Sunday, 15 March 2015

Kelahiran Hamza Pengalaman Terindah

Teks: NOR AFZAN ABD KADIR


Belum pernah saya coretkan pengalaman ini di mana-mana, serasa seperti tiada keperluannya. Semuanya hanya terakam di ingatan bersama beberapa keping gambar yang sempat diambil ketika kejadian.

Sekarang saya ingin merakamkannya di sini kerana tidak pasti selama mana memori di kepala saya ini dapat bertahan, selain untuk kenangan yang mungkin akan disimpan Hamza pada masa hadapan.

Buah hati pengarang jantung saya ini dilahirkan seminggu awal daripada tarikh jangkaan, iaitu pada 27 Mei 2013. Tidak sabar-sabar lagi dia menunggu tarikh 1 Jun 2013 seperti yang saya 'rancangkan'.

Sedari awal kehadirannya di dalam rahim, tidak banyak alahan yang saya alami kecuali sakit kepala sesekali dan ketidakselesaan di hujung kehamilan. Jadi saya mengharapkan bayi bertuah ini akan keluar dengan mudah juga apabila tiba masanya. Hampir setiap hari saya akan memujuknya supaya bekerjasama yang baik dengan mama.

Pagi 26 Mei 2013 selepas Subuh, saya agak kaget melihat keluarnya tanda darah setelah selesai urusan tandas. Terus saya hubungi sahabat yang akan membantu saya ketika proses melahirkan, saya namakan kak Y. Beliau meminta saya menjaga pemasaan kontraksi dan sentiasa mengemaskini maklumat sehingga beliau sampai.

Saya menyibukkan diri mengemas rumah dan memasak seperti biasa, mengatakan pada diri sendiri, "Jika begini rasanya, aku mampu bertahan lagi." Kelengkapan menyambut kelahiran juga disiapkan seadanya. Detik berlalu sehinggalah kak Y dan suami sampai ketika hampir Maghrib.

Seusai Isyak, kami keluar menuju ke tepi laut Pontian untuk berjalan-jalan sepanjang malam bagi mempercepat bukaan, kemudian kami menjamu selera di medan ikan bakar yang berdekatan. Sekembalinya ke rumah, kak Y mengurut perut saya dan dirasakan bahawa bayi masih belum masuk ke laluan, maka beliau pulang dan akan kembali pada keesokan harinya.

Tidur saya malam itu sangat terganggu, seperti tak tertahan apabila sesekali kesakitan datang bermula jam 2.30 pagi. Saya mendapatkan suami meminta beliau urutkan pada bahagian pinggang belakang setiap kali kontraksi datang, ianya sangat melegakan. Dua jam setelah itu, saya terkejut kerana merasakan seperti ada kebocoran paip dan air mengalir laju, tanpa dapat ditahan-tahan lagi, basah dan panas. Tahulah saya bagaimana perasaan pecahnya air ketuban.

Seketika saya seperti kehilangan punca, suami mahu membawa saya ke hospital, baharu saya tersedar. Cuba menghubungi kak Y buat kesekian kali, kasihan dia perlu diganggu pagi-pagi begini. Saya perlu bertahan, ini yang saya mahukan. Kak Y mengingatkan air perlu diganti, saya pun mencapai botol minuman, 800ml habis ditelan.

Sambil melayan kontraksi, saya memusing-musing pinggang, keluar masuk bilik air, mandi sambil air shower dituju ke pinggang, mengunyah kurma, badam terasa sukar untuk menelan namun tenaga perlu dikumpul untuk tugas yang lebih berat kemudian.

Kak Y pun tiba, suhu air di dalam kolam disuamkan semula dan saya masuk ke dalam. Terasa lega yang amat. Sambil laptop dipasangkan alunan zikir, mata saya fokus kepada lilin wangi yang dipasang, setiap kali kontraksi datang. Pernafasan dijaga seboleh mungkin namun ada ketikanya saya seperti mahu sahaja meneran sekuat hati, sudah tidak mampu lagi.

Tiba-tiba terasa sangat ingin membuang air besar. Dengan bantuan, saya memapah diri masuk ke bilik air, cuba untuk melegakan diri, namun.. "Saya dapat rasa rambut!" terjerit saya kegembiraan. Dengan cepat saya keluar, masuk ke kolam semula. Saat ini sudah tidak sabar lagi, datang sahaja kontraksi saya teran sekuat hati, teknik pernafasan hilang entah ke mana.

Suami masuk dan sempat merakam sekeping dua gambar, saat Hamza keluar. Ya, saya melihat detik itu dengan mata saya sendiri! Allahu akbar! Jam menunjukkan angka 10.13 pagi. Keluarnya Hamza tanpa tangisan. Pantas dibawa ke dada mama. Riak matanya seperti kebingungan, melihat-lihat sekeliling, kemudian bibir mungilnya mengukir senyuman. Saat itu mama yang menangis dahulu, "Assalamu'alaikum sayang.." sambil memeluk erat, mengusap-usap seluruh tubuhnya, seakan melepas rindu dendam sekian lama. Tidak lama kemudian keluarlah suara halusnya, menangis kelaparan. Pandai anak mama, pandai dia mencari sumber makanan.

Sambil-sambil membelai Hamza, datang pula gelombang kedua, kawan Hamza si uri pula keluar, alhamdulillah, nampak cantik dan utuh. Disebabkan tali pusat tidak begitu panjang, kami ambil keputusan untuk suami memotongnya setelah darah berhenti mengalir. Alhamdulillah.

Hamza dibawa untuk dibersihkan. Sementara mama sangat lemah ketika itu, terpaksa mengesot keluar untuk mandi dan naik ke atas katil. Kak Y menyediakan bancuhan ubat herba yang akan membantu mengecutkan rahim dan darah berhenti mengalir. Tekanan darah diambil secara kerap dalam masa empat jam pasca kelahiran dan alhamdulillah, keadaan mama lebih baik selepas makan, minum dan tidur, bersama Hamza.

Ibu dan ahli keluarga semua adik-beradik sampai untuk melawat setelah semuanya selesai. Masing-masing teruja mendengar perkongsian dari kak Y dan mengucapkan syukur serta berterima kasih atas pertolongannya.



Bermulalah episod saya sebagai mama kepada anugerah comel ini, Hamza dengan berat 3.2kilogram ketika lahir melalui kaedah kelahiran yang sangat saya impikan, walau sebelum saya disahkan mengandung lagi.

Terima kasih sekali lagi saya rakamkan di sini buat kak Y dan suami atas segala bantuan, semangat, nasihat, khidmat terbaik yang diberikan kepada kami. Tidak lupa kepada rakan-rakan di grup "The Gentle Birthing Group Malaysia" atas segala perkongsian dan tips berguna. Semoga Allah memberi kalian balasan dengan kebaikan yang banyak!

Mohon doakan Hamza menjadi anak yang kuat, anak yang soleh, yang bertaqwa lagi bermanfaat kepada manusia. Amin.

2 comments:

  1. Semoga Hamza menjadi anak yang soleh.Allahumma aamiin.

    ReplyDelete
  2. Semoga Hamza menjadi anak yang soleh.Allahumma aamiin.

    ReplyDelete