Monday, 30 March 2015

Pengalaman Masuk Mahkamah (Lelong)

Teks: NOR AFZAN ABD KADIR


Masuk mahkamah.
Macam seram bunyinya kan? Bukan sebab kes jenayah atau nikah kahwin, tapi untuk membeli rumah lelongan awam. Ada sesiapa daripada pembaca blog ini yang pernah melalui pengalaman yang sama malah sudah berjaya pun memiliki rumah lelong? Silalah kongsikan pengalaman anda supaya ada yang mendapat manfaatnya.

Saya hanya ada sekali sahaja pengalaman pergi membida (bid) untuk rumah lelong ini di mahkamah. Sudah lama pun, pada penghujung tahun 2013 yang lepas.

Alkisahnya ketika itu (selepas kehilangan suami), saya berasakan bahawa saya amat perlu memiliki sebuah rumah untuk saya dan anak saya diami. Memandangkan saya sudah teramat biasa hidup berdikari, jadi saya percaya yang saya tidak boleh untuk tinggal bersama dengan orang lain, walau ahli keluarga sendiri. Maka misi pencarian rumah yang murah pun bermula.

Antara pilihan untuk mendapatkan rumah pada harga yang murah adalah dengan membeli rumah lelong, maka adalah saya pada suatu hari terjumpa dengan iklan sebuah rumah yang berada dalam kawasan yang sangat dekat dengan ahli keluarga yang lain. Saya hubungi nombor pada iklan tersebut dan diminta untuk memberikan maklumat peribadi. Setelah itu, saya diberikan dokumen proklamasi jualan (Proclamation of Sale) rumah tersebut untuk diteliti dan dapatkan alamat penuhnya. Dari lawatan saya ke tempat tersebut, saya dapati keadaannya dari luar adalah sangat baik dan lokasinya juga sangat strategik.

Saya kemudian diminta pergi ke bank untuk membuat sebuah draf bank sebagai syarat bagi meletakkan deposit sebanyak sepuluh peratus dari harga rezab rumah tersebut. Draf bank itu perlu dihantar kepada ejen sebelum hari lelongan diadakan di mahkamah.

Tibalah hari lelongan. Saya ditemani dan dibawa oleh abang dan keluarganya yang kebetulan cuti pada hari itu. Seawal pagi kami berenam (tiga dewasa dan tiga anak kecil) keluar rumah menuju ke mahkamah yang dimaksudkan di pusat bandar. Sudah seperti satu rombongan ke mahkamah gayanya. Dengan keadaan Hamza yang baharu lima bulan ketika itu, mana mungkin dia dibawa masuk ke dalam kamar lelongan bukan? Jadi keluarga abanglah penyelamatnya.

Apabila hampir waktu lelongan, nama saya dipanggil dan sekeping kad diberi oleh petugas di sana. Ejen yang saya hubungi itu mengiringi saya masuk ke dalam kamar mahkamah dan duduk di sebelah. Agak ramai rupanya yang ingin mendapatkan rumah tersebut, masing-masing mengambil tempat dan ditemani ejen mereka. Saya kira ada sekitar 20 orang pembida ketika itu.

Di hadapan kami ada sebuah meja di atas pentas yang akan diduduki oleh seorang hakim. Agak lama menanti kemunculannya. Setelah muncul pula, beliau memeriksa dan membelek-belek satu persatu dokumen di atas meja, seperti ada yang tidak kena.

Dalam kesempatan menunggu, si ejen bercerita tentang fenomena rumah lelong ketika ini. Katanya semakin ramai orang mahu membeli rumah lelong sekarang, setiap kali ada bidaan, pasti kamar mahkamah hampir penuh. Jika dibandingkan keadaan sepuluh tahun dahulu, kamar mahkamah pasti lengang, mungkin hanya ada seorang dua yang berminat untuk membida dan pastinya peluang untuk mereka mendapatkan rumah tersebut pada harga rezab adalah tinggi. Agak menyedihkan saya mendengarnya.

Tiba-tiba, sang hakim di depan berdiri dan membuat pengumuman supaya kami pulang kerana sesi lelongan dibatalkan (called off). Seakan sudah dapat mengagak sedari awal, ejen memberitahu bahawa tarikh lelongan pada hari tersebut adalah tidak sah. Yang demikian kerana tempoh masa rumah tersebut sah untuk dibuka kepada lelongan awam adalah belum dipenuhi, dengan kata lain, rumah tersebut masih belum boleh dilelong pada waktu itu. Tarikh yang sepatutnya akan diumumkan kemudian.

Kami pun keluar dan mendapatkan kembali draf bank kami dari kaunter yang berkenaan. Saya kemudian keluar menuju ke arah keluarga yang sabar menunggu dengan langkah yang longlai. Dalam perjalanan pulang, saya singgah ke bank semula untuk membatalkan draf bank dan mendapatkan wang deposit yang telah dibayar.

Itulah kisah saya pergi ke mahkamah untuk membida rumah lelongan awam. Rasa kecewa? Tidak. Ianya memberikan saya sebuah pengalaman yang mungkin berguna untuk masa hadapan. Lagi pula, setiap yang berlaku itu pasti ada hikmahnya, bukan?

Sesiapa yang ingin mencuba nasib mendapatkan rumah lelong, mungkin perkongsian saya ini dapat memberikan sedikit gambaran. Semoga bermanfaat.


No comments:

Post a Comment