Showing posts with label Catatan Pengalaman. Show all posts
Showing posts with label Catatan Pengalaman. Show all posts

Thursday, 7 May 2015

Gendong Anak

Teks: NOR AFZAN ABD KADIR
Foto: Google


Selama sembilan bulan seorang bayi berada di dalam alam yang gelap, suam dan sempit. Kaki tangannya sentiasa terlipat akibat ruangan yang sangat terhad terutama di trimester terakhir kehamilan. Pun begitu, dia masih seronok bermain, menendang, berpusing kerana dia tahu dan rasa dia selamat.

Namun, saat pertama dia lahir menjengah dunia, segala-galanya berubah. Ruang terbuka seluas-luasnya, dengan suhu yang sejuk, pastinya dia berada dalam keadaan terpinga-pinga, terkejut dan takut. Lalu apakah yang dapat dia lakukan untuk menterjemahkan perasaannya ketika itu? Ya, hanya menangis.

Bayi di awal-awal kehidupannya, selagi dia masih belum tahu dan mampu mengawal emosinya, pasti menangis untuk segala unsur ketidakselesaan yang dia alami. Ibu bapa muda pula kebiasaannya pasti tertekan dengan keadaan ini.

Lalu apakah yang boleh dilakukan oleh ibu bapa saat anak menangis sesudah dipastikan perutnya diisi, lampinnya ditukar, ngantuknya telah hilang?

Kendong. Usahkan kata bayi kecil, anak yang sudah besar pun suka dikendong. Tidak kira didukung dengan tangan atau dengan alat sokongan, ia tetap menjadi pilihan.

Kerana matlamat untuk digendong itu sama, iaitu berada dekat dan selamat dengan si ibu atau penggendongnya.

Terdapat pelbagai jenis alat gendong yang dijual di pasaran, yang mahal dan yang murah. Namun yang bagaimanakah yang sepatutnya menjadi pilihan?

Pilihlah yang selamat, berkualiti dan selesa bagi si pemakai dan bayi yang dipakai. Para ibu bapa seharusnya tahu apa yang selamat dan apa yang tidak patut dalam pemilihan alat gendongan kerana yang akan dibawa itu adalah anak mereka yang sangat tidak ternilai harganya.


Saya mendapat ilmu mengenai gendongan bayi ini juga agak lewat, setelah Hamza berusia setahun. Sebelum itu saya memang sudah membeli kain gendong yang dipanggil ring sling sejak Hamza di dalam kandungan lagi.

Namun setelah Hamza semakin membesar dan saya terasa sakit-sakit badan setelah mendukungnya agak lama, saya mula mencari jenis gendongan yang lebih sesuai dan selesa. Dan saya memperoleh banyak ilmu menerusi grup Facebook Malaysian Babywearers.

Syarat-syarat gendongan yang selamat

Terdapat pelbagai jenis penggendong yang sesuai untuk dipakaikan ke anak mengikut usia dan perkembangan mereka. Contoh yang paling mudah, murah juga selamat adalah penggunaan kain batik lepas, sangat sesuai dipakai ketika bayi baru lahir.

Untuk Hamza yang sudah pun setahun setengah ketika itu, saya memilih Soft Structured Carrier (SSC). Dan rezeki kami mendapat SSC keluaran tempatan pada harga yang agak murah.


Alhamdulillah, saya dan anak selesa memakainya. Kini, ke mana-mana kami pergi saya pasti akan bawa SSC ini bersama. Hanya satu ini sahajalah pun yang kami mampu ada.

SSC mudahnya kerana ia menggunakan penetap (buckle) sepenuhnya. Terdapat juga Mei Tai yang perlu diikat mengikut keselesaan si pemakai manakala wrap adalah yang paling selesa tetapi pemakai perlu belajar dan mahir tentang jenis ikatan-ikatannya.

Itulah antara alat gendongan yang selamat dan ergonomik untuk dipakai. Ia memberi keselesaan optimum kepada si pemakai dan anak yang dipakainya. Untuk yang tercari-cari penggendong yang sesuai, silalah bandingkan pilihan-pilihan yang ada dan dapatkan harga yang terbaik mengikut bajet anda.

Selamat menggendong!

Monday, 13 April 2015

Dunia Editor Buku

Teks: NOR AFZAN ABD KADIR
Foto: Maktabah Hamizan



Bersuamikan seorang penulis dan editor yang berpengalaman lebih 20 tahun dalam bidangnya memberikan satu perasaan bangga dan teruja pada saya kerana saya dapat belajar dan mahu melakukan yang serupa. Lebih-lebih lagi ianya sangat dekat dengan hati saya dalam dua perkara; buku dan kebebasan bekerja dari rumah.

Pada awal-awal perkahwinan, saya hanya memerhatikan bagaimana suami bekerja. Menjadi penulis dan editor sekian lama dengan sebuah syarikat penerbitan membuatkan hubungan mereka sangat rapat, namun atas dasar tugas rasmi sahaja.

Arwah suami bermula sebagai penulis buku-buku agama pada tahun 80-an. Beliau menghantar karya-karya tulisan beliau kepada ramai penerbit. Artikel-artikel beliau juga banyak yang telah disiarkan dalam akhbar-akhbar tempatan pada waktu itu.

Sehinggalah pada suatu hari sahabat beliau memperkenalkan beliau kepada seorang pemilik syarikat penerbitan yang sedang mencari seorang penulis ketika itu. Dari situlah kerjasama antara mereka bermula.

Setelah menulis berpuluh buah buku, beliau ditawarkan tugasan baharu iaitu untuk mengedit kitab-kitab terjemahan yang diterjemahkan dari bahasa Arab ke bahasa Melayu oleh penterjemah di Indonesia. Hasil terjemahan dalam bahasa Indonesia itu perlu dibahasa Melayukan untuk pasaran di Malaysia, Singapura dan Brunei.

Oleh kerana tugasan baharu itu semakin banyak dan bertambah dari hari ke hari, maka beliau terpaksa melupakan dunia penulisannya untuk memberi tumpuan penuh kepada kerja-kerja mengedit kitab. Perniagaan syarikat penerbitan tersebut juga semakin berkembang dengan pesatnya.

Setiap kali adanya skrip terjemahan yang baharu, pasti pihak syarikat akan menghubungi beliau bagi mendapatkan pandangan sama ada ianya sesuai dan bagus untuk diterbitkan. Jika ada yang beliau rasakan tidak sesuai, skrip itu akan dipulangkan semula kepada penulisnya. Namun situasi ini jarang berlaku.

Untuk skrip-skrip yang dipersetujui untuk diterbitkan, ia akan mula disunting sama ada oleh beliau atau editor yang lain.

Tugas mengedit akan mengambil masa yang lama jika skrip itu adalah untuk kitab yang sangat tebal atau bahasa terjemahan Indonesianya sangat pekat dan sukar difahami malah tidak juga terdapat dalam kamus bahasa Indonesia. Untuk situasi seperti ini, kitab induk dalam bahasa Arab perlu dirujuk untuk pemahaman yang lebih tepat.

Sesuatu yang beliau selalu sebut, kebanyakan yang menterjemah kitab-kitab bahasa Arab ini adalah pensyarah-pensyarah di Indonesia. Mereka sangat rajin dan bersemangat menterjemah. Buktinya, dalam sebulan orang-orang yang sama akan menghantar skrip terjemahan kitab-kitab Arab sekurang-kurangnya sekali.

Ini menunjukkan orang sana sangat mencintai ilmu dan tidak jemu-jemu menjalankan tugas fardhu kifayah ini. Berbeza dengan masyarakat kita, tidak beliau nampak seorang pun di kalangan pensyarah tempatan yang mahu berlumba-lumba melakukan penterjemahan seperti itu. Tetapi jika terjumpa satu-satu terjemahan yang salah, keras sekali bunyi tegurannya sehingga keseluruhan kitab diragui kredibilitinya. Ini sangat mendukacitakan.

Untuk rekod, pada awal perkahwinan beliau telah menunjukkan senarai skrip yang belum mampu untuk beliau kerjakan. Terlalu banyak, ya, memang banyak dan dalam masa yang sama, skrip baru masih datang lagi setiap hari. Manakan mungkin ia semua dapat diselesaikan? Maka itulah kedatangan saya selain anak-anak sedikit sebanyak dapat membantu beliau untuk menyiapkan tugasan-tugasan yang kecil.

Sehingga ke akhir hayat beliau, telah beratus malah mungkin beribu kitab yang telah beliau sunting. Beliau tidak pernah menyimpan rekodnya, malah untuk buku-buku tulisan beliau sendiri, tiada siapa yang tahu berapakah jumlah yang sebenar. Satu tentang diri beliau, hanya dua atau tiga buku yang tertulis nama beliau sendiri (buku-buku awal penulisannya) sebagai penulis atau pengedit, kerana beliau tidak mahu untuk dikenali.

Itulah al-marhum suamiku, guruku dalam bidang pengeditan ini, Hamizan bin Hussin. Semoga coretan ini dapat ditatap sebagai kenangan buat anaknya.


Sunday, 12 April 2015

Perjalanan Penyusuan Hamza (Bahagian 2)

Teks: NOR AFZAN ABD KADIR
Foto: Google


Sambungan dari Bahagian 1.

Selain dari faktor ibu dan bayi, faktor persekitaran juga sangat penting untuk menjayakan misi penyusuan susu ibu. Stress, antara yang memberi kesan terhadap pengeluaran susu.

Ketika saya ditahan di wad selama tiga hari bersama Hamza, saya berasa sangat stress bermula hari kedua. Pertama kerana saya sukar membuang air besar dan kerana saya tidak dapat bergerak bebas dan menjalani tempoh berpantang seperti yang sepatutnya. Anak saya pula dicucuk diambil darah setiap hari kerana ingin dipantau keadaannya yang tidak ada apa pun masalahnya.

Hanya setelah hari keempat saya dapat pulang ke rumah, barulah rasa lega. Ketika itulah baru saya boleh berurut, ketika itulah baru saya dapat membeli bengkung badan secara online, memulai tempoh berpantang secara tidak sempurna. Saya juga berpantang sendiri. Suami yang memasakkan dan menyediakan makanan saya seadanya. Jika dia tidak sihat, saya akan melakukannya sendiri.

Penyusuan ketika itu masih berjalan lancar. Sehinggalah setelah seminggu, tiba-tiba saya berasa seram sejuk setelah bangun tidur pada suatu pagi. Terus saya telefon dan tanyakan pada emak, emak mengatakan kemungkinan saya bentan dan meminta saya menghubungi bidan urut semula. Apabila dapat dihubungi, bidan menyarankan saya untuk pergi dapatkan rawatan di hospital. Sangatlah jelas, saya tidak akan pergi.

Emak yang sedang bercuti dari mengajar mengaji ketika itu datang dihantar oleh abang, untuk membantu saya. Ketika itulah saya dapat merasakan kesakitan pada sebelah payudara saya apabila tersentuh. Tahulah saya bahawa demam ini akibat ada salur susu yang tersumbat, menyebabkan kawasan yang terlibat itu mengeras dan menyakitkan.

Merujuk kepada kakak yang berpengalaman menyusukan anak bongsunya lama, saya meminya suami membelikan kobis untuk saya gunakan daunnya sebagai petua untuk surutkan bengkak susu. Namun saya tersilap langkah, bengkak saya hanya pada bahagian yang kecil tetapi saya menggunakan saiz daun kobis yang menutup keseluruhan sebelah dada saya semalaman.

Memang saya berasa tidak sakit lagi keesokan harinya, namun ujian lain pula yang menimpa. Susu saya seperti kering! Hamza banyak menangis seperti tidak dapat susu dari sebelah yang menjadi kesukaan dia untuk menghisap. Saya agak panik ketika itu. Emak membantu dengan menyediakan saya minuman longan kering dengan banyak untuk saya minum bagi membanyakkan susu.

Saya yang tidak lepas dari memegang Hamza sentiasa menyuakan susu yang sebelah lagi kepadanya. Dan dia masih terus menangis. Dalam keadaan kelam kabut itu, saya mencari-cari nombor telefon rakan pembimbing ibu-ibu menyusukan yang berdekatan. Saya terus membuat satu panggilan dan alhamdulillah mendapat pandangan dan tips daripada rakan berpengalaman tersebut.

Katanya kobis memang boleh membantu masalah bengkak susu tetapi hanya dilakukan untuk jangkamasa yang sekejap sahaja. Jadi beliau menasihatkan saya untuk teruskan penyusuan dengan menyuakan anak sebelah yang bermasalah dahulu, biarkan dia terus menghisap walaupun kosong kerana stimulasi itu yang penting bagi meransang pengeluaran semula susu seperti biasa.

Saya pun menurut sahaja saranannya dan alhamdulillah, selepas beberapa minggu akhirnya bekalan susu kembali seperti biasa. Amat penting untuk si ibu tidak panik dan cepat berputus asa lalu mengambil jalan singkat dengan memberikan anak susu formula.

Bersambung...

Tuesday, 7 April 2015

Perjalanan Penyusuan Hamza (Bahagian 1)

Teks: NOR AFZAN ABD KADIR
Foto: Google


Pertama kali saya didedahkan dengan dunia penyusuan susu ibu ini adalah ketika masih bekerja dan menetap di Kuala Lumpur, tahun 2008. Seorang sahabat yang saya kenali melalui forum agama di alam maya yang mula membuka mata saya mengenai topik ini. Beliau seorang doktor, pensyarah dan ketika itu sedang melanjutkan pengajiannya dalam bidang penyusuan yang akan menggelarkannya seorang konsultan penyusuan susu ibu yang bertauliah.

Pada setiap kelapangan, pasti beliau akan membawa saya pergi ke program-program yang berkaitan dengan susu ibu. Walaupun pergi dengan tidak sepenuh hati kerana berasakan yang saya belum lagi berada di dalam kelompok itu, namun saya amat bersyukur kerana sekurang-kurangnya, kesan dari menyertai program-program tersebut telah menguatkan niat dan azam saya untuk menyusukan anak ketika saya mula mengandung beberapa tahun selepas itu.

Sejak awal kandungan lagi, saya berdoa memohon agar Allah Subhanahu wata'ala izinkan saya untuk melahirkan anak dengan selamat di rumah dan menyusukan anak saya sehingga dua tahun. Tanpa gagal, itulah doa saya pada sujud terakhir setiap kali solat. Dan alhamdulillah, Allah telah pun memberikan saya kemampuan untuk melakukannya, bukan melalui jalan yang mudah, tetapi sehingga kini saya masih melakukannya. Alhamdulillah.

Susu ibu, tidak kiralah daripada ibu sendiri atau ibu susuan, tidak akan ada yang dapat menyangkal akan kebaikannya melebihi susu-susu yang lain. Walaupun ketika si ibu sedang sakit, susunya masih yang terbaik dan bermanfaat buat anaknya. Tidak ada juga istilah bahawa kebolehan menyusukan anak ini bergantung kepada faktor keturunan dan juga bentuk badan. Dalam kalangan ahli keluarga saya sendiri mempunyai kepercayaan bahawa kami yang perempuan adalah keturunan tidak banyak susu. Namun itu tidak sedikitpun saya percaya. Satu-satunya yang penting bagi memastikan kejayaan penyusuan adalah dengan ilmu.

Penyusuan anak adalah perkara kedua terpenting yang saya titik-beratkan sepanjang kehamilan selepas menggali ilmu untuk mendapatkan proses kelahiran yang alami. Malah persiapan untuk si kecil seperti pakaian dan alatan-alatan lainnya, saya sediakan secara ala kadar sahaja. Kebanyakan masa saya habis digunakan untuk membaca dan belajar dari ibu-ibu yang berpengalaman. Jangan anggap bahawa setiap ibu akan mampu menyusukan dengan baik sejurus selepas bersalin.

Jika dirasakan telah banyak membaca pun, tidak semua ibu mampu memberikan susu kepada anak sebaik dia lahir. Selain diri sendiri yang perlu ada keyakinan yang tinggi, peranan dan sokongan orang-orang terdekat juga turut merupakan faktor yang penting bagi memastikan kejayaan misi ini. Banyak cerita yang kita dengar mengatakan susu tidak keluar selepas melahirkan kerana mereka menjangkakan susu akan keluar mencurah-curah pada hari-hari pertama selepas melahirkan. Ini sangat tidak masuk akal jika kita mengetahui sebesar apakah saiz perut bayi ketika itu. Bayi hanya memerlukan beberapa titis susu ibu selepas dilahirkan. Dan susu yang berwarna kekuningan yang dipanggil kolustrum ketika awal kelahiran yang dianggap susu basi oleh sesetengah orang itulah yang paling penting untuk diberikan kepada bayi.

Sejurus Hamza dilahirkan, ketika dia dilihat seperti mencari-cari sesuatu, saya terus memberikannya susu. Cara lekapan yang betul diajarkan oleh sahabat saya ketika itu. Stimulasi seperti itu sangat penting. Hisapan itulah yang menghantar isyarat kepada otak bahawa susu diperlukan untuk dihasilkan kerana adanya permintaan. Ditambah pula susu ibu sangat mudah untuk dihadam dan dengan perut yang sekecil itu, maka sangat patutlah bayi ingin menyusu dengan sangat kerap pada hari-hari awal kelahirannya.

(Bersambung...)

Thursday, 2 April 2015

Pengalaman Berniaga Tepi Jalan

Teks: NOR AFZAN ABD KADIR


Gambar hiasan

Sebenarnya saya sendiri hampir terlupa yang saya pernah ada pengalaman seperti ini. Bila tiba-tiba teringat, maka saya pun berfikir untuk mencoretkan pengalaman singkat itu di sini.

Ianya hanya untuk jangkamasa beberapa bulan sahaja dalam tahun 2007. Ketika itu saya masih tiada pekerjaan tetap setelah meninggalkan dunia audit pada penghujung 2005. Ketika mencari-cari peluang, idea ini datang daripada kakak saya yang kebetulan baharu sahaja mengambil skim pemberhentian wajib akibat penutupan kilang tempatnya bekerja sekian lama.

Kakak sekeluarga telah memulakannya dahulu. Mereka membuka sebuah gerai kecil di tepi jalan di Taman Puteri Wangsa. Dengan hanya membentangkan dua buah meja kecil, sebatang payung besar dan beberapa buah kerusi untuk duduk, mereka mula menjual beberapa jenis makanan pagi seperti lontong, bihun, mee, kuey teow, kuih-muih dan air minuman panas. Seorang lagi kakak menyediakan nasi lemak untuk dijual. Sambutan agak menggalakkan kerana ia merupakan jalan utama bagi penduduk di taman yang agak baru di sekitar itu. Setelah beberapa hari, saya pula menyertai mereka dengan menjual sandwich (sardin, tuna dan telur) dan puding roti ciptaan sendiri.

Seawal pagi sesudah Subuh saya akan keluar bersama barang niaga menuju ke gerai tersebut. Kedudukan saya yang paling jauh mengambil masa kira-kira 15minit membuatkan saya sampai ketika hari sudah terang dan kanak-kanak sudahpun menaiki bas ke sekolah pada kebiasaannya. Setelah kanak-kanak ke sekolah, kumpulan pelanggan berikutnya terdiri dari golongan pekerja pula. Ada beberapa pelanggan yang menjadi pembeli tetap kami. Dan puding roti saya pula ada peminatnya yang tersendiri.

Apabila jam menunjukkan pukul 10.30 pagi, orang yang lalu lalang sudah mulai reda. Yang ke pejabat sudah di pejabat, yang ke kilang mengikut shif masing-masing. Kami pun mula untuk berkemas-kemas dan membahagikan baki-baki makanan yang tidak terjual. Adat berniaga, ada harinya segala yang dijual terjual, ada harinya sangat kurang jualan.

Dalam perjalanan pulang ke rumah, saya akan singgah ke kedai berhampiran untuk membeli stok roti, sardin, telur dan sebagainya untuk jualan pada hari esok. Ya, duit ketika itu sentiasa berpusing, sebagai modal dan hasil setiap hari. Sampai di rumah, setelah menyimpan barang-barang, saya mula mencatat jumlah duit keluar masuk pada hari itu. Setelah beberapa lama, saya sendiri jadi tidak pasti dengan apa yang saya lakukan, kerana kelihatannya acapkali duit yang keluar melebihi dari duit yang masuk, dan jumlah untung yang dilihat pun terlalu sedikit. Sehingga berasakan bahawa saya cuma menolong orang ramai membelikan barang dan menyediakan makanan pagi buat mereka :)

Oleh kerana volum yang saya hasilkan setiap hari adalah kecil dan saya membeli bahan mentah pula pada harga runcit, ditambah plastik yang saya gunakan itu pula agak mahal untuk membungkus sandwich, makanya tidak hairanlah jika begitu rupa rekod kewangan perniagaan saya. Makanan jenis sandwich pula tidak begitu mendapat sambutan selain sifatnya yang tidak tahan lama, menyumbang kepada kerugian itu. Kerana itu saya menganggap berniaganya saya ketika itu adalah sebagai memulakan langkah pertama dan mengumpul pengalaman yang mungkin berharga pada masa akan datang.

Hanya beberapa bulan setelah saya berniaga seperti itu, saya berhenti kerana mendapat tawaran untuk bekerja sebagai kerani akaun dengan sebuah syarikat penjual motorsikal di Masai. Kakak saya tetap meneruskan perniagaan seperti biasa.

Selepas beberapa tahun, kini tidak jauh dari tempat tersebut telah didirikan sebuah warung lengkap dengan meja dan kerusi makan untuk pelanggan. Kakak saya pula telah pun memiliki sebuah syarikat pengangkutan bas sekolah yang telah beberapa tahun beroperasi dengan jayanya, alhamdulillah. Saya? InshaAllah bakal bergelar usahawan dari rumah yang berjaya juga suatu hari nanti, amin.

Pendapat saya, meniaga makanan ini adalah menguntungkan jika kita tahu di mana lokasi yang patut, apa yang pelanggan mahu, boleh mendapatkan bekalan bahan mentah pada harga yang baik, kerja berpasukan untuk menghasilkan volum yang tinggi. Dan yang paling penting, masakan kita haruslah enak! Itu yang akan membuatkan pelanggan kita sentiasa teringat-ingat.

Kepada yang ingin menceburi bidang perniagaan seperti ini, semoga berjaya!

Monday, 30 March 2015

Pengalaman Masuk Mahkamah (Lelong)

Teks: NOR AFZAN ABD KADIR


Masuk mahkamah.
Macam seram bunyinya kan? Bukan sebab kes jenayah atau nikah kahwin, tapi untuk membeli rumah lelongan awam. Ada sesiapa daripada pembaca blog ini yang pernah melalui pengalaman yang sama malah sudah berjaya pun memiliki rumah lelong? Silalah kongsikan pengalaman anda supaya ada yang mendapat manfaatnya.

Saya hanya ada sekali sahaja pengalaman pergi membida (bid) untuk rumah lelong ini di mahkamah. Sudah lama pun, pada penghujung tahun 2013 yang lepas.

Alkisahnya ketika itu (selepas kehilangan suami), saya berasakan bahawa saya amat perlu memiliki sebuah rumah untuk saya dan anak saya diami. Memandangkan saya sudah teramat biasa hidup berdikari, jadi saya percaya yang saya tidak boleh untuk tinggal bersama dengan orang lain, walau ahli keluarga sendiri. Maka misi pencarian rumah yang murah pun bermula.

Antara pilihan untuk mendapatkan rumah pada harga yang murah adalah dengan membeli rumah lelong, maka adalah saya pada suatu hari terjumpa dengan iklan sebuah rumah yang berada dalam kawasan yang sangat dekat dengan ahli keluarga yang lain. Saya hubungi nombor pada iklan tersebut dan diminta untuk memberikan maklumat peribadi. Setelah itu, saya diberikan dokumen proklamasi jualan (Proclamation of Sale) rumah tersebut untuk diteliti dan dapatkan alamat penuhnya. Dari lawatan saya ke tempat tersebut, saya dapati keadaannya dari luar adalah sangat baik dan lokasinya juga sangat strategik.

Saya kemudian diminta pergi ke bank untuk membuat sebuah draf bank sebagai syarat bagi meletakkan deposit sebanyak sepuluh peratus dari harga rezab rumah tersebut. Draf bank itu perlu dihantar kepada ejen sebelum hari lelongan diadakan di mahkamah.

Tibalah hari lelongan. Saya ditemani dan dibawa oleh abang dan keluarganya yang kebetulan cuti pada hari itu. Seawal pagi kami berenam (tiga dewasa dan tiga anak kecil) keluar rumah menuju ke mahkamah yang dimaksudkan di pusat bandar. Sudah seperti satu rombongan ke mahkamah gayanya. Dengan keadaan Hamza yang baharu lima bulan ketika itu, mana mungkin dia dibawa masuk ke dalam kamar lelongan bukan? Jadi keluarga abanglah penyelamatnya.

Apabila hampir waktu lelongan, nama saya dipanggil dan sekeping kad diberi oleh petugas di sana. Ejen yang saya hubungi itu mengiringi saya masuk ke dalam kamar mahkamah dan duduk di sebelah. Agak ramai rupanya yang ingin mendapatkan rumah tersebut, masing-masing mengambil tempat dan ditemani ejen mereka. Saya kira ada sekitar 20 orang pembida ketika itu.

Di hadapan kami ada sebuah meja di atas pentas yang akan diduduki oleh seorang hakim. Agak lama menanti kemunculannya. Setelah muncul pula, beliau memeriksa dan membelek-belek satu persatu dokumen di atas meja, seperti ada yang tidak kena.

Dalam kesempatan menunggu, si ejen bercerita tentang fenomena rumah lelong ketika ini. Katanya semakin ramai orang mahu membeli rumah lelong sekarang, setiap kali ada bidaan, pasti kamar mahkamah hampir penuh. Jika dibandingkan keadaan sepuluh tahun dahulu, kamar mahkamah pasti lengang, mungkin hanya ada seorang dua yang berminat untuk membida dan pastinya peluang untuk mereka mendapatkan rumah tersebut pada harga rezab adalah tinggi. Agak menyedihkan saya mendengarnya.

Tiba-tiba, sang hakim di depan berdiri dan membuat pengumuman supaya kami pulang kerana sesi lelongan dibatalkan (called off). Seakan sudah dapat mengagak sedari awal, ejen memberitahu bahawa tarikh lelongan pada hari tersebut adalah tidak sah. Yang demikian kerana tempoh masa rumah tersebut sah untuk dibuka kepada lelongan awam adalah belum dipenuhi, dengan kata lain, rumah tersebut masih belum boleh dilelong pada waktu itu. Tarikh yang sepatutnya akan diumumkan kemudian.

Kami pun keluar dan mendapatkan kembali draf bank kami dari kaunter yang berkenaan. Saya kemudian keluar menuju ke arah keluarga yang sabar menunggu dengan langkah yang longlai. Dalam perjalanan pulang, saya singgah ke bank semula untuk membatalkan draf bank dan mendapatkan wang deposit yang telah dibayar.

Itulah kisah saya pergi ke mahkamah untuk membida rumah lelongan awam. Rasa kecewa? Tidak. Ianya memberikan saya sebuah pengalaman yang mungkin berguna untuk masa hadapan. Lagi pula, setiap yang berlaku itu pasti ada hikmahnya, bukan?

Sesiapa yang ingin mencuba nasib mendapatkan rumah lelong, mungkin perkongsian saya ini dapat memberikan sedikit gambaran. Semoga bermanfaat.


Thursday, 26 March 2015

Minyak Kelapa Dara (VCO)

Teks dan foto: NOR AFZAN ABD KADIR


Kelihatan resit Cosway di situ? Sebenarnya nak cerita yang bulan ini ada tawaran menarik dari Cosway untuk produk Virgin Coconut Oil (VCO) keluaran Country Farm ini. Dua botol 500ml berharga RM59 sahaja (harga biasa RM36.90 sebotol). Mujur sempat untuk saya dapatkan sebelum akhir bulan ini. Saya bukan ahli Cosway namun saya mendapat maklumat ini daripada rakan yang berkongsi di facebook (terima kasih rakan!) beberapa minggu yang lalu.

Buat yang baharu kenal dan belum pernah mengambil VCO ini tentu akan bertanya; ada apa dengan VCO? Seperti saya sendiri yang sudah agak lama mendengar tentangnya namun tak pernah pun terfikir untuk mencari sehinggalah ketika saya berada pada trimester terakhir kehamilan. Dari maklumat yang saya baca, VCO amat bagus untuk diamalkan pada penghujung kehamilan atas sebab kebaikannya yang sangat banyak.

VCO yang bagus untuk dimiliki adalah yang dihasilkan melalui kaedah perahan sejuk (cold pressed), tidak disuling (unrefined) dan penanamannya secara organik. Akhir-akhir ini terdapat pelbagai keluaran VCO dari banyak pengeluar dengan jenama masing-masing. Saya hanya pernah mencuba tiga jenama yang setiap satunya memberikan rasa yang berlainan. Jika ditanya pada saya mana satu yang terbaik, saya akan katakan saya memilih yang paling ekonomi dan rasanya 'ringan'. Itulah jenama Country Farm yang paling lama saya dan anak gunakan.

Ingin saya berkongsi sedikit di sini manfaat-manfaat yang ada pada VCO dari apa yang sendiri rasai dan melalui pembacaan. Jika dibuat pencarian, kita akan berjumpa dengan pelbagai khasiat dan kebaikan yang ada pada VCO. Antaranya seperti di bawah:

1) Memudahkan pembuangan air besar bagi yang mengalami masalah sembelit. Ini sangat membantu terutama ketika mengandung dan selepas melahirkan yang mana masalah sukar membuang air akan dialami oleh ramai wanita. Ia juga membantu bayi dan anak kecil yang mengalami masalah yang sama.

2) Aplikasi VCO pada kawasan perineum pada akhir kehamilan akan membantu mengelastikkan lagi pembukaan faraj wanita bagi membantu memudahkan kelahiran. Terdapat ramai yang berkongsi bahawa jika dilakukan secara kerap dan betul, tidak akan berlaku sebarang koyakan yang memerlukan jahitan ketika melahirkan. Jika di hospital, prosedur episiotomi juga dapat dielakkan.

3) Untuk yang menderita penyakit kulit seperti ekzema juga bagus untuk menggunakannya, untuk sapuan dan juga dimakan. Namun perlu untuk diuji dahulu kesesuaian kulit dengan melakukan 'patch test' di mana sedikit VCO dioles pada kawasan tersembunyi di bahagian tubuh yang mengalami masalah dan lihat jika terdapat kesan yang lebih teruk selepas beberapa ketika. Jika tiada maka bolehlah digunakan VCO bagi tujuan memulihkan ekzema.

4) Menggantikan minyak bayi (baby oil) komersial yang kebanyakannya mengandungi bahan kimia yang tidak bagus untuk disapu pada kulit bayi. Kulit bayi akan sentiasa lembab dan tidak perlu lagi disapukan bedak talkum.

5) Dijadikan minyak rambut bagi melebatkan rambut. Boleh juga dibuat bancuhan VCO dan perahan lemon untuk masalah kulit kepala gatal dan kelemumur. Sapukan pada kulit kepala setiap hari dan bolehlah disyampu seperti biasa selepas itu.

6) Menggantikan minyak masak untuk alternatif yang lebih sihat. Tidak seperti minyak kelapa sawit yang hanya boleh diulang guna maksima tiga kali, VCO boleh digunakan berkali-kali tanpa masalah. Jika anak anda sangat gemarkan makanan bergoreng maka ini adalah cara yang paling selamat. Selain sihat, rasanya juga lebih enak.

7) Menggantikan mentega dalam pembikinan kek dan biskut. Seperti di atas, ia juga pilihan yang lebih sihat.

8) Membantu meningkatkan sistem imun anak dan orang dewasa. Pengambilan secara kerap setiap hari akan menyediakan sistem tubuh kita untuk lebih kuat melawan penyakit. Anak-anak yang mengamalkan VCO juga tidak mudah diserang penyakit.

9) Membantu penurunan berat badan bagi yang bermasalah.

10) Sangat baik digunakan untuk kesihatan dalam mulut. Berkumur dengan VCO setiap pagi sebelum gosok gigi dan sarapan selama lebih kurang 20 minit kemudian ludahkan pada bakul sampah, baharu berus gigi seperti biasa. Terlalu lama? Selepas solat Subuh boleh mula dan sambil anda membasuh baju, menyediakan sarapan, 20 minit akan berlalu :). Kenapa tidak dibuang ke dalam sinki terus? Sepertimana minyak masakan yang lain juga, lama kelamaan ia dikhuatiri akan menyebabkan sinki tersumbat. Maka elakkanlah dari awal.

Hamza sekarang memberus gigi dengan VCO sahaja :)

VCO boleh diminum terus. Bagi yang baharu boleh mulakan dengan sesudu besar di waktu pagi dan sebelum tidur. Untuk anak kecil, mulakan dengan sesudu kecil. Bayi yang sudah mula makan makanan pelengkap boleh bermula seawal 6 bulan, dengan dicampurkan ke dalam susu atau makanannya. Dos boleh ditingkatkan mengikut keperluan terutama ketika tak sihat.

Setakat ini yang mampu dicoretkan buat masa ini. Amalkanlah VCO untuk kesihatan yang baik seisi keluarga.

Sunday, 15 March 2015

Hati-hati Urusniaga Online

Teks: NOR AFZAN ABD KADIR


Topik Safiyya TV9 yang sempat saya tonton hari ini ada mengenengahkan isu ini; Penipuan Jual-beli Internet.

Dalam diam-diam saya sebenarnya sudah dua kali ditipu melalui medium internet ini yang melibatkan jumlah wang yang agak besar. Ia bukanlah sesuatu yang suka untuk saya kenang-kenangkan lagi tetapi atas dasar tanggungjawab, saya rasa terpanggil untuk berkongsi kisah-kisah ini dengan harapan agar ia boleh dijadikan pedoman dan peringatan pada yang lain.

Kes pertama berlaku dalam tahun 2004. Bermula dengan didatangi sebuah emel dari seseorang yang mengaku seorang peguam yang sedang menguruskan kes kliennya yang telah meninggal dunia. Dia meminta pertolongan saya untuk dipindahkan sejumlah harta si mati yang sangat besar jumlahnya ke akaun saya di Malaysia bagi mengelakkan harta itu dibekukan oleh bank di sana. Kebetulan katanya nama ayahanda saya dan si mati adalah sama, jadi dia merasakan saya adalah antara yang layak 'mewarisi' harta tersebut.

Tanpa usul periksa, saya pun bersetuju atas dasar menolong selain dijanjikan sebahagian daripada harta sebagai upahnya. Bermulalah episod bertukar dokumen pengenalan, surat-menyurat dan kemudian saya diminta beberapa kali membuat pindahan wang kepada peguam tersebut untuk melancarkan urusan. Masuk kali kedua wang dipindahkan saya mula merasakan ada sesuatu yang tidak kena, baharulah saya mula mencari maklumat yang berkaitan. Ternyata itu adalah sejenis penipuan internet yang ligat mencari mangsa di seluruh dunia. Dengan penyesalan yang amat, saya terus menamatkan segala jenis perhubungan dengan orang tersebut walau tetap dihubungi berkali-kali. Kes ini berakhir begitu sahaja.



Kes kedua, baharu sahaja setahun yang lalu. Kali ini atas transaksi jual-beli telefon bimbit. Saya yang ketika itu sedang mencari-cari telefon baharu yang mempunyai fungsi-fungsi yang saya perlukan, sentiasa memeriksa laman mudah.my untuk mendapatkan harga terbaik. Ramai penjual yang telah saya hubungi sehinggalah suatu malam saya melihat iklan baharu, menawarkan pakej dan harga yang amat menarik. Terus saya hubungi penjual menerusi Whatsapp dan meminta keterangan lanjut bersama gambar-gambar barang.

Agak berpuas hati, saya teruskan dengan pembayaran keesokannya. Dari sebelum Tahun Baru Cina sehingga beberapa minggu kemudian barangan masih tak kunjung tiba. Si penjual masih meyakinkan saya bahawa barangan akan sampai. Sehinggalah nombor yang pernah saya hubungi sebelum itu dijawab oleh seseorang yang mendakwa tidak tahu apa yang saya perkatakan, manakala status whatsapp juga sudah tiada lagi, fahamlah bahawa saya sudah terkena.

Kali ini saya ke balai polis membuat laporan lengkap, dari balai polis terdekat sehingga ke balai polis bahagian jenayah komersial, saya mengusung anak bersama. Si pegawai melayan dan mengambil kes dengan baik, namun memberi peringatan awal kepada saya bahawa kemungkinan untuk saya mendapat kembali wang adalah sangat nipis, atau tiada. Kes dimasuk ke dalam fail untuk rekod sahaja kerana saya tidak mahu meneruskan, memikirkan kesukaran yang bakal saya hadapi untuk turun naik ke mahkamah dengan hasil yang pasti tiada. Sangat menjengkelkan. Undang-undang kita sebenarnya berpihak kepada pemangsa-pemangsa yang rakus mencuri duit mangsa di luar sana. Mangsa akan terus menjadi mangsa, pemangsa akan terus menjadi pemangsa. Inilah Malaysiaku.

Sesuatu yang saya pelajari dari perkongsian rakan-rakan di laman sosial, jika kes penipuan seperti ini berlaku, adalah baik mangsa membuat laporan juga ke tribunal pengguna. Di sana ada kemungkinan mangsa akan mendapat pembelaan yang sewajarnya, bergantung kepada fakta kes.

Jadi nasihat saya, sentiasalah berhati-hati ketika ingin membuat urusan jual beli melalui internet. Pastikan anda kenal siapa si penjual atau maklumat penting tentang mereka mudah didapati. Berurusniagalah dengan mereka yang terbukti boleh dipercayai, contohnya seperti kami di akademi ini :) Semoga kita dilindungi Allah daripada menjadi penipu dan tertipu dengan penjual yang tidak bermoral sebegini. Teruskan memberi sokongan kepada kami.

Kelahiran Hamza Pengalaman Terindah

Teks: NOR AFZAN ABD KADIR


Belum pernah saya coretkan pengalaman ini di mana-mana, serasa seperti tiada keperluannya. Semuanya hanya terakam di ingatan bersama beberapa keping gambar yang sempat diambil ketika kejadian.

Sekarang saya ingin merakamkannya di sini kerana tidak pasti selama mana memori di kepala saya ini dapat bertahan, selain untuk kenangan yang mungkin akan disimpan Hamza pada masa hadapan.

Buah hati pengarang jantung saya ini dilahirkan seminggu awal daripada tarikh jangkaan, iaitu pada 27 Mei 2013. Tidak sabar-sabar lagi dia menunggu tarikh 1 Jun 2013 seperti yang saya 'rancangkan'.

Sedari awal kehadirannya di dalam rahim, tidak banyak alahan yang saya alami kecuali sakit kepala sesekali dan ketidakselesaan di hujung kehamilan. Jadi saya mengharapkan bayi bertuah ini akan keluar dengan mudah juga apabila tiba masanya. Hampir setiap hari saya akan memujuknya supaya bekerjasama yang baik dengan mama.

Pagi 26 Mei 2013 selepas Subuh, saya agak kaget melihat keluarnya tanda darah setelah selesai urusan tandas. Terus saya hubungi sahabat yang akan membantu saya ketika proses melahirkan, saya namakan kak Y. Beliau meminta saya menjaga pemasaan kontraksi dan sentiasa mengemaskini maklumat sehingga beliau sampai.

Saya menyibukkan diri mengemas rumah dan memasak seperti biasa, mengatakan pada diri sendiri, "Jika begini rasanya, aku mampu bertahan lagi." Kelengkapan menyambut kelahiran juga disiapkan seadanya. Detik berlalu sehinggalah kak Y dan suami sampai ketika hampir Maghrib.

Seusai Isyak, kami keluar menuju ke tepi laut Pontian untuk berjalan-jalan sepanjang malam bagi mempercepat bukaan, kemudian kami menjamu selera di medan ikan bakar yang berdekatan. Sekembalinya ke rumah, kak Y mengurut perut saya dan dirasakan bahawa bayi masih belum masuk ke laluan, maka beliau pulang dan akan kembali pada keesokan harinya.

Tidur saya malam itu sangat terganggu, seperti tak tertahan apabila sesekali kesakitan datang bermula jam 2.30 pagi. Saya mendapatkan suami meminta beliau urutkan pada bahagian pinggang belakang setiap kali kontraksi datang, ianya sangat melegakan. Dua jam setelah itu, saya terkejut kerana merasakan seperti ada kebocoran paip dan air mengalir laju, tanpa dapat ditahan-tahan lagi, basah dan panas. Tahulah saya bagaimana perasaan pecahnya air ketuban.

Seketika saya seperti kehilangan punca, suami mahu membawa saya ke hospital, baharu saya tersedar. Cuba menghubungi kak Y buat kesekian kali, kasihan dia perlu diganggu pagi-pagi begini. Saya perlu bertahan, ini yang saya mahukan. Kak Y mengingatkan air perlu diganti, saya pun mencapai botol minuman, 800ml habis ditelan.

Sambil melayan kontraksi, saya memusing-musing pinggang, keluar masuk bilik air, mandi sambil air shower dituju ke pinggang, mengunyah kurma, badam terasa sukar untuk menelan namun tenaga perlu dikumpul untuk tugas yang lebih berat kemudian.

Kak Y pun tiba, suhu air di dalam kolam disuamkan semula dan saya masuk ke dalam. Terasa lega yang amat. Sambil laptop dipasangkan alunan zikir, mata saya fokus kepada lilin wangi yang dipasang, setiap kali kontraksi datang. Pernafasan dijaga seboleh mungkin namun ada ketikanya saya seperti mahu sahaja meneran sekuat hati, sudah tidak mampu lagi.

Tiba-tiba terasa sangat ingin membuang air besar. Dengan bantuan, saya memapah diri masuk ke bilik air, cuba untuk melegakan diri, namun.. "Saya dapat rasa rambut!" terjerit saya kegembiraan. Dengan cepat saya keluar, masuk ke kolam semula. Saat ini sudah tidak sabar lagi, datang sahaja kontraksi saya teran sekuat hati, teknik pernafasan hilang entah ke mana.

Suami masuk dan sempat merakam sekeping dua gambar, saat Hamza keluar. Ya, saya melihat detik itu dengan mata saya sendiri! Allahu akbar! Jam menunjukkan angka 10.13 pagi. Keluarnya Hamza tanpa tangisan. Pantas dibawa ke dada mama. Riak matanya seperti kebingungan, melihat-lihat sekeliling, kemudian bibir mungilnya mengukir senyuman. Saat itu mama yang menangis dahulu, "Assalamu'alaikum sayang.." sambil memeluk erat, mengusap-usap seluruh tubuhnya, seakan melepas rindu dendam sekian lama. Tidak lama kemudian keluarlah suara halusnya, menangis kelaparan. Pandai anak mama, pandai dia mencari sumber makanan.

Sambil-sambil membelai Hamza, datang pula gelombang kedua, kawan Hamza si uri pula keluar, alhamdulillah, nampak cantik dan utuh. Disebabkan tali pusat tidak begitu panjang, kami ambil keputusan untuk suami memotongnya setelah darah berhenti mengalir. Alhamdulillah.

Hamza dibawa untuk dibersihkan. Sementara mama sangat lemah ketika itu, terpaksa mengesot keluar untuk mandi dan naik ke atas katil. Kak Y menyediakan bancuhan ubat herba yang akan membantu mengecutkan rahim dan darah berhenti mengalir. Tekanan darah diambil secara kerap dalam masa empat jam pasca kelahiran dan alhamdulillah, keadaan mama lebih baik selepas makan, minum dan tidur, bersama Hamza.

Ibu dan ahli keluarga semua adik-beradik sampai untuk melawat setelah semuanya selesai. Masing-masing teruja mendengar perkongsian dari kak Y dan mengucapkan syukur serta berterima kasih atas pertolongannya.



Bermulalah episod saya sebagai mama kepada anugerah comel ini, Hamza dengan berat 3.2kilogram ketika lahir melalui kaedah kelahiran yang sangat saya impikan, walau sebelum saya disahkan mengandung lagi.

Terima kasih sekali lagi saya rakamkan di sini buat kak Y dan suami atas segala bantuan, semangat, nasihat, khidmat terbaik yang diberikan kepada kami. Tidak lupa kepada rakan-rakan di grup "The Gentle Birthing Group Malaysia" atas segala perkongsian dan tips berguna. Semoga Allah memberi kalian balasan dengan kebaikan yang banyak!

Mohon doakan Hamza menjadi anak yang kuat, anak yang soleh, yang bertaqwa lagi bermanfaat kepada manusia. Amin.

Tuesday, 10 March 2015

Pembuka Bicara: Salam Ukhuwah

Entri 1

Teks: NOR AFZAN ABD KADIR


Bismillah
Assalamu'alaikum warahmatullahi wabarakatuh

Setelah 34 tahun lamanya diizin Allah hidup di atas muka bumi ini, inilah kali pertama saya mempunyai 'diari' online sendiri, sesuatu yang sangat saya cuba elakkan sejak saya mengenali dunia internet ini :).

Selamat datang dan salam perkenalan buat pembaca-pembaca blog saya. Nor Afzan binti Abd Kadir nama diberi oleh ibu yang melahirkan saya di sebuah rumah di Kampung Raja, Muar, Johor. Kononnya sempena mengambil nama Tuanku Ampuan Pahang :). Nama yang sebenarnya agak malu untuk saya sebut ketika bersekolah dahulu kerana ramai yang menyangkakan lelaki :).

Pendidikan awal saya, bersekolah rendah dan menengah di Ulu Tiram, Johor sehingga Tingkatan 3. Kemudian diterima masuk ke sekolah berasrama di Sekolah Menengah (Vokasional) Perdagangan, Johor Bahru (1996-1997). Selepas keputusan SPM diumumkan pula, saya melanjutkan pelajaran di Kolej Mara Banting, Selangor selama setahun setengah bagi mengikuti Program Matrikulasi Universiti Malaya dalam bidang Perakaunan, suatu bidang yang sangat saya minati zaman persekolahan dahulu. Kemudian ke kampus induklah pula menghabiskan pengajian selama tiga tahun setengah lagi.

Belum pun keluar salinan keputusan peperiksaan akhir, saya sudah memulakan tugas sebagai pembantu juruaudit di salah sebuah firma perakaunan antarabangsa di Johor Bahru (Disember 2002). Setahun kemudian saya bertukar angin ke firma perakaunan yang lain di Kuala Lumpur. Pada hujung 2005 hingga 2006, saya bergelar penganggur kehormat atas sebab yang tidak dapat dielakkan. Kemudian pada bulan Mei 2007, saya memulakan pekerjaan baharu di UEM Berhad sebagai Eksekutif Akaun dan genap tiga tahun di situ, saya meletakkan jawatan dengan tugasan-tugasan seorang Akauntan Pengurusan setelah bersedia menjadi suri kepada seorang suami. Saya berkahwin pada 13 Jun 2010 dan sejak itulah bermula episod kehidupan baharu yang sangat saya nanti-nantikan setelah sekian lama; menjadi surirumah sepenuh masa!

Bukan terlalu mudah jalan cerita untuk saya bergelar isteri dan duduk di rumah, namun itulah takdir Allah buat saya. Selang masa yang agak lama selama lebih dua tahun kami hidup berdua, kebanyakan masanya saya membantu suami menjalankan tugasan beliau sebagai seorang juruedit senior dengan salah sebuah syarikat penerbitan buku-buku agama yang terkenal di Malaysia. Dari situlah minat saya terhadap dunia pengeditan bermula. Selain tugasan yang agak mudah yang diberikan oleh suami, kerja itu juga boleh saya lakukan di mana-mana sahaja pada bila-bila masa, tanpa perlu keluar dari rumah! Semestinya upah yang diberi juga setimpal dengan usaha yang dicurahkan.

Bak kata pepatah, langit tidak selalu cerah. Dalam kegembiraan kami menyambut kehadiran orang baharu pada tahun ketiga perkahwinan, ujian yang amat hebat dari Allah datang. Si kecil Hamza sudah bergelar anak yatim ketika usianya baharu menjejak empat bulan. Innalillahi wainna ilaihi roji'un. Semoga Allah mengampuni dan menempatkan arwah dalam golongan orang-orang yang beriman.

Keinginan kuat saya untuk menyusukan anak secara langsung selama dua tahun, menyaksikan tumbesaran anak di depan mata, di samping bimbang meninggalkan anak bersama orang lain menyebabkan saya tidak mampu untuk menerima tawaran kerja yang sekali dua datang menyinggah. Walau keadaan adalah agak mendesak, saya tetap gembira dapat menyediakan makanan dan minuman sendiri buat anak saya, menjaga tahap kesihatannya dan dia tahu dia sentiasa ada saya bersama sebagai ibunya. Untuk memenuhi waktu-waktu itu, saya mencari sebanyak mungkin maklumat tentang minat baharu saya setelah mendapat cahayamata, iaitu tentang proses kelahiran alami, pemakanan sebenar dan sihat secara alami, di samping topik keibubapaan.

Kini, setelah hampir setahun setengah berlalu peristiwa sedih itu, saya mendapat kekuatan untuk memulakan langkah pertama untuk menjinakkan diri dalam dunia perniagaan. Tidak boleh tidak, saya harus mulakan. Umm Hamza Store telah didaftarkan, page bisnes Hamza Store telah dilancarkan. Buat permulaan, saya bermula dengan produk dropship dahulu disebabkan kekangan-kekangan yang ada. InshaAllah, saya ada perancangan memasarkan produk sendiri apabila sampai masanya.

Seperti ada yang tidak lengkap, saya tahu yang saya perlukan seorang pembimbing yang dapat menunjuk ajar saya. Alhamdulillah, pencarian maklumat di Google menemukan saya dengan Puan Anys Idayu Zakaria dan Puan Masayu Ahmad - antara penggerak utama Akademi Bekerja Dari Rumah (ABDR) - seterusnya lahirlah blog ini. Banyak maklumat dan ilmu bermanfaat yang dikongsikan mereka. Terima kasih cikgu.

Semoga Allah memberi keizinan dan keredhaan-Nya, seterusnya memudahkan perjalanan kami ibu-ibu yang ingin mencari rezeki halal lagi baik buat ahli keluarga kami secara khususnya dan ummah secara amnya. Amin.

Teruskan memberi sokongan dan doa kepada kami! :)