Thursday, 2 April 2015

Pengalaman Berniaga Tepi Jalan

Teks: NOR AFZAN ABD KADIR


Gambar hiasan

Sebenarnya saya sendiri hampir terlupa yang saya pernah ada pengalaman seperti ini. Bila tiba-tiba teringat, maka saya pun berfikir untuk mencoretkan pengalaman singkat itu di sini.

Ianya hanya untuk jangkamasa beberapa bulan sahaja dalam tahun 2007. Ketika itu saya masih tiada pekerjaan tetap setelah meninggalkan dunia audit pada penghujung 2005. Ketika mencari-cari peluang, idea ini datang daripada kakak saya yang kebetulan baharu sahaja mengambil skim pemberhentian wajib akibat penutupan kilang tempatnya bekerja sekian lama.

Kakak sekeluarga telah memulakannya dahulu. Mereka membuka sebuah gerai kecil di tepi jalan di Taman Puteri Wangsa. Dengan hanya membentangkan dua buah meja kecil, sebatang payung besar dan beberapa buah kerusi untuk duduk, mereka mula menjual beberapa jenis makanan pagi seperti lontong, bihun, mee, kuey teow, kuih-muih dan air minuman panas. Seorang lagi kakak menyediakan nasi lemak untuk dijual. Sambutan agak menggalakkan kerana ia merupakan jalan utama bagi penduduk di taman yang agak baru di sekitar itu. Setelah beberapa hari, saya pula menyertai mereka dengan menjual sandwich (sardin, tuna dan telur) dan puding roti ciptaan sendiri.

Seawal pagi sesudah Subuh saya akan keluar bersama barang niaga menuju ke gerai tersebut. Kedudukan saya yang paling jauh mengambil masa kira-kira 15minit membuatkan saya sampai ketika hari sudah terang dan kanak-kanak sudahpun menaiki bas ke sekolah pada kebiasaannya. Setelah kanak-kanak ke sekolah, kumpulan pelanggan berikutnya terdiri dari golongan pekerja pula. Ada beberapa pelanggan yang menjadi pembeli tetap kami. Dan puding roti saya pula ada peminatnya yang tersendiri.

Apabila jam menunjukkan pukul 10.30 pagi, orang yang lalu lalang sudah mulai reda. Yang ke pejabat sudah di pejabat, yang ke kilang mengikut shif masing-masing. Kami pun mula untuk berkemas-kemas dan membahagikan baki-baki makanan yang tidak terjual. Adat berniaga, ada harinya segala yang dijual terjual, ada harinya sangat kurang jualan.

Dalam perjalanan pulang ke rumah, saya akan singgah ke kedai berhampiran untuk membeli stok roti, sardin, telur dan sebagainya untuk jualan pada hari esok. Ya, duit ketika itu sentiasa berpusing, sebagai modal dan hasil setiap hari. Sampai di rumah, setelah menyimpan barang-barang, saya mula mencatat jumlah duit keluar masuk pada hari itu. Setelah beberapa lama, saya sendiri jadi tidak pasti dengan apa yang saya lakukan, kerana kelihatannya acapkali duit yang keluar melebihi dari duit yang masuk, dan jumlah untung yang dilihat pun terlalu sedikit. Sehingga berasakan bahawa saya cuma menolong orang ramai membelikan barang dan menyediakan makanan pagi buat mereka :)

Oleh kerana volum yang saya hasilkan setiap hari adalah kecil dan saya membeli bahan mentah pula pada harga runcit, ditambah plastik yang saya gunakan itu pula agak mahal untuk membungkus sandwich, makanya tidak hairanlah jika begitu rupa rekod kewangan perniagaan saya. Makanan jenis sandwich pula tidak begitu mendapat sambutan selain sifatnya yang tidak tahan lama, menyumbang kepada kerugian itu. Kerana itu saya menganggap berniaganya saya ketika itu adalah sebagai memulakan langkah pertama dan mengumpul pengalaman yang mungkin berharga pada masa akan datang.

Hanya beberapa bulan setelah saya berniaga seperti itu, saya berhenti kerana mendapat tawaran untuk bekerja sebagai kerani akaun dengan sebuah syarikat penjual motorsikal di Masai. Kakak saya tetap meneruskan perniagaan seperti biasa.

Selepas beberapa tahun, kini tidak jauh dari tempat tersebut telah didirikan sebuah warung lengkap dengan meja dan kerusi makan untuk pelanggan. Kakak saya pula telah pun memiliki sebuah syarikat pengangkutan bas sekolah yang telah beberapa tahun beroperasi dengan jayanya, alhamdulillah. Saya? InshaAllah bakal bergelar usahawan dari rumah yang berjaya juga suatu hari nanti, amin.

Pendapat saya, meniaga makanan ini adalah menguntungkan jika kita tahu di mana lokasi yang patut, apa yang pelanggan mahu, boleh mendapatkan bekalan bahan mentah pada harga yang baik, kerja berpasukan untuk menghasilkan volum yang tinggi. Dan yang paling penting, masakan kita haruslah enak! Itu yang akan membuatkan pelanggan kita sentiasa teringat-ingat.

Kepada yang ingin menceburi bidang perniagaan seperti ini, semoga berjaya!

No comments:

Post a Comment