jika terus dipakaikan.

Untuk lemon socks, perahkan lemon di dalam semangkuk kecil air dan rendam stokin di dalamnya sebentar kemudian perahkan. Pakaikan ke kaki anak ketika dia hendak tidur. Jika terbangun di waktu malam dan stokin sudah kering, boleh diulangi semula langkah tadi.

Dengan izin Allah, bangun pagi keesokan harinya anak akan lebih bertenaga dan suhunya kembali stabil. Teruskan melakukan remedi di atas sehingga anak betul-betul sihat. Namun jika suhunya tetap naik sehingga 39°c, bolehlah diberikan ubat seperti arahan doktor. Dalam keadaan suhu tidak turun-turun, bawalah anak berjumpa doktor untuk diperoleh diagnosis yang lebih tepat.

Semoga Hamza dan anak-anak lain yang sedang kesakitan sekarang kembali sihat seperti sediakala secepatnya. Amin.


No comments:

Post a Comment